Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya berkahwin dengan seorang cina mualaf, untuk majlis perkahwinan, ada adat cina untuk yam seng. Apa hukum saya buat yam seng dengan menggunakan air yang halal? Yam seng ialah ucap selamat pengantin baru cara adat cina.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebagaimana kita ketahui, Malaysia merupakan salah satu negara yang unik kerana mempunyai pelbagai agama, bangsa dan adat. Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik sesama kaum kerabat atas dasar kekeluargaan atau kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

Firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu.”

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Ibn Kathir telah menafsirkan ayat di atas dengan berkata, bahawa Allah SWT tidak menghalang umat Islam berbuat baik terhadap orang bukan Islam selagi mana mereka tidak menentang dalam hal berkaitan agama, tidak menindas kaum wanita dan orang-orang yang lemah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/90)

Definisi Yam Seng

Yam Seng adalah satu acara minum secara bersulang sebanyak 3 kali. Ia akan dilakukan dengan berteriak “Yaaaammm” dan ditutup dengan “seng” yang pendek. Acara ini diadakan bagi tujuan:

  1. Mendoakan kebahagiaan pengantin agar berkekalan hingga akhir hayat.
  2. Mendoakan pengantin agar cepat mempunyai zuriat.
  3. Ucapan terima kasih dan mendoakan para tetamu undangan yang hadir agar selalu bahagia dan cemerlang.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya suatu adat itu tidak bertentangan dengan hukum syarak seperti hal berkaitan halal haram, kepercayaan yang tidak menduakan Allah SWT dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah. Ini kerana Islam itu hakikatnya tidaklah menyekat hak kebebasan manusia, akan tetapi terdapat sesetengah perkara yang perlu mengikut prinsip Islam.

Justeru, dalam isu saudara, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk sertai acara Yam Seng dengan syarat ia dilakukan mengikut batasan syarak seperti menggunakan air yang halal, tidak bersentuhan dengan yang bukan mahram dan seumpamanya.

Walaupun begitu, jika dapat mengelakkan alangkah baiknya tidak dilaksanakan, tetapi digantikan dengan doa yang difahami sebagaimana diajar di dalam Islam seperti:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِى خَيْرٍ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu ketika bahagia dan ketika susah, serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Begitu juga, kerana sebuah kaedah mengajar kita untuk keluar daripada khilaf:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Akhir kalam, kami ucapkan tahniah atas perkahwinan saudara dan kami doakan agar hubungan kalian berpanjangan, diredhai Allah SWT dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply