Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar beberapa nama dan ejaan sebutan bagi malaikat Jibril seperti Jibra’il dan Jibrin. Sebenarnya, apakah lagi sebutan/ejaan untuk nama malaikat Jibril ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: “Berdasarkan pandangan orang Arab, terdapat beberapa cara pengucapan untuk nama Jibril.” Selanjutnya, beliau menyebutkan dengan sanadnya daripada Ibn ‘Abbas dan ‘Ikrimah, yang mana mereka menyatakan bahawa Jibril memiliki makna ‘Abdullah (hamba Allah). Manakala setiap perkataan yang mengandungi lafaz ‘iil’ pasti merujuk kepada Allah.

Al-Qurtubi menyatakan: “Berkenaan dengan (istilah) Jibril, terdapat sepuluh pandangan yang dikemukakan oleh para ulama’ ahli bahasa (pakar linguistik) mengenai cara sebutan perkataannya:

a-Jibril (جِبْرِيْل), sebagaimana yang diucapkan oleh penduduk Hijaz. Hassan menyatakan: “Jibril merupakan utusan Allah dalam kalangan kami.”

b-Jabril (جَبْرِيْل), dengan ejaan yang mem-fathah-kan huruf jim, merupakan sebutan yang diutarakan oleh al-Hasan dan Ibnu Kathir.

c-Jabra‘iil (جَبْرَئِيْل), yang ditulis dengan huruf ya selepas hamzah, adalah sama dengan ejaan ‘جَبْرَعِيْل (Jabra’iil), yang merupakan cara bacaan bagi penduduk Kufah.

Mereka merujuk kepada sebuah sya’ir (puisi):

شَهِدْنَا فَمَا تَلْقَى لَنَا مِنْ كَتِيبَةٍ … مَدَى الدَّهْرِ إِلَّا جَبْرَئِيلَ أَمَامَهَا

Kami telah berjuang tetapi tidak ada satu pun bala tentera yang berhadapan dengan kami sepanjang zaman, kecuali Jabra’iil (جَبْرَئِيلَ) berada di hadapannya.

[Bait ini adalah kepunyaan Hasan bin Thabit dalam Diwannya (1/522). Bait ini juga dinisbahkan kepada Ka’ab bin Malik. Lihat al-Khazanah, 1/199; al-Lisan, 4/114 dan al-Hujjah, 6/142]

Sebutan seperti itu adalah bahasa (dialek) penduduk Qais dan Tamim.

d-Jabra‘il (جَبْرَئِل), yang sepadan dengan perkataan ‘جَبْرَعِل (Jabra’il) apabila dibaca secara ringkas. Ini merupakan cara sebutan Abu Bakar, daripada ‘Asim.

e-Jabra’ill (جَبْرَئِلّ), dengan men-tasydid-kan huruf lam, merupakan bacaan yang digunakan oleh Yahya bin Ya’mar.

f- ‘Jabraa-il’ (جَبْرَائِل), iaitu dengan kehadiran huruf alif selepas ra dan diikuti oleh hamzah, merupakan lafaz daripada ‘Ikrimah.

g-Jabraa’iil (جَبْرَائِيْل), dengan menambahkan huruf alif, hamzah, dan ya.

h-Jabraayiil (جَبْرَايِيْل), yang ditulis dengan dua huruf ya dan tanpa hamzah, merupakan cara bacaan yang digunakan oleh al-A’masy dan Yahya bin Ya’mar.

i-Jabra’iin (جَبْرَئِيْن), di mana huruf jim diberi baris atas (fathah) dan huruf hamzah diberi baris bawah (kasrah), diikuti oleh huruf ya dan nun.

j-Jibriin (جِبْرِيْن), yang ditulis dengan huruf jim yang diberi kasrah, huruf ba yang disukunkan, dan diikuti oleh huruf nun tanpa huruf hamzah, merupakan sebahagian daripada bahasa Bani Asad.

Rujukan lanjut boleh ditemui dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran (2/37) oleh al-Qurtubi.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: “Perkataan ini mempunyai tiga belas bahasa (cara dalam pengucapannya).” Selepas itu, beliau telah menyebutkannya. (Lihat Fath al-Bari, 6/37).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah aku dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply