Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila berlaku gerhana, mana lebih dahulu, solat fardhu atau solat gerhana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Musa al-Asya’ari RA, katanya:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَزِعًا، يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ، فَأَتَى الْمَسْجِدَ، فَصَلَّى بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ رَأَيْتُهُ قَطُّ يَفْعَلُهُ، وَقَالَ: «هَذِهِ الآيَاتُ الَّتِي يُرْسِلُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، وَلَكِنْ يُخَوِّفُ اللهُ بِهَا عِبَادَهُ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ، فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِ اللهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ

Maksudnya:Matahari mengalami gerhana, lalu Nabi SAW bangun dalam keadaan takut, Baginda khuatir kiamat akan terjadi. Baginda datang ke masjid lalu melaksanakan solat dengan berdiri, rukuk, dan sujud yang paling lama yang pernah aku lihat Baginda melakukannya. Lalu Baginda bersabda: “Ini ialah tanda-tanda yang dikirim oleh Allah Azza wa Jalla, ia tidak berlaku kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Akan tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengannya (gerhana). Maka apabila kamu melihat sesuatu daripada itu, bersegeralah mengingati Allah, berdoa serta memohon keampunan kepada-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (1059) dan Muslim (912)

Imam al-Nawawi menjelaskan mengenai maksud kenapa Nabi SAW berasa takut dan khuatir akan terjadinya hari kiamat. Beliau menjelaskan dengan beberapa alasan, antaranya ialah kerana gerhana tersebut merupakan tanda yang muncul sebelum tanda-tanda kiamat seperti terbitnya matahari dari barat atau keluarnya Dajjal. Atau mungkin gerhana tersebut merupakan sebahagian daripada tanda kiamat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/215)

Menjawab persoalan di atas,  jika gerhana matahari atau gerhana bulan terjadi pada awal waktu solat wajib, maka mendahulukan pelaksanaan solat gerhana sebelum melaksanakan solat wajib dibolehkan. Bahkan jika dikhuatiri bahawa gerhana berlaku dalam tempoh yang singkat, maka sebaiknya adalah dengan melakukan solat gerhana terlebih dahulu sebelum melakukan solat fardhu. Namun begitu, sekiranya gerhana matahari atau gerhana bulan terjadi pada akhir waktu solat fardhu serta dengan mendahulukan solat gerhana akan menyebabkan solat fardhu tidak dapat dilaksanakan pada waktunya, maka dalam keadaan seperti ini wajib mendahulukan solat fardhu terlebih dahulu. Kemudian diteruskan dengan melaksanakan solat gerhana sekiranya waktu gerhana masih berlakuk ketika itu.

Hal ini sebagaimana disebutkan oleh al-Syirazi di dalam kitab al-Muhazzab, katanya: Jika solat gerhana bersamaan dengan solat wajib di awal waktu, maka hendaklah didahulukan solat gerhana kerana dikhuatiri (matahari atau bulan) akan cerah kembali yang akan menyebabkan solat gerhana tidak boleh dilaksanakan. Setelah selesai melaksanakan solat gerhana, diteruskan lagi dengan melaksanakan solat fardhu sebelum melaksanakan khutbah solat gerhana. Jika solat gerhana bersamaan dengan solat wajib di akhir waktu, maka perlu untuk mendahulukan solat fardhu kerana keduanya berada dalam situasi yang dikhuatiri akan tamat waktunya. Solat fardhu adalah lebih pasti, dan ia lebih utama untuk didahulukan. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’ie, 1/230)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply