Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya dan isteri sudah berkahwin tetapi saya bekerja di Johor dan isteri bekerja di Penang. Isteri tinggal bersama dengan ibu bapa. Jadi, apakah nafkah yang wajib saya beri? Adakah saya perlu bayar kepada ibu bapa mentua kerana isteri saya tinggal di rumah mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa suami wajib memberi nafkah yang telah ditetapkan oleh syarak kepada isterinya termasuklah keperluan rumah dan tempat tinggal buat isterinya, walaupun mereka saling berjarakan atau berjauhan kerana tuntutan mencari rezeki atau lain-lain faktor yang mendesak sedemikian rupa. Semua nafkah tetap wajib dilaksanakan oleh suami.

Allah SWT berfirman:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَیۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَاۤرُّوهُنَّ لِتُضَیِّقُوا۟ عَلَیۡهِنَّۚ

Maksudnya: “Berilah tempat tinggal kepada para isteri kalian, duduk bersama kalian menurut kemampuan kalian, dan janganlah kalian memudaratkan mereka dengan bertujuan menyusahkan mereka.”

(Surah al-Talaq: 6)

Ayat ini menjadi dalil kewajiban memberi nafkah, terutamanya nafkah kediaman dan tempat tinggal kepada isteri. Rentetan ayat di atas, para ulama menyatakan nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri sepertimana yang dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini ketika beliau menjelaskan:

“Hak-hak isteri yang wajib suami tunaikan ada tujuh perkara iaitu:

  • Makanan ruji,
  • Lauk pauk dan daging,
  • Pakaian,
  • Alat-alat membersihkan diri,
  • Barang-barang perkakas rumah,
  • Rumah/Tempat tinggal;
  • Pembantu rumah (khadam), jika isteri itu memerlukannya.”

(Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 5/151)

Jika berjauhan, si suami mestilah memberi nilai harta seperti wang ringgit yang sama nilainya dengan semua keperluan di atas. Imam Ibn Hajar al-Haitami turut berkata: “Pemberian nafkah-nafkah yang disenaraikan di atas (makanan dan pakaian) turut dibolehkan untuk digantikan dengan jenis yang sama nilai dengannya.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/309)

Adapun berkenaan dengan rumah, si suami hanya wajib membayar kos sewa kepada ibu dan bapa mentua hanya sekiranya si suami sendiri yang mengarahkan agar duduk di rumah ibu bapa mentua sahaja, dan ibu bapa mentua pula meminta (bayaran sewa) daripada si suami. Jika tidak, maka suami tidak wajib membayarnya. Jika ibu bapa mendiamkannya dan tidak memintanya, ia boleh dianggap sebagai keizinan dan kerelaan atas dasar kekeluargaan.

Imam Ibn Hajar al-Haitami berfatwa: “Sekiranya si suami tinggal bersama isteri di rumah milik isteri dengan keizinan daripadanya, kerana si isteri enggan keluar dari rumah tersebut; atau si isteri berada di rumah bapanya dengan izin bapanya, atau bapanya tidak memperkenankan anaknya keluar dari rumahnya, maka si suami tidak perlu membayar sewa tempat tinggal tersebut kerana keizinan telah terhasil daripada keengganan (keluar dan memberi izin). Maka ia boleh dianggap sebagai pemberian berbentuk pinjaman dan boleh dimanfaatkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/314)

Imam  ‘Abd al-Hamid al-Syarwani mengatakan di dalam komentar beliau: “(Hal ini kerana, keizinan adalah perlepasan daripada pembayaran) Diamnya mereka (pihak ibu bapa misalnya) yang tidak berunsur halangan atau larangan, adalah dikira keizinan daripada mereka.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 8/314)

Suami wajib memberi nafkah kepada isteri berdasarkan kemampuan si suami itu. Allah SWT berfirman:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَن قُدِرَ عَلَیۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡیُنفِقۡ مِمَّاۤ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا یُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَاۤ ءَاتَىٰهَاۚ سَیَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡرࣲ یُسۡرࣰا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang senang memberi nafkah (kepada tanggungannya) berdasarkan kadar kesenangan dirinya sendiri (setiap orang menurut kemampuan masing-masing); sesiapa yang diuji dengan kesempitan rezeki maka hendaklah dia memberi nafkah sebatas kemampuan yang Allah kurniakan kepadanya sahaja. Allah tidak membebankan seseorang di luar kemampuannya. Allah pasti akan menjadikan kemudahan selepas setiap kesukaran.”

(Surah al-Talaq: 7)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas menerusi keterangan beliau: “Nafkah diberikan oleh si suami berdasarkan kemampuan si suami. Jika si suami kaya dan senang, maka kehidupan kaya dan senanglah yang wajib dia berikan. Jika fakir, maka hendaklah dia berikan nafkah asas berdasarkan kebiasaan sesuatu tempat dan kehidupan norma masyarakat.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 18/170)

Jika suami tidak memberi nafkah ini, maka suami itu menanggung beban dosa, hinggalah dia memberi nafkah tersebut kepada isterinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Semoga Allah melapangkan rezeki para suami untuk menyara isteri dan anak-anak serta sekalian ahli keluarga yang tercinta. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah rezekiku dengan kurniaan-Mu yang halal berbanding perkara yang haram, dan kayakanlah aku dengan berkat limpah kurnia-Mu sehingga menghalang aku daripada berharap kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply