Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah mereka yang kematian anak dapat menjadi hijab dari neraka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Menjawab persoalan di atas, ya, benar sekali, tetapi dengan syarat anak-anak tersebut belum lagi akil baligh. Kami kemukakan beberapa hadith Nabi SAW berkenaan perkara ini seperti berikut:

  • Daripada Anas R.A, dia berkata: Nabi SAW bersabda: 

مَا مِنَ النَّاسِ مِنْ مُسْلِمٍ، يُتَوَفَّى لَهُ ثَلاَثٌ لَمْ يَبْلُغُوا الحِنْثَ، إِلَّا أَدْخَلَهُ اللهُ الجَنَّةَ بِفَضْلِ رَحْمَتِهِ إِيَّاهُمْ.

Maksudnya: “Tidak ada seorang Muslim pun yang tiga orang anaknya meninggal dunia sebelum baligh kecuali Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kerana limpahan rahmat-Nya kepada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1248)

  • Daripada Abu Sa‘id R.A, bahawa beberapa orang wanita berkata kepada Nabi SAW: “Khususkanlah satu hari untuk Tuan memberi nasihat kepada kami.” Lalu Baginda menasihati mereka dan bersabda: 

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَ لَهَا ثَلاَثَةٌ مِنَ الوَلَدِ، كَانُوا حِجَابًا مِنَ النَّارِ»، قَالَتِ امْرَأَةٌ: وَاثْنَانِ؟ قَالَ: «وَاثْنَانِ».

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang tiga orang anaknya meninggal dunia, maka mereka akan menjadi penghalang buatnya daripada api neraka. Seorang wanita bertanya: “Kalau dua orang?” Baginda menjawab: “Begitu juga dua orang.”

Riwayat al-Bukhari (1249)

  • Daripada Abu Sa‘id dan Abu Hurairah R.Anhuma, daripada Nabi SAW. Abu Hurairah berkata: 

لَمْ يَبْلُغُوا الحِنْثَ.

Maksudnya: “Apabila mereka belum lagi baligh.”

Riwayat al-Bukhari (1250)

  • Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: 

لاَ يَمُوتُ لِمُسْلِمٍ ثَلاَثَةٌ مِنَ الوَلَدِ، فَيَلِجَ النَّارَ، إِلَّا تَحِلَّةَ القَسَمِ». قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: {وَإِنْ مِنْكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا} .

Maksudnya: “Tidaklah seseorang Muslim itu yang kematian tiga orang anaknya akan masuk ke dalam api neraka melainkan sekadar penebus sumpah.” Abu Abdillah Imam al-Bukhari berkata: (sumpah itu ialah): “وَإِنْ مِنْكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا” (Maksudnya: “Dan tiada seorang pun antara engkau melainkan akan sampai kepadanya”) (Surah Maryam: 71)

Riwayat al-Bukhari (1251)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

lbn al-Manayyar mengatakan bahawa dalam tajuk bab ini, Imam al-Bukhari mengungkapkan dengan kata “keutamaan” (بَابُ فَضْلِ مَنْ مَاتَ لَهُ وَلَدٌ فَاحْتَسَبَ ) (Bab : Kelebihan Bagi Orang Yang Anaknya Meninggal Dunia, Lalu Dia Mengharapkan Dan Meyakini Ganjaran) bagi menggabungkan tiga hadis yang disebutkannya. Sebab hadis pertama menerangkan tentang masuk syurga. Hadis kedua tentang penghalang dari neraka, dan hadis ketiga tentang batasan masuk ke neraka dengan sekejap di mana orang yang mengalaminya memiliki keutamaan masing-masing. 

Ketiga-tiga hadith tersebut dapat digabungkan bahawa masuk (neraka) tidak memberi maksud terhalang (daripada apinya), maka disebutkan lafaz “terhalang” mempunyai faedah tambahan, iaitu akibat masuk ke dalamnnya terlebih dahulu. Sedangkan hadis ketiga, yang dimaksud dengan “masuk” adalah melewati. 

Mengenai ungkapan, ‘يُتَوَفَّى لَهُ’ (Ditinggal mati anaknya), dalam riwayat Ibn Majah, disebutkan, “Tidaklah seorang pun di antara kaum muslimin yang ditinggal mati oleh kedua anaknya.” Menurut makna harfiah dari lafaz “anaknya”, yang dimaksud adalah bapa. Andaian ke arah ini terdapat dalam riwayat al-Nasa’i yang telah dinukilkan terdahulu melalui jalur Hafs, daripada Anas, dimana disebutkan. “Tiga orang anak dari tulang sulbinya.” Demikian juga dengan hadis ‘Uqbah bin Amir. Namun apakah cucu yang berasal daripada anak lelaki masuk dalam cakupan perkataan anak? Ini memerlukan kajian yang lebih mendalam. Hanya saja nampaknya bahawa cucu daripada anak lelaki kandung masuk juga dalam kategori anak sendiri, terutama apabila anak lelaki kandung tersebut sudah tidak ada. Disebutkannya anak dari tulang sulbi memberi andaian bahawa cucu dari anak perempuan tidaklah masuk dalam cakupan hadis di atas.

Mengenai ungkapan, ‘لَمْ يَبْلُغُوا الحِنْثَ’ (belum mencapai usia baligh), al-Raghib berkata: “Digunakan perkataan al-Hinth (الحِنْثَ), untuk menyatakan masa baligh adalah kerana seseorang pada usia ini telah dikenakan hukuman atas perbuatannya, berbeza dengan sebelumnya. Sedangkan digunakan perkataan al-Hinth (الحِنْثَ) dengan maksud dosa, adalah kerana dosa itu tidak ditulis bagi seseorang sebelum masa baligh, berbeza dengan pahala di mana seorang anak boleh sahaja mendapatkannya.” 

Kemudian kebaikan tersebut secara khusus hanya diperoleh oleh mereka yang ditinggal mati oleh anak-anaknya kerana besarnya kasih sayang dan kecintaan terhadap mereka. Atas dasar ini maka orang yang ditinggal mati oleh anaknya yang telah mencapai usia baligh tidaklah mendapatkan balasan kebaikan seperti yang disebutkan dalam hadis di atas, meskipun secara garis besarnya orang yang ditinggal mati oleh anaknya tetap memperoleh pahala. Demikianlah pendapat sejumlah ulama. 

Para ulama membezakan antara anak yang telah baligh dengan anak yang belum baligh, kerana anak yang telah mencapai usia baligh mungkin melakukan perbuatan derhaka yang dapat menghilangkan rasa kasih sayang terhadap mereka. Berbeza dengan anak kecil, di mana mereka tidak dikategorikan derhaka terhadap orang tua, sebab belum dikenai bebanan hukum. 

lbn al-Manayyar berkata, “Orang yang ditinggal mati oleh anaknya yang telah mencapai usia baligh juga memperoleh balasan seperti yang disebutkan dalam hadis. Hal ini dapat disimpulkan dari makna yang tersirat pada hadis tersebut. Kerana apabila yang demikian itu terdapat pada anak kecil yang semua keperluannya masih ditanggung oleh ibu bapanya, lalu bagaimana mungkin tidak diperoleh pada anak yang telah dewasa dan telah memberi manfaat bagi orang tuanya serta berbakti kepada mereka?” Dia juga mengatakan, bahawa kemungkinan inilah yang menjadi letak rahsia mengapa Imam al-Bukhari tidak menyebut batasan usia pada judul bab. (Lihat Fath al-Bari, 7/19-20)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.” 

Leave a Reply