Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terjadi Saidina Umar bertawassul dengan Abbas kepada Allah atau memohon Abbas berdoa supaya dikurniakan hujan dalam istisqa’ pada zamannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith Daripada Anas RA, apabila berlaku kemarau, Umar bin al-Khattab RA memohon hujan dengan perantaraan Abbas bin Abdul Muttalib dengan berkata:

اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا‏.‏ قَالَ فَيُسْقَوْنَ‏.‏

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu memohon kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Kini kami memohon kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Anas berkata: “Lalu diturunkan hujan kepada mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (1010)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan lafaz “اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ” berasal daripada perkataan al-Istisqa’ (الاستسقاء) iaitu perbuatan meminta hujan. Dalam erti kata lain, meminta turunnya hujan ke atas negeri-negeri dan para hamba. Di sini maksudnya ialah Umar bin al-Khattab R.A meminta supaya al-‘Abbas berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Seterusnya, lafaz “نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ” pula bermaksud kami menjadikan doanya sebagai wasilah (perantara) buat kami kepada Engkau (Allah) dalam mengharapkan diturunkan hujan.

Kemudian, beliau menyebutkan pula beberapa faedah yang dapat diperoleh atau diambil daripadanya. Di antaranya, hadith ini menunjukkan kepada istihbab (sunat) solat istisqa’ dan berdoa dalam khutbahnya. Bahkan ia merupakan sunnah muttaba‘ah (yakni sunnah yang menjadi ikutan), di mana ia dilakukan oleh para sahabat R.Anhum selepas kewafatan Baginda SAW. Maka ia sudah menjadi seolah-olah seperti ijma‘.

Begitu juga sebab dilakukan istisqa’ dengan solat dan doa itu adalah kerana wujudnya kemarau yang memudaratkan kaum Muslimin; dan hal itu kerana hujan tidak turun (dalam tempoh yang lama) dan sedikitnya padang ragut. Selain itu, para sahabat R.Anhum juga tidak pergi ke kubur Nabi SAW lalu meminta doa daripadanya serta bertawassul dengan zat Baginda dan kemuliaannya kepada Allah SWT kerana mereka mengetahui bahawasanya doa Baginda sudah terputus disebabkan oleh kewafatannya. Oleh sebab itu, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A  dan para sahabat yang bersamanya pergi meminta kepada al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib R.A agar beliau berdoa kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan kepada mereka. Mereka mempercayai doanya itu (akan dimakbulkan) dan perkara itu adalah diharuskan dalam syarak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/88-89).

Sesungguhnya perbuatan Saidina Umar R.A selepas itu dilakukan oleh salafus soleh dan juga pemimpin-pemimpin apabila melihat orang-orang soleh di kalangan mereka untuk dikehadapankan dalam berdoa kepada Allah agar diperkenankan Allah. Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman di samping cinta kita kepada Rasulullah SAW, kaum keluarganya dan juga mengikut Sunnah Baginda yang berdoa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply