Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca satu ayat dalam al-Quran, Allah SWT menyebutkan tentang orang yang  mempersendakan orang beriman apabila bersama “syaitan-syaitan mereka.” Apakah maksud “syaitan mereka” dalam firman Allah SWT ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami bawakan terlebih dahulu firman Allah SWT menerusi Surah al-Baqarah:

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: “Apabila mereka bertemu dengan golongan yang beriman, mereka berkata secara berdusta: ‘Kami telah beriman,’ tetapi apabila mereka bersendirian bersama syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: ‘Kami tetap bersama kamu, kami hanya mempersenda orang yang beriman.’”

(Surah al-Baqarah: 14)

Ayat ini diturunkan bagi menceritakan kepada kita tentang sifat golongan Munafik, dan ia merupakan perincian lain berkenaan mereka, sebagaimana Allah SWT telah sebutkan serba sedikit berkenaan sifat mereka dalam ayat 8 dari Surah al-Baqarah. Kita dapat lihat bagaimana sifat tipu daya golongan Munafik ini yang kemudiannya dibongkarkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Terdapat juga dalam kalangan manusia, orang yang berkata: ‘Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat,’ sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman.”

(Surah al-Baqarah: 8)

Seterusnya, dalam ayat 14 ini pula Allah SWT kisahkan bahawa mereka melafazkan dengan lisan mereka sendiri akan keimanan serta kepercayaan kepada Allah SWT, kitab dan juga Rasul-Nya: “Kami beriman dan percaya kepada Muhammad dan apa jua yang dibawa olehnya dari sisi Allah.” Ucapan ini tidak lain sekadar penipuan bagi memelihara darah mereka (dari diperangi), harta dan zuriat mereka, serta menghalang kaum Muslimin dari merampas segala perkara tersebut. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 1/296; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/206)

Persoalannya, siapakah “syaitan” yang dimaksudkan dalam ayat ini? Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur memperincikan kalimah ini dalam al-Tahrir wa al-Tanwir (1/290) seraya berkata, al-Syayatin (الشَّيَاطِينُ) ini merupakan kata majmuk (banyak atau ramai) bagi syaitan. Syaitan ini pada hakikatnya merupakan salah satu dari ciptaan Allah SWT yang berasal dari bahang api, dan ia sejenis jin. Allah SWT menceritakan perihal Iblis dalam firman-Nya:

إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ

Maksudnya: “Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.”

(Surah al-Kahf: 50)

Kalimah “syaitan” ini masyhur dalam kalam para Nabi dan juga hukama’, dan ia secara mutlaknya merujuk kepada sesiapa sahaja yang melakukan perkara fasad dan mengajak ke arah keburukan. Jika orang Arab berkata: “Si fulan itu dari kalangan syaitan,” maka ia menjadi isti‘rah.[1] Kalimah ini juga terkadang disebutkan bagi merujuk kepada para pemimpin golongan Munafik, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami jadikan setiap nabi mempunyai musuh, iaitu syaitan dalam kalangan manusia dan jin yang membisikkan kata-kata indah bersifat dusta antara satu sama lain untuk memperdayakan mereka yang mendengar.”

(Surah al-An‘am: 112)

Para Mufassir berbeza pendapat tentang maksud al-Syayatin (الشَّيَاطِينُ) ini, antaranya:

  • Ibn ‘Abbas R.A dan al-Suddi menafsirkan: Mereka adalah pemimpin orang Kafir.
  • Pendapat Qatadah: Mereka adalah pemimpin mereka yang membimbing ke arah syirik dan keburukan.
  • Al-Kalbi pula berkata: Ia merujuk kepada syaitan jin.
  • Mujahid menafsirkan: Syaitan itu merujuk kepada sahabat-sahabat mereka dari golongan Munafik dan Musyrik.
  • Sekumpulan ahli tafsir pula berpendapat: Mereka adalah para pendeta.

Meskipun begitu, Imam al-Qurtubi cuba mengharmonikan kepelbagaian tafsiran ini, lalu berkata: Lafaz al-syaitanah (الشَّيْطَنَةُ) bermakna “jauh dari keimanan dan kebaikan,” iaitu meliputi kesemua tafsiran yang disebutkan. Allah jualah yang Maha Mengetahui. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/207; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/93)

Kesimpulan

Ringkasnya, kami juga tidak dapat mengatakan dengan pasti siapakah sebenar-benarnya dirujuk kalimah syaitan ini. Akan tetapi, kita fahami di sini bahawa syaitan itu adalah sesiapa sahaja yang mengajak golongan Munafik itu jauh dari kebaikan dan keimanan terhadap agama Islam yang benar ini.

Kami kongsikan di sini sedikit faedah dari ayat 14 Surah al-Baqarah ini, apakah signifikannya disebutkan “apabila mereka bersendirian bersama syaitan-syaitan mereka.” Syeikh al-Sya‘rawi ada menghuraikan bahawa manhaj syaitan itu berhajat kepada khalwat, yakni bersendiri tanpa dilihat atau didengari oleh orang lain. Hal yang demikian kerana, sekiranya manhaj ini dilakukan secara terbuka, ia pasti akan kelihatan keji. Maka, mereka yang tidak berada di atas landasan yang benar ini bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan agenda mereka dalam penyelewengan, dan ini merupakan bukti bahawa perbuatan tersebut adalah suatu jenayah serta keburukan, dan ia tidak boleh diketahui orang lain.

Selama mana suatu perbuatan itu sering disembunyikan dari pengetahuan orang lain, ketahuilah bahawa ia adalah salah satu dari amalan syaitan yang tidak diperkui mahupun diredhai Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 1/160)

Semoga kita beroleh kefahaman dan dapat mengambil iktibar dari ayat di atas. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam.

Nota Hujung:

[1] Isti‘arah bermaksud penggunaan perkataan yang membawa makna lain dari makna asalnya. Asal syaitan ini merujuk kepada jin, kemudian digunakan dalam konteks orang yang berperangai seperti syaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *