Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Anaknya gelap sedangkan ayahnya cerah. Adakah boleh dianggap anak itu adalah anaknya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, anak merupakan satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada pasangan yang mendirikan rumahtangga. Firman Allah SWT:
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ
Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”
(Surah al-Nahl: 72)
Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ
Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki Nya.”
(Surah al-Syura: 49)
Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/198)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya perkahwinan antara suami isteri (yakni ibu bapa kepada anak tersebut) adalah sah, serta kedua ibu bapanya juga dikenali sebagai orang yang baik-baik, maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa anaknya itu adalah anaknya, meskipun warna kulit anak itu dengan bapanya berbeza; seorang gelap dan seorang lagi cerah.
Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وُلِدَ لِي غُلاَمٌ أَسْوَدُ. فَقَالَ: هَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: مَا أَلْوَانُهَا؟ قَالَ: حُمْرٌ. قَالَ: هَلْ فِيهَا مِنْ أَوْرَقَ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَأَنَّى ذَلِكَ؟ قَالَ: لَعَلَّهُ نَزَعَهُ عِرْقٌ. قَالَ: «فَلَعَلَّ ابْنَكَ هَذَا نَزَعَهُ
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, anakku lahir berkulit hitam.’ Baginda SAW bertanya: ‘Adakah engkau memiliki unta?’ Dia menjawab: ‘Ya.’ Baginda bertanya: ‘Apakah warna kulitnya?’ Dia menjawab: ‘Merah.’ Baginda bertanya lagi: ‘Adakah ada padanya warna kelabu?’ Dia menjawab: ‘Ya.’ Baginda bertanya: ‘Dari manakah asalnya warna itu?’ Dia menjawab: ‘Barangkali ia menyerupai baka keturunannya.’ Baginda bersabda: ‘Barangkali anakmu ini juga menyerupai baka keturunannya.’”
Riwayat al-Bukhari (5035)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Qurtubi yang berpendapat sebagaimana pendapat Ibn Rusyd bahawa tidak ada khilaf dalam kalangan ulama bahawa tidak dibenarkan untuk menafikan anak disebabkan perbezaan warna yang hampir seperti warna kulit dan kecoklatan, begitu juga warna putih dan hitam jika telah mengakui bersetubuh dan belum berlalu masa untuk memastikan kesucian rahim (dari benih), seolah-olah inilah pendapat dalam mazhabnya, dan sekiranya tidak, perselisihan pendapat tetap ada (wujud) dalam kalangan ulama al-Syafi‘iyyah dengan perincian berikut:
Mereka (ulama al-Syafi‘iyyah) menyatakan, jika tidak disertai bersamanya bukti zina, maka tidak dibenarkan membuat penafian. Sekiranya dia menuduh isterinya dan isterinya melahirkan anak dengan warna lelaki yang dituduh, maka dibolehkan baginya untuk membuat penafian menurut pendapat yang sahih, dan dalam hadith Ibn Abbas berkenaan li‘an ada yang menguatkannya.
Manakala menurut ulama Hanabilah, dibolehkan untuk membuat penafian berserta bukti (qarinah) secara mutlak, dan perbezaan pendapat adalah hanyalah ketika mana tidak ada bukti (qarinah). Ini adalah berlawanan dengan susunan perbezaan pendapat di sisi ulama al-Syafi‘iyyah. Ini menunjukkan bahawa hukum anak yang sah lebih diutamakan daripada tanda yang berlawanan dengan persamaan. Ini juga menunjukkan bahawa supaya mengambil langkah berhati-hati dalam menjaga keturunan dan nasab serta memastikan kesinambungannya selama mungkin serta menolak sangkaan yang buruk. (Lihat Fath al-Bari, 9/444).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”