Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kisah keislaman Amr ibn al-Jamuh R.A dan biodatanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Ibn Syihab Rahimahullah, dia berkata: Setelah orang-orang Madinah membai’ah Nabi SAW di ‘Aqabah, mereka pulang kepada kaum mereka. Mereka mengajak kaum mereka kepada Islam secara rahsia dan membaca al-Quran kepada mereka. Mereka kemudian mengutus Mu’az bin Afra’ dan Rafi’ bin Malik kepada Rasulullah SAW, meminta Baginda agar mengirim seorang lelaki untuk menyeru manusia kepada kitab Allah kerana peluang untuk diikuti sangat besar.
Maka Rasulullah SAW mengirim Mus’ab bin ‘Umair kepada mereka. Mus’ab mengajak mereka dengan aman dan Allah memberi hidayah kepada manusia melalui kedua tangannya sehingga tidak ada kampung dari kampung-kampung Ansar kecuali pembesarnya telah masuk Islam. ‘Amr bin al-Jamuh juga masuk Islam. Dia menghancurkan berhalanya sendiri. Dan orang-orang Muslim adalah orang-orang paling mulia di Madinah. Lalu Mus’ab kembali kepada Rasulullah SAW dan dia dikenali dengan julukan al-Muqri.” (Lihat juga Sifat al-Safwah, 1/161)
Ibn Hisyam menyebut dalam al-Sirah al-Nabawiyyah (2/70) bahawa Ibn Ishaq menyatakan: Apabila kaum Ansar pulang ke Madinah (setelah Bai’ah al-Aqabah), mereka segera mengisytiharkan keislaman mereka di situ. Pada masa itu, masih ada golongan dalam kalangan mereka yang masih menyembah berhala, antaranya ialah Amr bin al-Jamuh bin Zaid bin Haram bin Ka’ab bin Ghanm bin Ka’ab bin Salamah. Anak lelaki Amr bin Jamuh, iaitu Muaz bin Amr, telah berbai’ah kepada Rasulullah SAW dalam Bai’ah ‘Aqabah.
Amr bin Jamuh merupakan seorang pemimpin terkemuka dari Bani Salamah dan dihormati oleh masyarakat mereka. Dia telah membuat sebuah berhala di rumahnya yang diperbuat daripada kayu dan memberikannya nama Manat, suatu amalan yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pada masa itu.
Ketika dua pemuda Bani Salamah, iaitu Muaz bin Jabal dan Muaz bin Amr, anak kepada Amr, telah memeluk agama Islam bersama-sama dengan orang lain yang juga telah memeluk Islam dan turut menghadiri Bai’ah ‘Aqabah, maka pada suatu malam mereka pergi ke berhala Amr bin Jamuh untuk mengambilnya dan melemparkannya dalam keadaan terbalik di dalam telaga Bani Salamah yang kerap dijadikan tempat pembuangan sisa kotoran manusia.
Keesokan harinya, Amr bin Jamuh bertanya, “Celaka, siapa yang telah mengganggu tuhan kita semalam?” Amr bin Jamuh lalu mencari patung berhala tersebut. Apabila dia berjaya menemuinya, dia membersihkannya dan menghiasinya. Selepas itu, ia berkata, “Demi Allah, jika aku dapat mengetahui siapa pelakunya, aku pasti akan mengajarnya.””
Pada malam yang berikutnya, setelah Amr bin al-Jamuh telah tertidur, pemuda-pemuda itu kembali melakukan seperti yang mereka lakukan pada malam sebelumnya. Pada keesokan harinya, Amr bin Jamuh mendapati berhala miliknya dipenuhi dengan kotoran. Lantas, dia mencucinya, membersihkannya dan menghiasinya semula. Kejadian ini berulang selama tiga malam berturut-turut.
Selepas itu, Amr beredar sambil menghunus pedangnya dan menggantungkannya pada berhala tersebut. Dengan penuh kehairanan, dia berkata, “Demi Allah, aku benar-benar tidak tahu siapa yang berani melakukan ini kepadamu. Jika engkau benar-benar tuhan, lindungilah dirimu dengan pedang yang kubawa ini untukmu.”
Pada malam itu, ketika Amr bin Jamuh telah tertidur, pemuda-pemuda itu kembali melakukan tindakan yang sama. Mereka melepaskan pedang dari leher patung berhala tersebut dan menggantikannya dengan bangkai anjing. Kemudian, mereka mengikatnya ke patung berhala tersebut dengan seutas tali dan melemparkannya ke dalam salah satu telaga Bani Salamah, yang merupakan tempat pembuangan kotoran manusia. Pada keesokan harinya, Amr bin al-Jamuh mendapati patung berhala tersebut sudah tidak lagi berada di tempat asalnya.
Kemudian, dia meninggalkan rumahnya untuk mencari berhala tersebut dan akhirnya menemuinya di dalam telaga, dengan leher yang dikalungi oleh bangkai anjing. Pada saat itu, dia menyedari betapa sia-sianya berhala tersebut. Kemudian, dia diajak berbual oleh orang-orang dari kalangan kaumnya yang telah memeluk Islam dan dia pun ikut memeluk Islam. Semoga Allah merahmatinya. Setelah memeluk Islam dan menyedari semua kesilapannya, dia bersyukur kepada Allah yang telah menyelamatkannya dari kebutaan dan kesesatan. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/70)
Amr bin al-Jamuh R.A termasuk di antara para sahabat yang memiliki alasan yang dibenarkan Syariat untuk tidak ikut serta berperang kerana beliau tempang. Namun keadaan ini tidak mengurangkan semangatnya untuk tetap ikut beperang. Usaha anak-anaknya untuk menghalangnya juga tidak dipedulikannya. Akhirnya Rasulullah SAW meminta persetujuan anak-anak Amr bin al-Jamuh untuk membiarkannya ikut berjihad, jika dia sememangnya menginginkan mati syahid.
Beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana pendapat, jika aku meninggal hari ini, dapatkan aku menginjak syurga dengan kakiku yang tempang ini?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.” Kemudian Amr R.A berkata, “Demi Allah yang telah mengutusmu dengan al-haq, insya Allah, aku benar-benar akan menginjakkan kakiku ini di syurga hari ini.”
Kemudian Amr bin al-Jamuh R.A terjun ke medan tempur sehingga akhirnya keinginan beliau untuk syahid tercapai. (Diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dalam Kitab al-Jihad, hlm. 69; Ibn Hisyam dalam al-Sirah al-Nabawiyyah, 3/132)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”