Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan berkenaan kelompok Mu’ammariyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mereka ialah pengikut Mu’ammar bin ‘Abbad al-Sulami yang dianggap oleh golongan Mu’tazilah sebagai salah seorang ulama’ yang besar. Namanya ialah Abu al-Mu’tamir Mu’ammar bin ‘Abbad al-Sulami dan dilahirkan di Basrah. Antara penulisannya ialah Kitab al-Ma’ani, Kitab al-Istita’ah, Kitab al-Lail wa al-Nahar wa al-Amwal dan beberapa lagi yang lain. Beliau meninggal pada tahun 215 H.

Dia menganut fahaman menafikan sifat-sifat dan menafikan qadar baik dan jahat.

Antara penyelewengan yang terdedah ialah:

  1. Dia berkata bahawa Allah SWT itu tidaklah mencipta sifat-sifat makhluk seperti warna, rasa, bau, hidup, mati, mendengar, melihat, dan sifat-sifat lain yang berlaku pada makhluk.
  2. Bahawa sifat-sifat yang ada pada jisim itu tidak terhingga.
  3. Manusia ialah suatu yang lain daripada jasad yang dirasai. Manusia hidup, mengetahui, berkuasa, dan mempunyai ikhtiar. Manusia tidak bergerak, tidak diam, tidak berwarna, tidak melihat, dan mempunyai perasaan.

Apabila ditanya kepadanya, di manakah manusia itu? Mu’ammar menjawab, dia berada pada jasad yang ditadbirkan, di dalam Syurga dia diajar, di dalam Neraka dia diazab.

  1. Tidak harus dikatakan Allah itu Qadim, di samping Dia disifatkan dengan maujud lagi azali.
  2. Enggan menyatakan Allah itu mengetahui Diri-Nya.
  3. Mendakwa bahawa al-Quran itu termasuk dalam perkara ‘arad (sifat yang berdiri pada yang lain) dan ‘arad itu dua bahagian. Antaranya ialah yang dibuat oleh yang hidup dan antaranya dibuat oleh yang mati.

Mestilah pada hakikatnya Allah itu membuatnya dan al- Quran itu ialah perbuatan kepada tempat di mana Dia mendengar padanya. (Lihat Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam, hlm. 143-144)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *