Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah wanita membaca beberapa potong ayat al-Quran dengan tujuan untuk berdoa sewaktu dalam keadaan haid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Majoriti fuqaha’ berpandangan bahawa wanita yang didatangi haid tidak boleh membaca al-Quran sehinggalah dia suci. Ini sebagaimana yang thabit dalam hadith Ibn ‘Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

لَا تَقْرَأُ الحَائِضُ وَلَا الْجُــنُبُ شَــْـيئًا مِنَ الْقُرآنِ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596). Syeikh Syu‘aib al-Arnaut di dalam Takhrij al-‘Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Isma‘il bin ‘Ayyash yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya, dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya dha‘if.

Manakala berdoa dengan mana-mana potongan ayat al-Quran, hal yang demikian dibenarkan kerana larangan di dalam hadith tersebut terhad kepada pembacaan al-Quran sahaja. Adapun membaca potongan ayat dengan niat berdoa, maka perbuatan tersebut adalah diharuskan kerana suci dari hadas tidak disyaratkan untuk keharusan berdoa. Warid dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW sentiasa mengingati Allah di atas setiap hal keadaannya”

Riwayat Muslim (373)

Imam al-Nawawi mengatakan, hadith ini merupakan asal kepada keharusan berzikir mengingati Allah SWT dengan bertasbih (membaca: سُبْحَانَ اللَّهِ), bertahlil (membaca: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه), bertahmid (membaca: الحَمْدُ لِلَّهِ), dan seumpamanya dari bentuk-bentuk zikir. Perbuatan ini diharuskan dengan persepakatan kaum Muslimin. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/68)

Syeikh Ibn Baz pernah ditanya dalam Majmu‘ Fatawa (26/134) tentang hukum berdoa dalam keadaan tidak berwuduk, lalu beliau menjawab, tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berdoa dalam keadaan tidak berwuduk, bahkan dibolehkan meskipun dia dalam keadaan berjunub; kerana tidak bersuci tidak disyaratkan untuk berdoa. Inilah salah satu bentuk rahmat Allah SWT, kerana hamba-Nya memerlukan kepada doa ini pada setiap waktu. Akan tetapi, ia lebih dekat kepada kemustajaban sekiranya dia berdoa dalam keadaan suci, terutamanya dalam keadaan sujud. Rasulullah SAW juga pernah bersabda sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah R.A:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ، وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: “Keadaan yang paling dekat bagi seorang hamba dengan Tuhannya adalah semasa dia sedang sujud, maka perbanyakkanlah doa (ketika sujud).”

Riwayat Muslim (482)

Terdapat banyak doa yang diambil dari potongan ayat-ayat al-Quran, dan tidak menjadi masalah untuk wanita dalam haid mengamalkan doa-doa tersebut selama mana mereka tidak meletakkan niat untuk membaca al-Quran. Antara doa-doa tersebut adalah:

  • Doa memohon kesabaran dan keteguhan.

Disebutkan dalam Surah al-Baqarah ayat 250:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

  • Doa memohon dilimpahkan rasa syukur dalam diri.

Disebutkan dalam Surah al-Naml ayat 19:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

  • Doa memohon keteguhan di atas jalan hidayah.

Disebutkan dalam Surah Ali ‘Imran ayat 8:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

  • Doa memohon rahmat Allah SWT:

Disebutkan dalam Surah al-Kahf ayat 10:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

  • Doa keampunan buat diri dan saudara se-Islam, dan dihilangkan rasa tidak puas hati antara orang yang beriman.

Disebutkan dalam Surah al-Hasyr ayat 10:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan, semoga kita beroleh manfaat serta kefahaman yang benar di atas agama Allah SWT ini, seterusnya dapat beramal seiring dengan perintah-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply