Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah kedudukan pembela anak yatim pada hari akhirat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.

(Surah Dhuha: 9)

Ibn Kathir menyatakan, ayat ini merupakan dialog kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan, sebagaimana engkau (wahai Muhammad SAW) seorang yang yatim dahulu lalu Allah SWT melindungimu maka janganlah sesekali engkau mengasari anak yatim. Maksud ayat ini juga adalah janganlah kamu menghina, mengasari atau merendahkannya tetapi berbuat baiklah kepada mereka dan berlembutlah dengan mereka. Qatadah menyebutkan, jadilah kamu kepada anak yatim ini seperti seorang ayah yang penyayang. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/427).

Tambahan lagi, Ali al-Sabuni dalam tafsirnya turut menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah janganlah sesekali kita berlaku kasar kepada mereka ataupun mengambil harta mereka. Mujahid menyatakan, maksud ayat ini adalah jangan berbuat kasar. Adapun Sufyan pula menyatakan, janganlah sesekali kamu menzalimi mereka dengan mengambil harta mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/546).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat riwayat daripada Sahl, Rasulullah SAW bersabda:

أَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى، وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا

Maksudnya: “‘Aku dan penjaga anak yatim seperti ini di syurga,’ Baginda SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah, dan merenggangkan sedikit antara keduanya.

Riwayat al-Bukhari (5304)

Al-Mulla Ali al-Qari ketika menjelaskan berkenaan lafaz farraja “فَرَّجَ” menyatakan bahawa maksudnya adalah memisahkan. Manakala syai’an “شَيْئًا” di sini pula merujuk kepada sedikit sahaja kerana tidak dapat dibayangkan “banyak” padanya, seolah-olah ia menunjukkan kepada ketinggian martabat kenabian walaupun diikuti oleh martabat kemuliaan dan kemurahan hati. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/3101).

Selain itu, Ibn Battal juga ada menyatakan, menjadi kewajipan setiap orang Mukmin yang mendengar hadith ini untuk berusaha beramal dengannya agar dia menjadi pendamping Nabi SAW dan Nabi-nabi A.S yang lain. Tiada kedudukan yang lebih mulia di sisi Allah SWT pada hari akhirat kelak selain menjadi pendamping para nabi A.S.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 9/217).

Tambahan lagi, menurut Syeikh Muhammad Fu’ad  ‘Abd al-Baqi ketika menjelaskan makna hadith ini, yang dimaksudkan dengan “كَافِلُ اليَتِيمِ” (penjaga anak yatim) adalah orang yang menjalankan perkara-perkara yang melibatkan perihal anak yatim tersebut seperti nafkahnya, pakaiannya, mengajarnya adab-adab, mendidiknya dan lain-lain lagi. Kelebihan ini akan diperolehi bagi setiap orang yang menjaga anak-anak yatim ini dengan menggunakan harta mereka sendiri atau dengan menggunakan harta anak yatim tersebut dengan wilayah penjagaan. (Lihat Sahih Muslim yang ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Fu’ad, 4/2287).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa kedudukan pembela dan penjaga anak yatim pada hari akhirat adalah sangat tinggi dan dekat dengan Nabi SAW. Ini jelas sebagaimana isyarat yang ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam hadith di atas, di mana kedudukannya dengan Baginda SAW adalah seperti jari telunjuk dan jari tengah, yang direnggangkan sedikit antara keduanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply