Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum membatalkan solat sunat Tahiyyatul Masjid ketika iqamah dilaungkan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Qatadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ
Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.”
Riwayat al-Bukhari (444), Muslim (714), Abu Dawud (467), Ibn Majah (1013) dan al-Tirmizi (316)
Imam al-San‘ani di dalam penjelasannya terhadap hadith ini, beliau menyebutkan bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram Min Adillah al-Ahkam, 2/62)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/52)
Dalam riwayat yang lain, Baginda SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ
Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia bersolat dua rakaat sebelum duduk.”
Riwayat Ibn Majah (1013) dan Ibn Hibban (2498)
Jabir juga meriwayatkan bahawa Sulaik al-Ghatafani pernah datang ke masjid pada hari Jumaat ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah lalu dia duduk. Baginda berkata kepadanya:
يَا سُلَيْكُ! قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا. ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا
Maksudnya: “Wahai Sulaik, berdiri dan bersolatlah dua rakaat dan pendekkanlah kedua-duanya kemudian Baginda berkata lagi: Jika seseorang di kalangan kamu datang pada hari Jumaat sedangkan imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dan memendekkan kedua-dua rakaat tersebut.”
Riwayat Muslim (875), Ibn Hibban (2502) dan Ibn Khuzaimah (1835)
Bagi menjawab persoalan di atas, kami kemukakan terlebih dahulu beberapa keadaan yang mungkin terjadi berdasarkan persoalan yang ditanyakan di atas:
Pertama: Sekiranya kita masuk ke dalam masjid dan kemudian iqamah telah pun dilaungkan bagi menunaikan solat fardhu, maka pada waktu itu makruh hukumnya untuk kita menunaikan apa-apa solat sunat dan hendaklah bersiap sedia untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah.
Hal ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi bahawa makruh untuk mendapatkan nafilah (dengan menunaikan solat) selepas iqamah dilaungkan seperti solat sunat (rawatib) Subuh, Zuhur dan selainnya sama ada mengetahui dirinya akan mendapat rakaat bersama imam ataupun tidak. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/221)
Kedua: Sekiranya kita sedang solat sunat dan kemudian iqamah sedang dilaungkan, maka disunatkan untuk menyempurnakan solat sunat tersebut sekiranya tidak ditakuti akan terlepas solat berjemaah tersebut dengan imam memberi salam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)
Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُم
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merusakan pahala) amal-amalmu.”
Surah Muhammad: 33
Digalakkan untuk meringankan (meringkaskannya dengan meraikan segala rukun solat) solat sunat tersebut dan bersegera untuk mendapatkan pahala berjemaah dan lebih utama lagi untuk mendapatkan takbiratul ihram bersama-sama imam.
Ketiga: Sekiranya ditakuti akan terlepas solat berjemaah, maka disunatkan untuk memutuskan solat sunat tersebut dengan memberikan salam. Bagi solat Jumaat pula, sekiranya ditakuti akan terlepas jemaah solat Jumaat, maka pada keadaan ini, wajib untuk memutuskan solat sunat tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)
Keempat: Jika sedang melakukan solat sunat, kemudian dilaungkan iqamah untuk ditunaikan solat jemaah dan diketahui jika diteruskan solat sunat tersebut, maka akan terlepas solat jemaah, namun kuat pada sangkaannya akan ada jemaah yang baru datang untuk menunaikan solat jemaah, maka pada keadaan tersebut, paling utama adalah dengan menyempurnakan solat sunatnya itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/500)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)