Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum solat atas kerusi kerana faktor obesiti dan tidak boleh turun sujud dan duduk antara dua sujud? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Berusahalah melaksanakan semua salat dan lakukan secara terus menerus. Usahakan agar salat kalian menjadi lebih baik dengan cara melaksanakan seluruh rukun dengan niat sepenuh hati karena Allah Swt. Dan sempurnakanlah ketaatan kalian kepada Allah dengan sikap ikhlas dan khusyuk kepada-Nya.
(Surah al-Baqarah: 238)
Kami mulakan jawapan ini dengan menegaskan kewajiban melaksanakan solat sebagai seorang Muslim dan ia merupakan salah satu Rukun Islam yang paling utama, dengan membawa sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaha Illallah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.”
Riwayat Muslim (16)
Dalam melaksanakan solat pula, kita harus memenuhi rukun-rukun solat yang wajib dilaksanakan. Berdiri ketika menunaikan solat merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilakukan dan dipenuhi. Imam Kamaluddin al-Damiri menyebutkan, rukun solat yang ke-3: al-Qiyam (الْقِيَامُ) iaitu berdiri ketika menunaikan solat, dan dalil bagi kewajibannya adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:
وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِینَ
Maksudnya: “Dan berdirilah (dalam solat) kerana Allah dalam keadaan penuh taat.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Kewajiban berdiri ketika solat ini juga merupakan ijma’ (persepakatan) umat Islam, dan perkara yang begitu dimaklumi dan diketahui di dalam agama Islam ini.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 2/97)
Namun, syariat Islam juga datang dengan kemudahan dan keringanan. Syarak tidak menurunkan syariat melainkan mengikut kadar kemampuan manusia dan manusia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah sesuai dengan kemampuan dirinya. Allah SWT berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kalian.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak mampu untuk bersolat dalam keadaan berdiri, maka dia dibenarkan untuk melaksanakan solat dalam keadaan duduk. Imam Ibn al-Mulaqqin berkata: “Sekiranya seseorang tidak mampu berdiri, maka hendaklah dia bersolat dalam keadaan duduk; bagaimanapun cara duduknya itu, berdasarkan ijma’ para ‘ulama dan hadith di atas ini.” (Lihat ‘Ujalah al-Muhtaj ila Taujih al-Minhaj, 1/193)
Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Imran bin Husain RA katanya: “Aku diuji dengan penyakit buasir (بَوَاسِيرُ) lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu juga maka solatlah dalam keadaan baring secara mengiring.”
Riwayat al-Bukhari (1066)
Imam al-Khattabi berkata: “Makna hadith ini adalah pedoman bagi seseorang yang hendak melaksanakan solat-solat fardhu. Secara asalnya, dia diwajibkan untuk melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu berdiri dan menghadapi kesukaran dalam melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya dalam keadaan-keadaan yang disebutkan selepas itu.” (Lihat A‘lam al-Hadith, 1/630-631)
Situasi Dibolehkan Solat Secara Duduk
Solat secara duduk dibenarkan bagi mereka yang tidak mampu melaksanakannya dalam keadaan berdiri. Ini merupakan salah satu keluasan Islam dan sifat toleransi yang ditunjukkan oleh syariat. Para ulama telah membahaskan secara panjang lebar berkenaan ciri “tidak mampu” yang membolehkan solat dalam keadaan duduk.
Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesukaran yang begitu dahsyat atau bertambahnya kesakitan jika berdiri, ataupun seseorang yang berada di atas sampan takutkan kebarangkalian dirinya bakal tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa sakit kepala dan kepeningan; maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulangi solatnya itu.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab 4/310)
Selain itu, para fuqaha’ turut menaskan bahawa setiap kesusahan jika berdiri yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat, maka dibolehkan untuk seseorang itu solat dalam keadaan duduk. Ini adalah sebagaimana fatwa Imam al-Ramli, di mana beliau menyebutkan:: “Difatwakan di dalam bahagian tambahan kitab al-Raudhah: Antara ciri kesukaran yang dibenarkan solat duduk, adalah jika seseorang berhadapan dengan sebarang kesusahan atau kesukaran yang boleh mengganggu khusyuk jika berdiri.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/468)
Sebaliknya, Imam Ibn Hajar al-Haitami memandang pendapat ini sebagai pendapat yang dha‘if di dalam mazhab. Beliau memfatwakan: “Sesiapa yang mempunyai kesusahan yang begitu zahir dan jelas, maka dibenarkan untuk solat duduk… Manakala, pandangan yang menyatakan boleh solat duduk meskipun jika berdirinya seseorang itu bakal menyebabkannya berhadapan dengan kesukaran yang bakal mengganggu khusyuk adalah pandangan yang dha‘if (lemah).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/23-24)
Manakala menurut mazhab Hanafi pula, segala kelemahan yang menyebabkan kesakitan atau keseksaan, menyebabkan tidak boleh menyungkurkan badan atau menggerakkan badan secara laju; maka dibenarkan untuk solat dalam keadaan duduk.
Imam Ibn ‘Abidin berkata: “Sekiranya dia tidak mampu secara hakiki dan hukumnya adalah zahir (jelas dibenarkan solat duduk), atau pun secara hukmi sahaja; seperti jika seseorang mempunyai sakit yang tidak terperi, atau takut akan pertambahan sesuatu sakit, dan jua lain-lain kemudaratan; maka gugurlah kewajiban berdiri bagi orang seperti ini. Dan boleh jadi juga seseorang itu gugur kewajiban berdiri meskipun dia mampu berdiri, seperti orang yang mampu berdiri namun dia tidak mampu menyungkur sujud sepertimana yang dinyatakan oleh pensyarah matan, menuruti kitab al-Bahr al-Ra’iq.” (Lihat Radd al-Muhtar ‘ala Durr al-Mukhtar, 1/445)
Maka disimpulkan bahawa faktor-faktor berikut membenarkan seseorang untuk bersolat dalam keadaan duduk iaitu:
- Tidak mampu untuk berdiri.
- Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
- Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
- Seseorang yang berasa pening kepala.
- Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
- Seseorang yang berasa sakit yang teruk dan amat jika berdiri, atau mampu berdiri namun tidak mampu menyungkur tubuh untuk rukuk dan sujud.
Kesimpulannya
Berdasarkan keterangan para fuqaha’ di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan bagi orang yang mengalami obesiti atau berat badan berlebihan untuk bersolat dalam keadaan duduk jika solat berdiri bakal menyusahkan dirinya dengan kesusahan yang tidak boleh ditanggung menurut adat dan boleh mengganggu kekhusyukannya. Namun, bagi orang obesiti yang masih boleh berdiri dan berjalan, hendaklah dia memulakan solat dalam keadaan berdiri, kemudian dia hanya duduk selepas merasakan mengah atau letih, atau ketika sukar hendak melaksanakan rukuk dan sujud.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “(Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya dia mampu untuk berdiri namun tidak mampu untuk rukuk dan sujud) atas sebarang faktor sakit pada bahagian belakang tubuhnya yang menghalang dirinya untuk tunduk (hendaklah dia bangun dahulu) kerana ia wajib, walaupun berdiri itu dalam keadaan dipapah, sekalipun berdiri dalam keadaan condong/senget ke tepi, bahkan sekalipun berdiri itu hampir dengan posisi rukuk setakat apa yang zahir (dan melaksanakan keduanya iaitu rukuk dan sujud semampunya) maka hendaklah dia tunduk dengan kadar yang belakang tubuhnya mampu perlahan-lahan secara berperingkat; turunnya tulang belakang dahulu, kemudian bahu, kemudian kepalanya. Hal ini kerana, perkara yang mudah tidak gugur kewajibannya meskipun ada kesukaran melintang.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/22-23)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kami akhiri dengan doa:
﴿رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ﴾
Maksudnya: “Wahai Tuhan! Jadikanlah daku dan zuriat keturunanku sebagai orang-orang yang mendirikan solat. Wahai Tuhan kami! Terimalah doa permohonan kami.”
Wallahu a‘lam.