Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Biasanya di bulan Ramadan kita akan mengadakan aktiviti tadarus al-Quran di pejabat-pejabat. Masa aktiviti ini bergantung kepada ahli tadarus. Sekiranya ahli bertadarus semasa waktu bekerja, apakah hukumnya? Adakah dibolehkan disebabkan aktiviti tersebut telah dibenarkan oleh majikan atau sebaliknya. Ini kerana ia telah mengambil waktu bekerja yang sepatutnya. Mohon pencerahan dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ: آلِمُ حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلْفُ حَرْفٍ وَمِيمٍ حَرْفٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan Rasulullah SAW tidak menentukan cara yang khusus untuk mengkhatamkan al-Quran kerana ia termasuk perkara yang boleh diijtihadkan. Maka, berbalik kepada isu di atas, kami nyatakan ia berbalik kepada budi bicara di Syarikat saudara kerana setiap Syarikat mempunyai etika dan undang-undang masing-masing. Namun, kami mengesyorkan supaya waktu tadarus itu dihadkan misalnya satu jam atau yang bersesuaian. Ini kerana perlu kita fahami bahawa setiap pekerja mempunyai kerja hakiki yang perlu mereka jalankan dan mencapai KPI yang telah ditetapkan.

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan kepada hati kefahaman dalam agama serta cintakan al-Quran dan dapat mentadabburinya.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.

Leave a Reply