Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ustaz terangkan niat solat witir yang tepat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut dalam agama kita. Menurut mazhab Syafi‘i, kita disunatkan untuk solat sunat witir secara berjemaah di dalam bulan Ramadhan. Hal ini kerana fadhilat dan kelebihannya yang besar sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadith. Di antaranya riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksudnya: “Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah mendirikan solat witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah mendirikan solat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan — yakni dihadiri oleh malaikat dan itulah yang paling baik (afdhal).

Riwayat Muslim (755)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan niat solat witir adalah seperti berikut:

  • Bagi niat solat sunat witir 1 rakaat:

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.

  • Bagi niat solat sunat witir 2 rakaat + 1 rakaat (tiga rakaat dua salam):

Untuk rakaat kedua awal:

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat dua rakaat daripada witir kerana Allah Taala.”

Untuk rakaat akhir:

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.”

Penjelasan:

Berlaku kemusykilan dalam niat solat witir 3 rakaat 2 salam kerana witir itu sendiri bermaksud ganjil, maka berlawanan dengan bilangan 2 rakaat yang merupakan bilangan genap. Imam al-Nawawi menyebutkan beberapa pendapat tentang cara untuk berniat bagi dua rakaat yang pertama:

وَإِنْ كَانَ بِتَسْليماتٍ نَوَى بِكُلِّ تَسْليمَةٍ رَكْعَتَيْنِ مِنْ الوِتْرِ وَقِيلَ يَنْوي بِمَا قَبْلَ الاَخيرَةِ صَلاةَ اللَّيْلِ وَقِيلَ يَنْوي بِهِ سُنَّةَ الوِتْرِ وَقِيلَ مُقَدِّمَةُ الوِتْرِ

Maksudnya: “Jika (solat witir itu dilakukan) dengan lebih daripada satu salam, hendaklah dia berniat bagi setiap salam itu daripada witir, dan dikatakan hendaklah dia berniat bagi (rakaat-rakaat) sebelum rakaat terakhir sebagai solat malam, dan dikatakan (hendaklah dia berniat) sunat witir, dan dikatakan (hendaklah dia berniat) mukadimah witir.”

Justeru, dapat disimpulkan bahawa terdapat 4 pandangan tentang niat bagi setiap dua rakaat sebelum rakaat terakhir solat witir yakni:

Pertama: “Sahaja aku solat 2 rakaat daripada witir”.

Kedua: “Sahaja aku solat mukadimah witir 2 rakaat”.

Ketiga: “Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat”.

Keempat: “Sahaja aku solat malam 2 rakaat”.

Namun, pendapat yang paling afdhalnya adalah yang pertama (Sahaja aku solat 2 rakaat daripada witir). Akan tetapi, tidaklah menjadi masalah untuk beramal dengan cara-cara yang berikut. Sebagaimana Imam al-Nawawi menyebut selepas itu:

وَهَذِهِ الأَوْجُهُ فِي الأَفْضَلِ والْأَوْلَويَّةِ دُونَ الِاشْتِراطِ وَالصَّحِيحُ الأَوَّلِ

Maksudnya: “Dan pendapat-pendapat (yang telah disebutkan) ini adalah daripada segi yang mana paling baik dan paling utama bukanlah disyaratkan, dan pendapat yang tepat adalah yang pertama (iaitu berniat dua rakaat daripada witir).

  • Bagi niat solat sunat witir 3 rakaat (tiga rakaat satu salam):

أُصَلِّى سُنَّةَ الوِتْرِ رَكَعَاتٍ مَأمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat witir tiga rakaat kerana Allah Taala.”

Penjelasan:

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

فَإِنَّ أَوْتَرَ بِاَكْثَرْ مِنْ رَكْعَةٍ نَوَى بِالْجَمِيعِ الوِتْرَ إِنْ كَانَ بتَسْليمَةٍ

Maksudnya: “Jika seseorang itu melakukan witir lebih daripada satu rakaat, maka dia hendaklah niat semua rakaat itu sebagai witir jika dilakukan dengan satu salam.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/281)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply