Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika seseorang berkata kepada isterinya dalam keadaan terpaksa, “Ini saudara perempuanku,” kepada isterinya; adakah jatuh talak ataupun tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya ada menyatakan, “بَابٌ: إِذَا قَالَ لِامْرَأَتِهِ وَهُوَ مُكْرَهٌ: هَذِهِ أُخْتِي فَلاَ شَيْءَ عَلَيْهِ” (Bab: Apabila Seseorang Berkata Kepada Isterinya Kerana Dipaksa: “Ini Ialah Saudara Perempuanku,” Maka Tidak Ada Apa-apa — Hukuman atau Dosa — Ke Atasnya).

Kemudian, beliau menyebutkan di bawah bab berkenaan hadith, di mana Nabi SAW bersabda:

قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِسَارَةَ: هَذِهِ أُخْتِي. وَذَلِكَ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Nabi Ibrahim A.S berkata kepada Sarah, ‘Ini ialah saudara perempuanku,’ dan yang demikian (perkataan Nabi Ibrahim diucap) ialah kerana redha Allah Azza wa Jalla.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 5/2018).

Menurut al-Kasymiri, Imam al-Bukhari telah mengumpulkan di sini banyak nama daripada kalangan salaf. Sebabnya ialah kejadian yang serupa telah berlaku pada zaman Ibn ‘Abd al-Malik, lalu dia meminta fatwa daripada para ulama pada zamannya. Mereka pun sepakat mengeluarkan fatwa bahawa perkara tersebut tidak memberi kesan (yakni tidak ada apa-apa), dan Imam al-Bukhari pun menukilkannya. (Lihat Faidh al-Bari, 5/581).

Justeru, jelaslah bahawa seseorang yang berkata kepada isterinya dalam keadaan terpaksa: “Ini saudara perempuanku,” maka tidak ada apa-apa ke atas dirinya. Dalam erti kata lain, tidak jatuh talak ke atas dirinya mahupun dia dianggap berdosa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Leave a Reply