Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, boleh terangkan kepada kami apa yang terjadi selepas nabi mempersaudarakan Sa‘d bin Rabi’ dengan Abd Rahman Bin ‘Auf?. Mohon pendapat Dato’. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۭ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah al-Hasyr: 9)
Ibn Kathir menyebutkan, ungkapan ‘خَصَاصَةٌ’ ertinya adalah hajat dan keperluan. Maksudnya, mereka lebih mendahulukan orang-orang yang memerlukan daripada hajat dan keperluan diri mereka sendiri. Mereka memulakan untuk orang lain dahulu sebelum diri mereka sendiri.
Thabit di dalam hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “أفْضَلُ الصَّدقَةِ جَهْدُ المُقِلِّ” (Sebaik-baik sedekah adalah sedekah (hasil) jerih payah orang yang kekurangan). Darjat ini lebih tinggi daripada orang-orang yang bersedekah seperti yang Allah berfirman tentang mereka: “وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ” (Dan mereka memberikan makanan yang disukainya…). (Surah al-lnsan: 8) Juga firman-Nya: ‘وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ’ (dan seseorang memberikan harta yang dicintainya…) (Surah al-Baqarah: 177)
Orang-orang yang memberikan harta yang mereka cintai itu, maksudnya mereka bersedekah sedangkan mereka mencintai harta yang disedekahkan itu. Terkadang mereka tidak memerlukannya, serta tidak pula dalam keadaan darurat. Adapun orang-orang yang mendahulukan orang lain daripada diri mereka sendiri, maka mereka memberikan harta mereka kepada orang lain, sedangkan mereka sendiri memerlukannya. lni adalah darjat yang lebih tinggi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/71).
Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, perkataan al-Ithar (الإيثار) dalam ayat di atas bermaksud mendahulukan orang lain yang memerlukan berbanding dirinya sendiri, dalam keadaan mereka juga sebenarnya benar-benar berhajat kepada perkara tersebut. Ini adalah tahap yang lebih tinggi daripada mereka yang memberikan sebahagian daripada harta mereka yang mana mereka tidak memerlukan kepada harta itu ataupun tidak berada dalam keadaan darurat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/392).
Dalam memberikan jawapan kepada persoalan yang diajukan, kami katakan bahawa salah satu pengajaran yang dapat diperoleh setelah berlakunya hijrah Nabi ke Madinah adalah peristiwa di mana Sa‘d bin Rabi’, salah seorang dari kaum Ansar, yang telah dipersaudarakan oleh Rasulullah SAW dengan Abd Rahman Bin ‘Auf dari kalangan Muhajirin. Sa‘d bin Rabi’, dengan keagungan akhlaknya, rela mengorbankan harta bendanya dan bahkan isterinya untuk diberikan kepada Abd Rahman Bin ‘Auf.
Kisah ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abd Rahman bin ‘Auf bahawa beliau berkata:
لَمَّا قَدِمُوا المَدِينَةَ آخَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، وَسَعْدِ بْنِ الرَّبِيعِ، قَالَ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ: إِنِّي أَكْثَرُ الأَنْصَارِ مَالًا، فَأَقْسِمُ مَالِي نِصْفَيْنِ، وَلِي امْرَأَتَانِ فَانْظُرْ أَعْجَبَهُمَا إِلَيْكَ فَسَمِّهَا لِي أُطَلِّقْهَا، فَإِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُهَا فَتَزَوَّجْهَا، قَالَ: بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي أَهْلِكَ وَمَالِكَ، أَيْنَ سُوقُكُمْ؟ فَدَلُّوهُ عَلَى سُوقِ بَنِي قَيْنُقَاعَ، فَمَا انْقَلَبَ إِلَّا وَمَعَهُ فَضْلٌ مِنْ أَقِطٍ وَسَمْنٍ، ثُمَّ تَابَعَ الغُدُوَّ، ثُمَّ جَاءَ يَوْمًا وَبِهِ أَثَرُ صُفْرَةٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَهْيَمْ»، قَالَ: تَزَوَّجْتُ، قَالَ: «كَمْ سُقْتَ إِلَيْهَا؟». قَالَ: نَوَاةً مِنْ ذَهَبٍ، – أَوْ وَزْنَ نَوَاةٍ مِنْ ذَهَبٍ، شَكَّ إِبْرَاهِيمُ –
Maksudnya: “Ketika mereka (kaum Muhajirin) datang ke Madinah, Rasulullah SAW mempersaudarakan antara ‘Abd al-Rahman (bin ‘Auf) dengan Sa‘d bin al-Rabi’.” Sa‘d berkata kepada ‘Abd al-Rahman: “Sesungguhnya aku adalah orang Ansar yang memiliki banyak harta. Aku akan membahagikan hartaku kepada dua bahagian. Aku juga mempunyai dua orang isteri. Lihatlah siapa yang paling engkau sukai, lalu sebutkan kepadaku namanya, aku akan menceraikannya, dan apabila selesai masa ‘iddahnya maka nikahilah dia.” ‘Abd al-Rahman berkata: “Semoga Allah memberkatimu pada isterimu dan hartamu. Di manakah pasar kamu?” Mereka pun menunjukkan kepadanya pasar Bani Qainuqa‘. Beliau tidak kembali (dari pasar) melainkan dengan membawa lebihan keju kering dan minyak sapi. Kemudian beliau berulang kali pergi (berdagang di pasar). Pada suatu hari beliau datang (bertemu Baginda), dan terlihat padanya kesan-kesan berwarna kuning (daripada sapuan minyak wangi daripada za’faran). Nabi SAW bersabda: “Apakah khabarmu?” ‘Abd al-Rahman menjawab: “Aku sudah berkahwin.” Baginda bertanya: “Berapakah (mahar) yang engkau berikan untuk isterimu?” Beliau menjawab: “Sebutir emas – atau emas seberat satu bijian,” – Ibrahim ragu (tentang jumlah yang pasti).”
Riwayat Bukhari (3780)
Dalam persaudaraan ini, terdapat beberapa hikmah:
Pertama: Para Muhajirin tidak mempunyai harta dan tempat tinggal, maka mereka berkongsi dengan golongan Ansar setelah persaudaraan tersebut.
Kedua: Meningkatkan kesefahaman dan kasih sayang.
Ketiga: Agar sebahagian mereka saling membantu dalam peperangan. (Lihat Kauthar al-Jari Ila Riyadh Ahadith al-Bukhari, 7/8)
Inilah contoh akhlak mulia yang ditunjukkan oleh golongan Ansar kepada Muhajirin. Mereka adalah golongan yang digambarkan oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai golongan yang telah mencapai kejayaan hakiki dan mendapat kurniaan Syurga Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(Surah al-Taubah: 100)
Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259)
Justeru, kita dapat memahami dan mengambil pelajaran dari kisah persaudaraan Sa’d bin Rabi’ dengan Abd Rahman bin ‘Auf ini adalah betapa pentingnya persaudaraan dan solidariti antara umat Islam, tanpa mengira asal-usul atau latar belakang mereka. Selain itu, melalui persaudaraan ini, ia juga mengajarkan nilai-nilai seperti keikhlasan, pengorbanan, dan keadilan, yang menjadi asas dalam hubungan antara sesama Muslim.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Wallahua‘lam