Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Hari jumaat terdapat waktu mustajab, boleh terangkan kepada kami, bilakah waktu mustajab doa pada hari Jumaat? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman apabila kamu diseru kepada solat di hari Jumaat maka pergilah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Itulah yang lebih baik kepada kamu jika kamu mengetahui.”

Sayyid Qutb berkata: Ayat ini menggalakkan kaum Mukminin supaya meninggalkan segala urusan kehidupan dan masuk ke dalam ibadat mengingati Allah pada waktu dikumandangkan azan itu. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 7/207).

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Abu al-Qasim SAW bersabda:

فِي الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ. وَقَالَ بِيَدِه، وَوَضَعَ أُنْمُلَتَهُ عَلَى بَطْنِ الوُسْطَى وَالخِنْصِرِ. قُلْنَا: يُزَهِّدُهَا

Maksudnya: “Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, yang tidak ada seorang pun hamba muslim yang solat menepati waktu itu, lalu meminta kepada Allah kebaikan, melainkan Dia akan memberikannya,” Baginda mengisyaratkan dengan tangannya dan meletakkan hujung jari di atas perut jari tengah dan kelingking. Kami berkata: “Baginda menggambarkan singkatnya waktu itu.”

Riwayat al-Bukhari (5294)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, lafaz “وَقَالَ بِيَدِهِ” bermaksud memberi isyarat dengan tangannya dan ini termasuk dalam bentuk penggunaan kata untuk tindakan. Manakala “يُزَهِّدُهَا” pula bermaksud mengurangkannya. Abu Muslim al-Kajji dalam riwayatnya daripada Musaddad, syeikh (guru) Imam al-Bukhari, menjelaskan bahawa yang melakukan perkara tersebut adalah Bisyr bin al-Mufaddhal, perawi daripada Salamah bin ‘Alqamah, yang melakukan ini sehingga dalam konteks al-Bukhari terdapatnya tambahan. Namun, ada yang berpendapat, maksud meletakkan hujung jari di tengah tapak tangan adalah isyarat bahawa waktu Jumaat berada di tengah hari Jumaat, dan dengan meletakkannya pada jari kelingking adalah isyarat (menunjukkan) bahawa ia berada di akhir hari kerana jari kelingking adalah jari yang terakhir di tangan. (Lihat Fath al-Bari, 9/437).

Seterusnya, dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi, di antaranya:

  • Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.
  • Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.
  • Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.
  • Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/140).

Setelah melihat pendapat di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan sedikit perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Zad al-Ma‘ad dalam menentukan waktu yang mustajab ini:

Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadith Nabi SAW.

Pendapat Pertama: Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat, berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy‘ari.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ

Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar bapamu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat? Beliau menjawab: ‘Ya, aku pernah mendengarnya.’ Beliau berkata: ‘Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan.’”

Riwayat Muslim (853)

Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadith yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.

Pendapat Kedua: Waktunya adalah selepas asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding pendapat sebelumnya. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad, daripada Abu Sa‘id dan Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar.”

Riwayat Ahmad, (7688); Hadith ini adalah sahih dengan syawahidnya, manakala sanad hadith ini dinilai sebagai dhaif menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut.

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai dua belas jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar.”

Riwayat al-Nasa’i (1389); Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Nata’ij al-Afkar (2/436).

Terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas Asar. Tambahan pula, turut diriwayatkan Sa‘id bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat Asar sehingga terbenam matahari. Adapun Sa‘id bin Jubair apabila beliau menunaikan solat Asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadith yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/377).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas Asar sehinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana dalil-dalilnya adalah lebih kuat dan banyak. Ditambah lagi, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Sa‘id bin Jubair R.A.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Leave a Reply