Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bolehkan bapa cuba menjodohkan anak perempuan dengan mana-mana lelaki yang baik?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ ۖ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ ۚ أُولَٰئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ ۖ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”

(Surah al-Nur:26)

Disebutkan dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (6/35) bahawa: Allah tidak akan menjadikan ‘Aisyah sebagai isteri Rasulullah SAW melainkan dia adalah seorang yang baik; kerana Baginda adalah yang paling baik di antara manusia. Jika dia seorang yang buruk, maka dia tidak akan layak baginya, baik dari segi syariat mahupun takdir.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang bapa, yang juga berperanan sebagai wali kepada anak perempuannya, mempunyai tanggungjawab untuk memilih pasangan hidup yang terbaik bagi anaknya demi kebaikan masa depannya. Pemilihan seorang lelaki yang berakhlak mulia akan memberikan manfaat yang besar kepada anaknya dalam menempuh kehidupan berumahtangga. Kita boleh melihat bagaimana Umar R.A amat menitik beratkan soal jodoh anaknya Hafsah dan sanggup menawarkannya kepada sahabat-sahabatnya yang soleh untuk dikahwini.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatakan daripada Abudllah bin Umar bahawa beliau berkata:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ، حِينَ تَأَيَّمَتْ حَفْصَةُ بِنْتُ عُمَرَ مِنْ خُنَيْسِ بْنِ حُذَافَةَ السَّهْمِيِّ، وَكَانَ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا، تُوُفِّيَ بِالْمَدِينَةِ، قَالَ عُمَرُ: فَلَقِيتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ، فَعَرَضْتُ عَلَيْهِ حَفْصَةَ، فَقُلْتُ: إِنْ شِئْتَ أَنْكَحْتُكَ حَفْصَةَ بِنْتَ عُمَرَ، قَالَ: سَأَنْظُرُ فِي أَمْرِي، فَلَبِثْتُ لَيَالِيَ، فَقَالَ: قَدْ بَدَا لِي أَنْ لاَ أَتَزَوَّجَ يَوْمِي هَذَا.قَالَ عُمَرُ: فَلَقِيتُ أَبَا بَكْرٍ، فَقُلْتُ: إِنْ شِئْتَ أَنْكَحْتُكَ حَفْصَةَ بِنْتَ عُمَرَ، فَصَمَتَ أَبُو بَكْرٍ فَلَمْ يَرْجِعْ إِلَيَّ شَيْئًا، فَكُنْتُ عَلَيْهِ أَوْجَدَ مِنِّي عَلَى عُثْمَانَ، فَلَبِثْتُ لَيَالِيَ ثُمَّ خَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْكَحْتُهَا إِيَّاهُ فَلَقِيَنِي أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ: لَعَلَّكَ وَجَدْتَ عَلَيَّ حِينَ عَرَضْتَ عَلَيَّ حَفْصَةَ فَلَمْ أَرْجِعْ إِلَيْكَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَإِنَّهُ لَمْ يَمْنَعْنِي أَنْ أَرْجِعَ إِلَيْكَ فِيمَا عَرَضْتَ، إِلَّا أَنِّي قَدْ عَلِمْتُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ ذَكَرَهَا، فَلَمْ أَكُنْ لِأُفْشِيَ سِرَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَوْ تَرَكَهَا لَقَبِلْتُهَا.

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab ketika Hafsah binti Umar menjadi janda sepeninggalan Khunais bin Huzafah al-Sahmi – dia termasuk sahabat Rasulullah SAW yang menyertai perang Badar yang wafat di Madinah – lalu Umar berkata: Aku bertemu dengan Uthman bin ‘Affan dan menawarkan Hafsah kepadanya, aku berkata: “Jika engkau mahu, aku nikahkan engkau dengan Hafsah binti Umar.” Dia menjawab: “Aku akan fikirkan dahulu.” Aku menunggu beberapa malam, lalu Uthman memberi jawapan: “Aku membuat keputusan untuk tidak berkahwin pada waktu sekarang.” Umar berkata: Lalu aku menemui Abu Bakar dan berkata pula: “Jika engkau mahu, engkau aku nikahkan dengan Hafsah binti Umar.” Abu Bakar diam tanpa menjawab pertanyaanku sedikitpun. Maka dia lebih membuatku marah daripada Uthman. Aku pun menunggu selama beberapa malam, kemudian Hafsah dipinang oleh Rasulullah SAW dan aku menikahkannya dengan Baginda. Abu Bakar bertemu denganku dan berkata: “Barangkali engkau merasa marah ketika menawarkan Hafsah padaku dan aku tidak memberi jawapan padamu.” Aku berkata: “Benar!” Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya tiada apa yang menghalangku untuk menerima apa yang engkau tawarkan kepadaku, kecuali aku telah mengetahui Rasulullah SAW bercakap tentang Hafsah, maka aku tidak mahu menyebarkan rahsia Rasulullah SAW. Sekiranya Baginda SAW meninggalkannya, nescaya aku akan menerimanya.”

Riwayat al-Bukhari (4005)

Dinyatakan dalam al-Manhal al-Hadith fi Syarh al-Hadith, (3/229) bahawa: Tidak perlu untuk malu dalam perkara agama, dan tidak perlu malu terhadap apa yang dihalalkan oleh Islam. Orang yang kuat adalah orang yang menundukkan kebiasaannya kepada syariatnya. Inilah Umar bin al-Khattab, yang tidak malu untuk menawarkan anak perempuannya kepada Uthman untuk dinikahi, namun Uthman menolak perkahwinan itu secara terang-terangan. Keberanian lain dari Uthman, tidak ada masalah dalam mencari apa yang anda lihat sebagai kepentingan untuk diri anda, terutamanya dalam memilih pasangan hidup. Umar tidak merasa malu untuk menawarkan, dan Uthman tidak merasa malu untuk menolak.

Umar kemudian menawarkan anak perempuannya sekali lagi kepada Abu Bakar, lalu berkata kepadanya:  “Jika kamu mahu dan berminat, aku akan mengahwinkan kamu dengan Hafsah binti Umar.” Namun Abu Bakar diam, tidak memberi jawapan penolakan atau penerimaan. Tetapi dalam situasi seperti ini, diam menunjukkan penolakan. Ketika itu, Umar diliputi rasa kecewa, sakit dan marah. Hafsah, meskipun telah menjadi janda setelah suaminya Khunais meninggal akibat luka dari Perang Badar, namun dia masih muda, berusia sekitar dua puluhan dan cantik, serta merupakan anak perempuan Umar. Bagaimana Uthman boleh menolaknya, dan bagaimana Abu Bakar yang merupakan sahabat paling rapat dengan Umar, bahkan dianggap seperti saudara oleh Rasulullah SAW, juga tidak mahu menerimanya? Kesedihan yang mendalam menghiris hati Umar, terutama dengan penolakan dari Abu Bakar.

Kemudian, Umar mengadu kepada Rasulullah SAW tentang penolakan Uthman. Dalam jawapan Rasulullah SAW, terdapat penawar. Rasulullah SAW berkata dengan lembut dan menenangkan hati Umar:  “Uthman akan berkahwin dengan seseorang yang lebih baik daripada Hafsah, dan Hafsah akan berkahwin dengan seseorang yang lebih baik daripada Uthman.” Umar menunggu penjelasan lebih lanjut. Uthman akhirnya berkahwin dengan Ummu Kalthum binti Rasulullah SAW, dan Hafsah pula berkahwin dengan Rasulullah SAW. Apakah yang lebih menggembirakan Umar daripada berita ini?

Umar tidak mampu menyembunyikan kegembiraannya. Dia segera pergi kepada Abu Bakar untuk menegur dan  memberi khabar gembira. Tetapi Abu Bakar segera meminta maaf kepadanya: “Aku tahu kamu kecewa dan marah ketika aku diam dan tidak menjawabmu ketika kamu menawarkan Hafsah kepadaku. Aku tidak menolak kerana aku tahu Rasulullah SAW ingin menikahinya. Oleh itu, aku tidak boleh menerimanya, dan aku tidak boleh mendedahkan rahsia Rasulullah SAW. Aku juga tidak boleh menolak secara terang-terangan kerana jika Rasulullah SAW tidak menikahinya, aku pasti akan menerimanya. “Umar pun memahami sebabnya, maka hilanglah kehairanannya, dan kembalilah keharmonian antara sahabat.

Hadith yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa disunatkan bagi seseorang itu untuk memilih pasangan yang paling sesuai untuk anak perempuannya, walaupun pasangan itu tidak mengenalinya ketika menikahinya. Di dalamnya juga terdapat hukum fiqh bahawa tidak mengapa bagi seorang lelaki untuk meminang seorang lelaki lain untuk anak perempuannya. (Lihat Ifsah ‘An Maa’ni al-Sihah, 3/229)

Justeru, berdasarkan kisah di atas ia menunjukkan bahawa seorang bapa diharuskan untuk memilih atau menjodohkan anak perempuannya dengan lelaki yang baik akhlaknya dan sekufu bahkan ia menjadi tanggung jawabnya sebagai seorang wali. Yang demikian bagi memastikan kemaslahatan anak perempuannya dalam menempuh kehidupan berumah tangga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahua’lam

Leave a Reply