Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami maksud sebenar ayat 67 daripada surah al-Isra’?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَن تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ ۖ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ كَفُورًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingati-Nya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).”
(Surah al-Isra’: 67)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa sesungguhnya manusia apabila ditimpa musibah, mereka akan menyeru-Nya sambil bertaubat kepada-Nya dan ikhlas dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Oleh itu, Allah berfirman: ‘وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَن تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ’ (Dan apabila kamu ditimpa musibah di lautan, nescaya lenyaplah siapa yang kamu seru, kecuali Dia) iaitu lenyap dari hati kamu segala sesuatu yang kamu sembah selain Allah SWT.”
Firman Allah SWT: ‘فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ’ (Maka apabila Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling) maksudnya, kamu lupa kepada apa yang kamu akui tentang keEsaanNya, lalu kamu berpaling dari berdoa hanya kepadaNya dengan tidak ada sekutu bagi-Nya. ‘وَكَانَ الْإِنسَانُ كَفُورًا’ (Dan manusia itu selalunya tidak berterima kasih) maksudnya, tabiatnya adalah lupa dan menafikan nikmat Allah, kecuali orang-orang yang dilindungi oleh Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/256)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila kamu mengalami kesukaran yang melampau di tengah lautan, nescaya akan hilang segala lintasan di benak fikiran kamu yang kamu seru dan mengharapkan manfaat, daripada berhala, jin, raja, orang atau batu, maka kamu tidak ingat apa pun melainkan Allah.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/74)
Ada seorang pemuda bertanya kepada Imam Ja’far Sadiq: Apakah bukti terhadap wujud Allah. Lalu Imam Ja’far bertanya: Pernahkah kamu naik kapal mengharungi lautan? Pemuda itu menjawab: Ya. Beliau bertanya: Adakah pernah kamu merasai angin yang bertiup kencang sampai kamu takut tenggelam? Pemuda itu mengiyakan. Beliau berkata lagi: Sehingga satu saat kamu putus pengharapan terhadap para pelaut yang menolong dan kapal (yang menyelamat)? Pemuda itu mengiyakan lagi. Tanya Imam Jaafar: Maka adakah ketika itu, terlintas dalam kepala kamu, ada sesuatu yang boleh menyelamatkanmu? Kata pemuda tadi: Ya. Ja’afar menjawab: Itulah Allah. (Lihat Wujud Allah, hlm. 20 oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi)
Mafhumnya, walaupun kita dilanda kesukaran yang amat dahsyat, jangan lupa Allah Maha Berkuasa. Yakinlah kepada-Nya kerana Allah lah kita bertawakkal yang akhirnya mencukupkan bagi kita. Benarlah firman Allah SWT:
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا (3)
Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Talaq : 2-3)
Ibn Qayyim menjelaskan: Dalam firman Allah SWT di atas, tidak dikatakan bahawa orang yang bertawakkal akan dibalas dengan pahala sekian dan sekian seperti balasan untuk amalan yang lain. Malah disebut balasan dari tawakkal adalah Allah sendiri yang mencukupkannya. Jika seseorang benar-benar bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan keluar melalui langit dan bumi serta setiap makhluk di dalamnya yang Allah tundukkan. Allah SWT akan mencukupkan dan menolong orang yang bertawakkal tersebut. (Lihat Bada’i al-Fawa’id, 2/775)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”