Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum puasa bagi pesakit yang guna tiub kencing?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Tiub Kencing

Tiub/ Kateter kencing atau bahasa perubatan moden disebut sebagai “CBD” (Continuous Bladder Drainage) merupakan tiub khas yang telah disuci hama untuk dimasukkan ke dalam pundi kencing bagi mengeluarkan air kencing dari pundi. Ini mungkin dilakukan kerana beberapa sebab seperti pesakit mempunyai kudis tekanan, masalah kesukaran kencing atau pengawalan kencing, jangkitan sistem perkumuhan, koma dan sebagainya.

Berbalik kepada persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah: 187)

Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu cahaya fajar dari kegelapan malam, dengan terbitnya fajar sadiq. Kemudian sempurnakanlah puasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman hingga masuk waktu malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Muyassar,1/29)

Perkara yang Membatalkan Puasa

Terdapat 10 perkara selain makan dan minum, iaitu:

  • Masuknya sesuatu dengan sengaja ke dalam rongga badan
  • Masuknya sesuatu dengan sengaja ke dalam kepala
  • Memasukkan ubat ke dalam qubul ataupun dubur
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersetubuh dengan sengaja pada bahagian faraj
  • Keluarnya air mani disebabkan bersentuhan kulit
  • Keluarnya darah Haid dan Nifas
  • Gila
  • Murtad (Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/83-86)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum puasa bagi pesakit yang memakai tiub kencing adalah sah dan tidak batal kerana dalam hal ini ia termasuk dalam perkara yang darurat (perubatan) dan dimaafkan. Bahkan, tujuan tiub tersebut bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa misalnya tiub saluran makanan atau seumpamanya. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah: 286)

Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Himpunan Fiqh Islam ke-10 yang bersidang di Jeddah, Arab Saudi pada tarikh 23 hingga 28 Safar 1418H (bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1998M) menyebut: “Kaedah rawatan moden berikut disepakati tidak bertentangan dengan hukum syarak bahawa ianya tidak membatalkan puasa, (antaranya): Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing sama ada lelaki atau wanita seperti probe, urethroscope, barium, pencuci urethra, radio-opaque, atau ubat, larutan untuk mencuci pundi kencing.” (Lihat Resolusi Majlis Himpunan Fiqh Islam ke-10, hlm. 55)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakukan ibadah, disembuhkan dari penyakit dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Wallahua’lam.

Leave a Reply