Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah jatuh talak,sekiranya saya memberikan contoh lafaz talak kepada WhatsApp kawan saya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.[1]

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Imam al-Baijuri menyatakan :“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami.

Ibnu al-Qasim al-Ghazzi menyatakan: “Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara syarat sahnya talak adalah seseorang itu melafazkan talak kepada isterinya disertakan dengan niat.  Dalam isu ini di mana saudara hanya memberikan contoh lafaz talak, ia tidaklah menjatuhkan talak kerana tujuan asal adalah untuk memberikan pengajaran, bukan dengan niat untuk menjatuhkan talak.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitab al-Mu’tamad: “Jika seseorang lelaki terlepas cakap melafazkan talak tanpa berniatkan makna bagi huruf-huruf talaq, maka lagha, tidak jatuh talak. Begitu juga jika seseorang melafaz talak kerana menceritakan kisah orang lain, atau seorang ahli fiqh yang berulang-kali menyebut talak dalam pengajaran dan contoh yang diberi, maka lagha juga, kerana tiada niat untuk dia mentalakkan.” (Lihat al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/164)

Pengarang kitab Matalib Uli al-Nuha menyatakan: Lafaz talak yang tidak dimaksudkan itu tidak menjatuhkan talak sepertimana talak untuk mengajar ataupun talak sebagai penceritaan dan hikayah kerana talak itu tidak dimaksudkan maknanya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 5/321)

Justeru berdasarkan pandangan ulama di atas jelaslah kepada kita bahawa talak seseorang itu akan jatuh apabila dia memiliki niat untuk menjatuhkan talak kepada isterinya dan melafazkannya dengan lafaz yang sarih (jelas) atau kinayah (kiasan). Walau bagaimanapun, jika dia melafazkan atau menulis lafaz talak tersebut dengan tujuan memberikan pengajaran, maka talak tersebut tidak akan terjatuh.

Di sini  juga kami berpesan agar sentiasa berwaspada dalam hal talak. Ini kerana Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=talak  Diaskes pada 22 Julai 2024

Leave a Reply