Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah yang dimaksudkan dengan ulama? Adakah sesiapa sahaja yang berkelulusan agama itu sudah cukup untuk menjadikannya ulama?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, dari sudut bahasa, perkataan ulama (عُلَمَاءٌ) itu berasal dari perkataan ilmu (عِلْمٌ) yang kembali kepada kata terbitan [عَلِمَ – يَعْلَمُ – عِلْمًا] yang bermaksud “mengetahui.” Ulama (عُلَمَاءٌ) ini juga merupakan kata ganda bagi alim (عَالِمٌ) yang bererti “seorang yang berpengetahuan.” (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 217)
Apabila disebutkan tentang siapakah ulama itu, ia bukanlah isyarat kepada sesiapa sahaja yang mempunyai asas ilmu pengetahuan secara umumnya. Sebaliknya, ulama ini mempunyai beberapa kriteria yang tertentu sebagai pembeza antara mereka dengan penuntut ilmu agama yang biasa. Ulama ini adalah mereka yang arif tentang syari‘at Allah SWT, faqih tentang hukum-hakam agama-Nya, beramal dengan ilmu yang telah mereka pelajari dengan bimbingan serta kefahaman yang benar. Mereka ini adalah orang-orang yang Allah SWT kurniakan pada mereka hikmah. Firman-Nya:
وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak.”
(Surah al-Baqarah: 269)
Ulama ini juga, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Tabari, adalah mereka yang Allah ‘Azza wa Jalla jadikan sebagai tulang belakang kepada masyarakat awam dalam perbahasan fiqh dan ilmu pengetahuan, termasuklah urusan keduniaan mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 6/544)
Ibn al-Qayyim pula mendefinisikan, ulama ini adalah fuqaha’ Islam dan sesiapa sahaja yang diambil pandangannya oleh masyarakat Islam sebagai fatwa, iaitu mereka yang pakar dalam mengistinbat hukum serta berperanan dalam meletakkan kaedah halal haram. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/8)
Antara kriteria lain bagi ulama, mereka ini adalah rujukan dalam agama yang telah mencapai satu kedudukan yang tinggi dalam ijtihad, tinggi kesabarannya dan sempurna keyakinannya kepada Allah SWT. Ini disebutkan dalam firman-Nya:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”
(Surah al-Sajdah: 24)
Ulama ini juga disifatkan sebagai pewaris para Nabi; yakni mewarisi ilmu para Nabi. Ilmu-ilmu tersebut tersemat dalam dada mereka, dipraktikkan dalam tingkah laku mereka, dan mengajak mereka ke arah ilmu. Ini juga thabit dalam hadith Abu Darda’ R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.”
Riwayat Abu Daud (3641), al-Tirmizi (2682), dan Ibn Majah (223)
Mereka ini adalah sekelompok individu dari kalangan umat manusia yang keluar untuk mempelajari agama Allah SWT, kemudian mereka bertanggungjawab dalam menyampaikan dakwah dan menyampaikan peringatan. Firman Allah SWT:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Dan tidak seharusnya bagi orang beriman semuanya untuk keluar berperang. Hendaklah ada daripada setiap kelompok masyarakat Islam satu kumpulan yang keluar menuntut ilmu agama supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaum mereka apabila pulang agar kaum-kaum tersebut beringat.”
(Surah al-Taubah: 122)
Ulama ini merupakan orang yang menyampaikan petunjuk kepada umat manusia. Tidak akan ada satu zaman melainkan pasti akan ada ulama, sehinggalah tibanya hari yang dijanjikan oleh Allah SWT. Mereka ini akan memimpin kelompok manusia yang diberikan petunjuk oleh Allah SWT sehinggalah tibanya hari Kiamat. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Mu‘awiyah bin Abi Sufyan R.A:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ
Maksudnya: “Akan sentiasa wujud sekelompok individu dari kalangan umatku yang terus menegakkan perintah Allah. Orang-orang yang meninggalkan mereka dan menyelisihi mereka tidak akan sesekali memudaratkan perjuangan mereka, sehinggalah datang ketentuan Allah dan mereka ini diangkat dalam kalangan manusia.”
Riwayat Muslim (1037)
Imam al-Nawawi menyatakan, kelompok ini ada beberapa takwilan:
- Imam al-Bukhari menyebutkan: Mereka adalah ahli ilmu.
- Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata: Sekiranya mereka bukan Ahli Hadith, maka aku tidak tahu siapakah mereka.
al-Qadhi ‘Iyadh menjelaskan maksud Imam Ahmad ini, katanya, beliau merujuk kepada Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan semua yang berpegang dengan mazhab Ahli Hadith.
Kemudian Imam al-Nawawi berkata lagi, kemungkinan kelompok ini boleh terpecah kepada beberapa kumpulan orang Mukmin. Ada di antara mereka orang-orang yang berani menyertai peperangan, atau para ulama hadith, atau orang-orang yang zuhud, atau mereka yang mengajak kepada perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka juga mungkin terdiri dari kalangan orang yang berkeahlian dalam apa jua bidang yang membawa kepada kebaikan. Mereka tidak semestinya berkumpul di satu tempat sahaja, bahkan mungkin mereka ini bertebaran di setiap pelosok bumi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/67)
Apa jua pendapat berkenaan kelompok yang disebutkan ini, mereka tetap bersepakat bahawa ulama itu adalah pemimpin mereka yang sentiasa terkehadapan, dan orang lain pula menjadi pengikut mereka. Ulama ini, meskipun pada suatu hari nanti jasad mereka akan binasa, akan tetapi kesan-kesan peninggalan mereka itu akan kekal wujud. Dalam sebuah athar Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A, beliau memberikan satu wasiat yang panjang kepada Kumail bin Ziyad al-Nakha‘i:
الْعُلَمَاءُ بَاقُونَ مَا بَقِيَ الدَّهْرُ، أَعْيَانُهُمْ مَفْقُودَةٌ، وَآثَارَهُمْ فِي الْقُلُوبِ مَوْجُودَةٌ
Maksudnya: “Ulama itu kekal selama-lamanya, jasad mereka mungkin telah tiada, kesan peninggalan mereka kekal wujud di dalam hati.” (Lihat Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/244)
Al-Khatib al-Baghdadi berkata, athar ini merupakan sebaik-baik athar dari sudut maknanya, yang paling mulia lafaznya. Ibn ‘Abd al-Barr juga berkata, hadith ini masyhur di kalangan ahli ilmu, tidak perlu lagi dibawakan sanad kerana kemasyhurannya di sisi mereka. (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 1/182; Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/68)
Natijahnya, gelaran ulama ini tidak memadai dengan hanya berlatar belakangkan kelulusan agama semata-mata, bahkan ia khusus buat mereka yang pakar dalam bidang-bidang yang tertentu sehingga dijadikan rujukan. Semoga penerangan ringkas ini dapat menjadi panduan kepada kita dalam mencari ulama sebenar sebagai guru.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam.