Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah bilangan malaikat yang berada bersama dengan seorang Muslim dan apakah tugas mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

الْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ جَاعِلِ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا أُولِي أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۚ يَزِيدُ فِي الْخَلْقِ مَا يَشَاءُ

Maksudnya: Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya.

(Surah Fatir: 1)

Ibn Kathir menyebutkan di dalam tafsirnya: Iaitu Malaikat yang mempunyai sayap dengannya mereka terbang untuk menyampaikan apa yang diperintahkan kepada mereka dengan cepat. Dalam kalangan mereka ada malaikat yang mempunyai dua sayap, ada yang mempunyai tiga sayap, ada yang mempunyai empat sayap dan ada pula yang lebih daripada itu. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas segala sesuatu. Al-Suddi berkata: “Dia menambahkan pada sayapnya dan menciptakan mereka apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/532)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa malaikat yang mulia menemani manusia sejak dari hari pembentukan mereka dalam rahim ibu mereka sehingga pencabutan roh mereka dari badan pada hari kematian mereka. Mereka juga menemani mereka di dalam kubur dan di akhirat.

Adapun kebersamaan malaikat dengan manusia di dunia adalah seperti berikut:

Pertama: Mereka yang berdiri di sisi manusia (yakni mengurusnya) ketika awal penciptaannya.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

وَكَّلَ اللهُ بِالرَّحِمِ مَلَكًا، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ نُطْفَةٌ، أَيْ رَبِّ عَلَقَةٌ، أَيْ رَبِّ مُضْغَةٌ. فَإِذَا أَرَادَ اللهُ أَنْ يَقْضِيَ خَلْقَهَا، قَالَ: أَيْ رَبِّ، أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى، أَشَقِيٌّ أَمْ سَعِيدٌ، فَمَا الرِّزْقُ، فَمَا الأَجَلُ. فَيُكْتَبُ كَذَلِكَ فِي بَطْنِ أُمِّهِ

Maksudnya: “Allah SWT menugaskan satu malaikat untuk menguruskan rahim, lalu malaikat tersebut berkata: ‘Wahai Tuhanku, setitis mani,’ ‘Wahai Tuhanku, segumpal darah,’ “Wahai Tuhanku, segumpal daging.’ Kemudian ketika Allah hendak menyempurnakan penciptaannya, malaikat itu berkata: ‘Wahai Tuhanku, lelaki atau perempuan? Sengsara atau bahagia? Bagaimanakah rezekinya? Bilakah ajalnya?’ Maka ditetapkanlah semua itu ketika berada di dalam perut ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (6595) dan Muslim (2646)

Kedua: Malaikat yang menjaga anak-anak Adam.

Firman Allah SWT:

سَوَآءٌۭ مِّنكُم مَّنْ أَسَرَّ ٱلْقَوْلَ وَمَن جَهَرَ بِهِۦ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍۭ بِٱلَّيْلِ وَسَارِبٌۢ بِٱلنَّهَارِ ١٠ لَهُۥ مُعَقِّبَـٰتٌۭ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ

Maksudnya: “Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang (10) Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.”

(Surah al-Ra‘d: 10-11)

Syeikh Umar Sulaiman al-Asyqar menyatakan, Turjuman al-Quran Ibn Abbas R.Anhuma menjelaskan bahawa para penjaga (yang selalu mengikuti) daripada Allah itu adalah malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk menjaga manusia dari depan dan belakangnya. Apabila tiba takdir Allah — yang telah ditentukan untuk terjadi kepadanya seperti kemalangan, musibah dan lain-lain — maka malaikat-malaikat itu akan berlepas diri daripadanya.

Mujahid menyebutkan, tiada seorang hamba pun kecuali ada malaikat yang ditugaskan untuk menjaganya semasa dia tidur dan ketika dia terjaga daripada jin, manusia dan binatang berbisa. Tidak ada satu pun yang datang kepadanya melainkan malaikat itu berkata: “Di belakangmu,” kecuali sesuatu yang sememangnya diizinkan Allah SWT untuk menimpanya.

Seorang lelaki pernah berkata kepada Ali bin Abu Talib R.A: “Sesungguhnya ada beberapa orang dari suku Murad yang ingin membunuhmu.” Maka Ali R.A menjawab: “Sesungguhnya setiap orang bersamanya dua malaikat yang menjaganya daripada apa yang tidak ditakdirkan untuknya, tetapi apabila datang takdirnya, maka mereka keduanya akan berlepas diri. Sesungguhnya ajal itu adalah pelindung yang kukuh.”

Para penjaga yang disebutkan dalam ayat di dalam Surah al-Ra‘d adalah yang dimaksudkan dalam ayat lain:

وَهُوَ ٱلْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِۦ ۖ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ

Maksudnya: “Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya; dan Dia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).”

(Surah al-An‘am: 61)

Justeru, para malaikat penjaga yang Allah utuskan bagi menjaga hamba-Nya itu tugasnya adalah sehingga  ajal yang sudah ditentukan untuknya — yakni manusia yang dijaga itu — tiba. (Lihat ‘Alam al-Mala’ikah al-Abrar, hlm. 39-40).

Ketiganya, malaikat yang ditugaskan untuk mencatat/menulis kebaikan (pahala) dan keburukan (dosa).

Setiap orang mempunyai dua malaikat yang mencatat amalannya, baik yang baik mahupun yang buruk, bermula dari masa kecil sehingga dia dewasa. Allah SWT berfirman:

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَـٰفِظِينَ ١٠ كِرَامًۭا كَـٰتِبِينَ ١١ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ ١٢

Maksudnya: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu (10), (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) (11); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Infitar: 10-12)

Allah juga berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِۦ نَفْسُهُۥ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ ٱلْوَرِيدِ ١٦ إِذْ يَتَلَقَّى ٱلْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ قَعِيدٌۭ ١٧ مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ ١٨

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya (16), Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya (17). Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Surah Qaf: 16-18)

Malaikat di sebelah kanan mencatat kebaikan (pahala), sementara malaikat di sebelah kiri tugasnya adalah untuk mencatat keburukan (dosa).

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Mujahid bahawa malaikat yang di sebelah kanan mencatat kebaikan, manakala yang di sebelah kiri mencatat keburukan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perkataan yang diucapkan, sama ada baik atau buruk, akan dicatat olehnya. Ini juga ada apa yang disebutkan oleh ‘Ikrimah dan ulama selainnya. Begitu juga Hasan dan Qatadah turut menyebutkan, dua malaikat mencatat segala sesuatu yang diucapkan. (Lihat al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah, hlm. 40)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ صاحبَ الشِّمالِ ليرفَعُ القلَمَ سِتَّ ساعاتٍ عنِ العبدِ المسلمِ المخطئِ، فإنْ ندِمَ واستغفرَ اللَّهَ منها ألقاها وإلا كُتِبَتْ واحدةً

Maksudnya: “Sesungguhnya malaikat di sebelah kiri akan mengangkat pena selama enam jam daripada hamba yang Muslim yang melakukan dosa, jika dia menyesal dan memohon keampunan kepada Allah daripadanya, maka ia menghapusnya (tidak akan ditulis). Akan tetapi sekiranya tidak, maka akan ditulis satu kesalahan (dosa).”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (8/158); Hadith ini dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (2/212)

Sufyan menyebutkan, telah sampai kepadaku bahawa malaikat pencatat kebaikan adalah penjaga amanah terhadap malaikat pencatat keburukan, maka apabila seseorang itu melakukan suatu kesalahan/dosa, malaikat pencatat kebaikan akan berkata, “Jangan tergesa-gesa (mencatatnya), mungkin dia akan memohon keampunan.” (Lihat al-Hidayah ila Bulugh al-Nihayah, hlm. 40).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada huraian dan penjelasan di atas, kami menyimpulkan bahawa, jelas jumlah malaikat yang ditugaskan pada setiap anak Adam selepas kelahirannya adalah empat malaikat.

Ibn Kathir ada menafsirkan firman Allah SWT:

لَهُۥ مُعَقِّبَـٰتٌۭ مِّنۢ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِۦ يَحْفَظُونَهُۥ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.”

(Surah al-Ra‘d: 11)

Maksudnya, setiap hamba Allah memiliki malaikat yang silih berganti menjaganya, ada yang menjaganya pada waktu malam dan ada yang menjaganya pada waktu siang, menjaga dari segala keburukan dan kejadian buruk (musibah). Begitu juga, ada malaikat lain yang silih berganti pada siang dan malam untuk mencatat amal perbuatan, baik atau buruk, dengan malaikat pada waktu malam dan siang.

Dua malaikat berada di sebelah kanan dan kiri untuk mencatat amal perbuatan; yang di kanan mencatat kebaikan dan yang di kiri mencatat keburukan. Selain itu, ada dua malaikat lain yang menjaganya dan melindunginya; satu berada di belakangnya dan satu lagi berada di depannya.

Jadi, seseorang hamba selalu di sisinya empat malaikat pada siang hari, dan empat malaikat pada malam hari. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/504)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply