Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kisah akhir kehidupan Ibn Ummi Maktum? Saya ada dengar bahawa beliau telah syahid dalam satu peperangan, sedangkan dia adalah seorang yang buta? Boleh jelaskan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh Mahmud al-Misri menyebut dalam kitabnya Ashab al-Rasul SAW (2/144-152):
Abdullah Ibnu Ummi Maktum termasuk dalam kalangan individu yang memiliki semangat yang tidak pernah padam. Allah SWT telah memberikan beliau keampunan dari tujuh lapisan langit, namun beliau menolak untuk tidak berjuang di jalan Allah. Beliau tidak merasa dirinya kurang upaya untuk mencari peranan yang sepadan dengan keupayaannya dalam membantu agama Allah SWT.
Beliau turut serta dalam peperangan sambil menyatakan:
ادْفَعُوا إِلَيَّ اللِّوَاءَ، فَإِنِّي أَعْمَى لاَ أَسْتَطِيْعُ أَنْ أَفِرَّ، وَأَقِيْمُوْنِي بَيْنَ الصَّفَيْنِ
Maksudnya: “Serahkanlah panji itu kepadaku, kerana aku adalah seorang yang buta dan tidak mampu untuk melarikan diri. Letakkan aku di antara dua barisan.”
Ini adalah riwayat yang dicatat oleh Ibn Sa’d dalam al-Tabaqat al-Kubra (4/196).
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab R.A telah mengukuhkan azamnya untuk menentang bangsa Parsi dalam pertempuran yang kritikal, dengan tujuan untuk meruntuhkan negara mereka, memusnahkan kerajaan mereka dan membuka laluan di hadapan tentera Muslim. Oleh itu, beliau menulis arahan kepada semua bawahannya yang berbunyi, “Jangan biarkan sesiapa yang memiliki senjata, kuda dan bekalan kecuali kamu pilih, kemudian bawa mereka semua kepadaku. Lakukanlah itu secepat mungkin!”
Bermula dengan seruan al-Faruq, sebilangan besar umat Islam telah berhimpun dan berdatangan ke Madinah dari pelbagai arah. Salah seorang daripada mereka adalah seorang pejuang yang buta, ‘Abdullah bin Ummi Maktum. Al-Faruq kemudian melantik Sa’ad bin Abi Waqqas R.A sebagai pemimpin mereka, memberikan wasiat dan melepaskan mereka untuk berangkat.
Apabila pasukan itu tiba di Qadisiyah, ‘Abdullah bin Ummi Maktum muncul dengan memakai perisainya dan melengkapkan peralatannya. Dia menyerahkan dirinya untuk membawa panji umat Islam dan menjaganya, atau gugur dalam mempertahankannya.
Maka, dua pasukan itu bertempur selama tiga hari dalam keadaan yang amat genting dan mengerikan. Kedua-dua belah pihak terlibat dalam suatu pertempuran yang belum pernah berlaku sepanjang sejarah penaklukan sebelum ini, sehingga pada hari ketiga, kemenangan yang besar bagi umat Islam menjadi jelas. Akhirnya, runtuhlah salah satu negara terbesar pada ketika itu.
Singgahsana yang paling agung di dunia telah pun musnah. Sementara itu, panji tauhid telah dinaikkan tinggi di tanah yang penuh dengan berhala itu. Walaupun ini merupakan kemenangan yang besar, namun ia perlu dibayar dengan harga yang tinggi, di mana beratus-ratus syuhada telah gugur. Di antara syuhada tersebut adalah ‘Abdullah bin Ummi Maktum. Beliau ditemui telah gugur dengan badan bersimbah darah sambil memegang erat panji kaum Muslimin. (Lihat Suwar min Hayat al-Sahabah, hlm. 156-157)
Dalam riwayat yang disampaikan oleh Anas, terdapat catatan bahawa ‘Abdullah bin Zaidah, yang juga dikenali sebagai Ibn Ummi Maktum, telah turut serta dalam perang Qadisiyah dengan memakai perisai yang kukuh dan panjang. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 4/154)
Al-Waqidi mengungkapkan, “Beliau turut serta dalam pertempuran Qadisiyyah dengan membawa bendera, kemudian kembali ke Madinah dan akhirnya meninggal di sana.”
al-Zahabi menyatakan, “Menurut pandanganku, terdapat pendapat yang menyebut bahawa beliau gugur sebagai syahid dalam pertempuran Qadisiyah.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, I/365)
Betapa mulianya engkau, wahai muazzin Rasulullah SAW, ketika engkau menyaksikan peperangan, tikaman tombak dan tusukan pedang, engkau memegang panji, walaupun engkau seorang yang buta. Dari tanah liat suci yang harum semerbak manakah engkau berasal? Dalam rahim yang manakah engkau dikandung? Dan dari tulang sulbi yang manakah engkau keluar? Seolah-olah engkau datang kepada kami dari dunia yang lebih tinggi, bukan dunia kami ini! (Lihat Ashab al-Rasul SAW, 2/144-152)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”