Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya bernazar jika tamat pengajian ijazah Sarjana (Master) saya akan berpuasa selama sebulan berturut-turut. Namun banyak kepayahan dialami, jadi saya menukar nazar kepada puasa dua minggu berturut-turut. Namun masih susah, jadi saya tukar kepada nazar puasa seminggu. Alhamdulillah selepas nazar puasa seminggu keadaan jadi mudah dan akhirnya saya tamat pengajian. Soalan saya nazar yang mana patut saya tunaikan. Adakah puasa sebulan? Dua minggu atau satu minggu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Nazar

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.”

(Surah al-Hajj: 29)

Diriwayatkan daripada  Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari (6696)

Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.

  • Sighah
  • Orang yang bernazar
  • Perkara yang dinazarkan.

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan wajib ke atas saudara melunaskan nazar saudara yakni berpuasa selama sebulan berturut-turut. Nazar ini tidak boleh ditukar kerana ia jumlah  yang berbeza iaitu sebulan dengan satu minggu atau dua minggu. Justeru, kami nasihatkan agar saudara melangsaikan nazar saudara kerana saudara telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana (Master). Jika sekiranya tidak mampu, maka hendaklah membayar kaffarah nazar. Kaffarah nazar sama seperti kaffarah sumpah. Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفّارَةُ النَّذْرِ كَفّارَةُ اليَمِينِ

Maksudnya: “Kaffarah nazar seperti kaffarah sumpah.”

Riwayat Muslim (1645)

Justeru, dalam hal ini, seseorang yang telah bernazar wajib memenuhi nazarnya, tetapi sekiranya dia tidak mampu menunaikan nazarnya, maka dia mesti membayar kaffarah sesegera mungkin, kerana pada asasnya, kaffarah itu luas dalam pelaksanaannya, tetapi seseorang itu mesti melaksanakan kaffarah itu sesegera mungkin kerana dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang yang boleh menghalangnya daripada menunaikan kaffarah tersebut.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: “Kewajiban bagi manusia apabila dia melanggar sumpahnya adalah untuk segera melaksanakan kaffarahnya dan tidak boleh ditangguhkan, kerana dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkin hari ini dia mampu untuk melaksanakan kaffarah, tetapi esok mungkin tidak, atau boleh jadi juga dia meninggal dunia pada keesokan harinya. Oleh itu, kewajipan bagi seseorang itu adalah segera melaksanakan kaffarah tanpa penangguhan.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 21/2)

Sesungguhnya kaffarah sumpah adalah pilihan antara:

  • memberi makan sepuluh orang miskin,
  • memberikan pakaian kepada mereka, atau
  • memerdekakan seorang hamba.

Jika seseorang itu tidak dapat dan tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan ini, maka dia mesti berpuasa selama tiga hari untuk membayar kaffarah tersebut.

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh seseorang itu menangguhkan kaffarah sumpah, dan dia mesti melaksanakan kaffarah itu sesegera mungkin setelah pelanggaran sumpah itu dilakukan, kerana ini adalah asas dalam perkara ini. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu untuk memberi makan, memberi pakaian, atau memerdekakan hamba dengan segera, maka dia wajib berpuasa selama tiga hari. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 19/454)

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.

 Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *