Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum solat sunat rawatib semasa azan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Daripada Ummu Habibah R.’Anha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ: أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zohor, dua rakaat setelah solat Zohor, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.”
Riwayat Muslim (728), Abu Dawud (1250), al-Tirmidzi (415), al-Nasaie (1808), Ibn Majah (1141) dan Ahmad (26769).
Melaksanakan solat sunat rawatib mengiringi solat-solat fardhu adalah suatu amalan sunnah Rasulullah SAW yang amat digalakkan. Amalan ini juga menjanjikan ganjaran pahala yang sangat agung daripada sisi Allah SWT.
Dibolehkan untuk melaksanakan solat sunat rawatib (qabliyah) semasa azan masih dikumandangkan. Hal ini kerana, waktu untuk melakukan solat sunat rawatib qabliyah (sebelum) adalah ketika sejurus sahaja masuk waktu solat fardu tersebut. Tidak semestinya harus menunggu azan selesai dilaungkan, sepertimana yang difatwakan oleh ulama-ulama mazhab al-Syafi‘i.
Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi berkata: “Masuk waktu solat sunat rawatib sebelum fardhu itu adalah ketika masuknya waktu solat fardhu tersebut. Manakala sunat Rawatib yang selepas fardhu adalah setelah dilakukan solat fardhu.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/36)
Imam Ibn Hajar al-Haitami juga berkata: “Kemudian, solat sunat rawatib yang mu’akkad dan yang tidak mu’akkad yang akan disebutkan selepas ini, jika ia adalah Qabliyah, masuklah waktunya dengan masuknya waktu solat fardhu. Namun boleh dilakukannya juga selepas solat fardhu.” (Lihat al-Minhaj al-Qawim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, 1/138)
Imam al-Nawawi juga turut mengatakan perkara yang sama di dalam karya beliau yang lain, kata beliau: “Ashab kami (al-Syafi‘iyyah) berkata: Masuk waktu solat sunat yang sebelum solat Fardhu adalah apabila masuk waktu solat fardhu tersebut. Dan kekallah waktunya itu selama tidak habis waktu solat fardhu. Tetapi sunat ia dilakukannya sebelum solat fardhu.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/11)
Kesimpulan
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa dibolehkan untuk melaksanakan solat sunat rawatib (qabliyah) semasa azan masih dikumandangkan, namun yang lebih utama dan lebih afdal adalah bersolat sunat rawatib selepas selesai azan dikumandangkan. Ketika azan dikumandangkan, kita disunatkan untuk menjawab azan.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”
Wallahu a‘lam.