Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami perbezaan antara kusuf dengan khusuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sirah tidak terlepas dari merekodkan peristiwa ini yang mana kisah mengenainya terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan hadith-hadith yang membincangkannya bertaraf sahih. Al-Imam Muslim Rahimahullah merekodkan peristiwa ini di dalam kitab Sahihnya, sebuah hadith dari Abu Musa RA yang mana beliau berkata:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ ‏”‏ ‏.‏

Maksudnya: Telah berlaku gerhana matahari pada zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Lalu baginda bangun dalam keadaan takut akan berlakunya hari Kiamat sehingga baginda tiba di masjid. Lalu baginda mendirikan solat yang paling panjang berdirinya, ruku’nya dan sujudnya yang pernah aku lihat Baginda lakukan di dalam solat. Kemudian Baginda berkata: Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda yang Allah hantar. Ia tidaklah berlaku kerana kematian atau kehidupan seseorang. Akan tetapi Allah menghantarnya untuk menimbulkan rasa takut pada hambaNya. Apabila kalian lihat ia berlaku, segeralah mencari perlindungan dengan mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon keampunanNya.

Riwayat Muslim (912)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas mengatakan bahawa gerhana berlaku bukanlah sebagai tanda hari akan kiamat, kerana tanda-tanda kiamat yang lain telah diketahui melalui hadith-hadith lain yang sahih seperti terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya al-Daabbah dan juga dajjal. Namun, bangunnya Rasulullah SAW dalam keadaan takut dan mengerjakan solat yang panjang bacaan dan ruku’nya itu kerana takut ianya dari jenis hukuman yang Allah SWT turunkan sepertimana yang berlaku ketika mana bertiupnya angin dan jelas nampak di wajah Rasulullah SAW yang Baginda tidak menyukainya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/215-216)

Menjawab persoalan di atas, di dalam Bahasa Arab, gerhana matahari disebut sebagai al-Kusuf manakala gerhana bulan pula disebut sebagai al-Khusuf. Dinamakan al-Kusuuf kerana tertutupnya cahaya matahari secara sebahagian atau sepenuhnya. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 234)

Dikatakan juga gerhana matahari dan bulan dengan kusuf, dan dikatakan juga gerhana matahari dengan kusuf, manakala gerhana bulan dengan khusuf. Dikatakan juga al-Kusuf untuk permulaan gerhana dan al-khusuf ketika berakhirnya gerhana. Pendapat-pendapat ini sangat masyhur di dalam buku-buku lughah dan kedua-duanya digunakan dalam istilah tersebut. Namun yang paling tepat berdasakan kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim, dan juga yang masyhur di sisi fuqaha’ ialah mengkhususkan al-Kusuf untuk gerhana matahari dan al-Khusuf untuk gerhana bulan. Hal ini sebagaimana dikatakan al-Jauhari di dalam kitabnya al-Sihhah bahawa sebutan ini yang lebih fasih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/43)

Imam al-Son’ani berkata: “Disebutkan (dengan lafaz) “Kasafat al-Syam”, Inkasafat dan Khasafat, begitu juga khasafat. Para ulama’ berbeza pendapat di dalam penggunaan dua lafaz tersebut (Al-Kusuf dan Al-Khusuf) sama ada keduanya digunakan untuk matahari dan bulan, atau masing-masing lafaz tersebut memiliki pasangannya sendiri dari keduanya. Di dalam al-Quran, penisbahan kata al-Khusuf kepada bulan, namun di dalam hadith terdapat penyandaran al-Khusuf kepada matahari sebagaimana sabit juga penyandaran kata al-Kusuf kepada matahari. Terdapat penggunaan kedua-dua bentuk lafaz tersebut kepada matahari dan bulan, sebagaimana disebutkan “al-Syamsu wa al-Qomari yankhasifani wa yankasifani”, tetapi tidak ditemui lafaz al-Kusuf dinisbahkan kepada bulan dengan cara menyendiri. Dengan alasan ini para ulama’ mengkhususkan lafaz kusuf untuk matahari dan lafaz khusuf untuk bulan, dan inilah yang dipilih oleh Tha’lab. Al-Jauhari berkata: “Ini lebih fasih (mendekati kebenaran), dan juga dikatakan bahawa kedua istilah tersebut (al-Kusuf dan al-Khusuf) digunakan untuk keduanya (matahari dan bulan).”.” (Lihat Subul al-Salam, 2/73)

Ibn Hajar Al-‘Asqalani juga menyatakan: Penggunaan lafaz tersebut masyhur di kalangan ulama’ bahawa al-Kusuf untuk matahari dan al-Khusuf untuk bulan sebagaimana yang dipilih oleh Tha’lab dan disebutkan oleh Al-Jauhari bahawa ia lebih fasih (mendekati kebenaran). (Lihat Fath al-Bari, 2/535)

Syeikh Abu Malik Kamal al-Sayyid Salim berkata di dalam Sahih Fiqh al-Sunnah: “Al-Kusuf: Ia adalah perginya seluruh cahaya salah satu daripada dua benda langit yang bercahaya (iaitu matahari dan bulan) atau sebahagian daripadanya, iaitu dengan berubahnya menjadi gelap. Manakala al-Khusuf juga mempunyai maksud yang sama. Dikatakan juga bahawa al-Kusuf merujuk untuk matahari, manakala al-Khusuf pula merujuk kepada bulan, dan inilah yang dikenali dalam bahasa Arab. (Lihat Sahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudih Mazahib al-A’immah, 1/432)

Marilah sama-sama kita beriltizam untuk mentaati perintah Allah SWT serta menjarakkan diri daripada segala larangan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply