Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum solat berimamkan anak yang belum baligh (6 tahun)?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Solat berjemaah amat dianjurkan dan merupakan salah satu amalan sunat mu’akkad bagi individu Muslim, bahkan fardu kifayah ke atas masyarakat Islam. Rasulullah SAW bersabda mengenai ganjaran solat berjemaah:

صَلاةُ الجَمَاعَةِ أَفضَلُ مِنْ صَلاةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ درَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih afdal 27 kali ganda tingkatan pahalanya berbanding solat bersendirian.

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (650)

Manakala berkaitan kanak-kanak belum baligh menjadi imam solat, para ulama berbeza pendapat di dalam perkara ini, mereka terbahagi kepada 2 pendapat seperti berikut:

  1. Kanak-kanak yang belum baligh tidak boleh menjadi Imam

Ini merupakan pendapat muktamad menurut:

  • Mazhab al-Hanafiyyah

Imam Ibn ‘Abidin berkata: “Tidak sah solat para lelaki berimamkan wanita, khunsa dan kanak-kanak yang belum baligh.” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin atau Radd al-Mukhtar, 1/577)

  • Mazhab al-Malikiyyah

Imam al-Kharasyi berkata: “Kanak-kanak tidak boleh menjadi imam kerana kita tidak aman daripada kebarangkalian diri kanak-kanak itu solat dalam keadaan bergelumang dengan najis dan berada dalam keadaan tidak suci. Untuk dirinya, tidak mengapa. Namun jika untuk memimpin solat, maka tidak boleh, sama ada solat fardu atau solat sunat.” (Lihat Syarah al-Kharasyi ‘ala Mukhtasar Khalil, 2/25)

Imam Bahram al-Damiri berkata, di samping itu, mazhab Maliki juga mempunyai satu pendapat yang membenarkan kanak-kanak belum baligh menjadi imam dalam solat sunat sahaja, pendapat ini termaktub di dalam salah satu kitab muktabar mazhab Maliki iaitu Kitab al-’Utbiyah oleh Imam Muhammad al-’Utbi bin Ahmad al-Umawi al-Maliki. (Lihat Tahbir al-Mukhtasar, 1/379)

  • Mazhab al-Hanabilah

Imam Mansur al-Buhuti berkata: “Nabi SAW menyatakan imam adalah ibarat penjamin, dan kanak-kanak tidak layak menjamin apa-apa barang pun, atau bahkan memiliki barang harta pun dia belum berkelayakan. Kita juga tidak mampu memastikan bacaan kanak-kanak sentiasa tepat, terutamanya ketika dia membaca secara perlahan.” (Lihat Kasysyaf al-Qina’ oleh al-Buhuti, 1/479)

Menurut pendapat ini, kanak-kanak yang belum baligh tidak boleh menjadi Imam, jika mereka menjadi Imam maka solat imam dan makmum di belakang tersebut tidak sah.

Dalil bagi pendapat ini adalah hadith sabdaan Rasulullah SAW:

لَا تُقَدِّمُوا صِبْيَانَكُمْ وَلَا سُفَهَاءَكُمْ فِي صَلَاتِكُمْ فَإِنَّهُمْ وَفْدُكُمْ إِلَى الله تَعَالَى

Maksudnya: “Janganlah kamu melantik kanak-kanak dan orang bodoh dalam kalangan kalian untuk menjadi imam solat kalian. Imam adalah wakil kalian di hadapan Allah SWT.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Khilafiyyat (3/390)

Begitu juga fatwa para sahabat, Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma juga mengatakan:

لَا يَؤُمُّ الْغُلَامُ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: Budak kecil tidak boleh menjadi imam, sampailah dia mencapai umur baligh.

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (5858)

Para fuqaha’ Salaf seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, ‘Ata’ bin Abu Rabah, al-Sya‘bi dan Mujahid bin Jabr juga berfatwa bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak boleh menjadi imam. (Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 1/306)

  1. Kanak-kanak belum baligh boleh menjadi imam dengan syarat: sudah mumaiyiz

Ini merupakan pendapat muktamad di sisi mazhab al-Syafi‘i dan para ulama al-Syafi‘iyyah.

Mumaiyiz bermaksud kanak-kanak itu boleh membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk. Jika belum mumaiyiz, maka tidak boleh.

Imam al-Nawawi berkata: “Berkenaan isu kanak-kanak belum baligh menjadi imam kepada para makmum yang dewasa, mazhab kita (al-Syafi‘i) memutuskan bahawa kanak-kanak belum baligh boleh menjadi imam dan solat tersebut sah.” (Lihat Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/249)

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Salamah R.A berikut:

قَالَ أَبِي: جِئْتُكُمْ مِنْ عِنْدِ النَّبِيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ حَقًّا، فَقَالَ: إذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا، قَالَ: فَنَظَرُوا فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَكْثَرَ مِنِّي قُرْآنًا، فَقَدَّمُونِي وَأَنَا ابْنُ سِتّ أَوْ سَبْعِ سِنِينَ

Maksudnya: “Ayahku (Salamah) berkata: Aku beritahu kalian suatu kebenaran daripada Nabi SAW. Ayahku berkata: Apabila hendak solat, maka hendaklah salah seorang dalam kalangan kalian mengumandangkan azan, dan hendaklah orang yang paling banyak menghafaz al-Quran menjadi imam.Lantas mereka melihat sekeliling, dan tidak mendapati sesiapa pun yang lebih banyak menghafaz al-Quran berbanding aku. Kemudian, mereka melantik aku menjadi imam sedangkan aku ketika itu baru sahaja berumur 6 atau 7 tahun.”

Riwayat al-Bukhari (4302)

Mazhab al-Syafi‘i mengatakan kanak-kanak belum baligh yang mumaiyiz boleh mengimamkan solat, sama ada solat fardu mahupun solat sunat berdalilkan hadith Salamah menerusi jalur yang lain, beliau berkata:

فَمَا شَهِدْتُ مَجْمَعًا مِنْ جَرْمٍ إِلَِّا كُنْتُ إِمَامَهُمْ، وَكُنْتُ أُصَلِّي عَلَى جَنَائِزِهِمْ إِلَى يَوْمِي هَذَا

Maksudnya: “Tidak ada satu pun ketika, melainkan akulah yang mengimamkan solat jemaah mereka, termasuklah aku imamkan solat jenazah mereka hingga kini.”

Riwayat Abu Daud (587)

Salamah mengimamkan solat jenazah mereka, dalam keadaan solat jenazah merupakan fardu kifayah, bukan ibadat sunat. Maka, status sah kanak-kanak belum baligh dan sudah mumaiyyiz menjadi imam adalah mencakupi solat fardu dan solat sunat.

Antara yang berpendapat seperti ini dalam kalangan fuqaha’ Salaf adalah Hasan al-Basri, ‘Urwah bin al-Zubair, al-Asy‘ath dan lain-lain. (Lihat Musannaf Ibn Abi Syaibah, 1/306)

Kesimpulan

Kami cenderung memilih pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i yang mengatakan kanak-kanak belum baligh boleh mengimamkan solat fardu mahupun solat sunat ketika ketiadaan lelaki baligh di sekelilingnya, dengan syarat kanak-kanak itu telah mumaiyiz berdalilkan hadith sahih daripada ‘Amr bin Salamah RA, bahawa bapanya menjadi imam seawal usia 6 atau 7 tahun, seperti umur yang dinyatakan di dalam soalan.

Kami menasihatkan agar ibu bapa dan penjaga agar mendidik anak-anak dengan hukum-hakam bersuci, bersolat bersama-sama serta mendedahkan mereka kepada situasi solat berjemaah di masjid, sekaligus memupuk budaya membaca dan menghafaz al-Quran sejak kecil. Kanak-kanak yang sedang membesar dengan keadaan seperti ini berkelayakan memimpin solat apabila keadaan memerlukan.

Kami juga menasihatkan agar mengutamakan lelaki yang sudah baligh dan lebih berpengetahuan berkenaan hukum-hakam solat, berbanding kanak-kanak yang belum baligh. Ini lebih menepati sunnah Rasulullah SAW. Jika tiada, barulah diberikan kepada kanak-kanak belum baligh yang lebih memahiri bacaan al-Quran.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Solat sah jika berimamkan kanak-kanak yang belum baligh untuk solat fardu dan solat sunat, berdalilkan hadith ‘Amr bin Salamah. Namun, lelaki yang telah baligh, walaupun lelaki itu mempunyai kekurangan yang nyata ataupun hamba sahaya, tetap lebih afdal menjadi imam berbanding kanak-kanak yang belum baligh, kerana berlaku khilaf tentang status sah kanak-kanak belum baligh menjadi imam.” Beliau juga menukilkan pendapat Imam al-Buwaiti yang memakruhkan kanak-kanak belum baligh menjadi imam. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/288)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِی مُقِیمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّیَّتِیۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَاۤءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku seorang yang mendirikan ibadat solat, begitu juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah permohonan kami.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a‘lam

Leave a Reply