Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan humr al-na’am dalam hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dapatan kami menunjukkan, terdapat beberapa hadith menyebut tentang humr al-na’am khususnya yang terkait berkenaan dengan solat Witir. Ia sebagai ganjaran daripada Allah SWT.

Antaranya ialah, hadith daripada Kharijah al-’Adawi, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir.”

Riwayat Abu Dawud (1418), al-Tirmizi (452), Ibn Majah (1168), al-Hakim (1/306) dan Ahmad (2/208). Hadith ini telah disahihkan oleh al-Hakim.

Jelas daripada hadith ini menunjukkan kelebihan solat witir. Syeikh Abdullah al-Basam berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa Allah mengurniakan kepada hamba-Nya yang melakukan ketaatan dan beribadat dengan tambahan kebajikan mengangkat darjat, serta menghampirkan mereka kepada Tuhan mereka.” (Lihat Taudih al-Ahkam, 2/405).

Justeru Ibn Jauzi berkata: “Siapa yang mengetahui bahawa dunia sebagai tempat perlumbaan dan menghasilkan fadhilat begitu juga tatkala tingginya martabat dan kedudukan seseorang dalam ilmu dan amal, maka sudah pasti bertambah martabatnya di negeri balasan. Justeru dia tidak tinggalkan peluang keemasan untuk menambahkan koleksi amalan dengan bersungguh-sungguh.”

Begitu juga hadith, hadith daripada Kharijah al-’Adawi, di mana Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ وَهِيَ خَيْرٌلَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ، فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيْمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah. Solat itu ialah solat witir yang ditentukan waktunya di antara solat Isyak sehingga terbit fajar.”

Riwayat Abu Dawud 1418, al-Tirmizi 452, Ibn Majah 1168, al-Hakim 1/306 dan Ahmad 2/208. Hadith ini telah disahihkan oleh al-Hakim.

Syeikh al-Bassam berkata: “Waktu solat Witir antara solat Isyak hingga terbitnya Fajar kerana ia merupakan penutup solat malam.” (Lihat Taudih al-Ahkam, 2/406).

Al-Mubarakfuri berkata: ‘حُمْرِ النَّعَمِ’ dengan ha’ dibaris hadapan, mim mati adalah jamak daripada perkataan ahmar (أحمر), dan kalimah na’am (النعم) pula memberi makna unta. Ia dianggap sebagai idhafah sifat kepada mausuf (yang disifatkan). Sesungguhnya kenyataan Nabi SAW ini sebagai galakan kepada orang Arab kerana unta merah antara semulia-mulia harta di sisi mereka. Ia seolah-olah kinayah bahawa maksudnya yang terbaik daripada dunia semuanya. Ini kerana ia solat Witir dianggap sebagai bekalan akhirat yang sentiasa terbaik dan kekal. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/439)

Semoga kita dapagt melazimi solat Witir setiap malam kerana fadhilatnya amat besar berdasarkan nas di atas. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply