Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah kita mengajak atau mendakwah seorang yang bukan Islam di bawah umur 18. Jika boleh apakah peraturannya, jika tidak boleh pula, apa alasannya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Berhubung dengan soalan di atas, kami mulakan dengan menelusuri firman Allah SWT dalam al-Quran al-Majid, firman-Nya:

كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَـٰبِ لَكَانَ خَیۡرࣰا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Maksudnya: “Kalian (umat Islam) adalah sebaik-baik umat yang pernah dikeluarkan untuk umat manusia (kerana) kalian mengajak kepada kebaikan dan mencegah kejahatan serta beriman kepada Allah. Kalaulah ahli Kitab itu beriman, nescaya itu lebih baik buat mereka. Namun, dalam kalangan mereka ada yang beriman, manakala kebanyakan mereka pula adalah orang-orang yang fasik.”

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Imam al-Nasafi menyebutkan, lafaz “تَأۡمُرُونَ” (kalian mengajak) adalah kalam yang diperbaharui (كَلامٌ مُسْتَأْنَفٌ), yang menjelaskan mengapa mereka adalah sebaik-baik umat, seperti yang kamu katakan: “Zaid adalah seorang pemurah, dia memberi makan kepada orang ramai dan memberi pakaian kepada mereka.” Jadi, dengan memberi makan dan memberi pakaian, ia menjelaskan sifat pemurah dalam dirinya. (Lihat Madarik al-Tanzil, 3/232)

Durrah binti Abu Lahab R.Anha meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

قَامَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ فَقَالَ: “خَيْرُ النَّاسِ أقْرَؤهُمْ وَأَتْقَاهُمْ للهِ، وآمَرُهُمْ بِالمعروفِ، وأنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَأَوْصَلُهُمْ لِلرَّحِمِ

Maksudnya: “Seorang lelaki bangun di hadapan Nabi SAW sedangkan baginda sedang berada di atas mimbar. Lantas dia berkata: “Wahai Rasulullah, manusia apakah yang paling terbaik?” Baginda bersabda: “Manusia yang paling terbaik adalah manusia yang paling berilmu tentang Allah dan paling bertakwa kepada Allah, paling banyak mengajak kepada kebaikan, dan paling menghapus kemungkaran, dan yang paling banyak menyambung tali silaturrahim.”

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (27434); sanadnya dinilai dha‘if oleh Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Tahqiq al-Musnad (45/421), namun ia dikuatkan dengan beberapa jalur yang lain.

Jelaslah, kita merupakan umat yang terbaik kerana mengajak kepada kebaikan dan kebenaran. Setinggi-tinggi kebenaran adalah mengajak kepada tauhid serta kalimah La ilaha illallah yang mengakui keesaan Allah, kebenaran agama Islam dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Maka, kita menjadi umat yang terbaik kerana mengajak seramai mungkin manusia untuk memeluk Islam.

 ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma menyatakan makna makruf di dalam ayat di atas adalah:

يَقُولُ: تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ: أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَالْإِقْرَارُ بِمَا أَنْزَلَ اللهُ

Maksudnya: “Firman Allah: [Mengajak kepada kebaikan] bermaksud bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan mengakui kebenaran semua yang diturunkan Allah.”

Riwayat al-Tabari dalam al-Tafsir (7624)

Status Keislaman Kanak-Kanak

Kanak-kanak di sisi syarak adalah setiap budak kecil yang belum mencapai usia baligh. Jumhur ulama berpendapat bahawa pengislaman kanak-kanak bukan Islam yang sudah mumayyiz adalah sah dari sudut hukum Syarak. Mereka berdalilkan bahawa Saidina Ali bin Abu Talib RA memeluk Islam sewaktu beliau masih lagi kecil.

Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ

Maksudnya: “Semua anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah.”

Riwayat al-Bukhari (1357) dan Muslim (2658)

Fitrah itu menurut pendapat yang masyhur adalah Islam. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3/315)

Manakala mengikut pendapat minoriti ahli fiqh dan juga merupakan pendapat yang rajih (kuat) dalam mazhab al-Syafi‘i, pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan mumayyiz adalah tidak sah berdasarkan hujah-hujah berikut:

  1. Kanak-kanak tiada kelayakan untuk mengikat kontrak atau memberi keterangan saksi.
  2. Hadith Saidina Ali itu berlaku selepas baligh seperti mana kata Imam Ahmad bin Hanbal. Manakala Imam al-Baihaqi menyebutkan, hadith itu sebelum baligh dan dipersetujui oleh Imam al-Subki, tetapi tidak terpakai kerana pada awal Islam hukum-hakam Islam tertakluk pada usia mumayyiz namun selepas tahun peperangan Khandaq, turunnya hadith yang memansuhkan hukum tersebut dan mensabitkan umur baligh iaitu dengan keluarnya mani atau mencapai umur lima belas tahun qamariyyah. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abu Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: “Diangkat pena (taklif/tanggungjawab) daripada tiga kategori manusia; bayi sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehingga dia sedar, dan orang yang bermasalah aqal sehingga dia sembuh.”

Riwayat Abu Daud (4402)

Namun begitu, para ulama yang berpendapat seperti ini menyarankan agar dijaga anak tersebut daripada dipengaruhi oleh ibu bapa yang masih belum Islam, atau salah seorang daripada mereka, berdasarkan keizinan mereka. Jika mereka tidak mengizinkan, maka hendaklah diserahkan kembali. Namun menurut Imam al-Subki, hukum pembatasan itu adalah wajib untuk menjaga maslahat agama anak itu. (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 3/609)

Sebahagian ulama al-Syafi‘iyyah seperti Imam al-Suyuti berpendapat bahawa sah Islam kanak-kanak yang bukan Islam apabila dia mengucap syahadah. Mereka berdalilkan hadith daripada Muslim al-Tamimi R.A:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَرِيَّةٍ فَلَمَّا هَجَمْنَا عَلَى الْقَوْمِ تَقَدَّمْتُ أَصْحَابِي عَلَى فَرَسِي فَاسْتَقْبَلَنَا النِّسَاءُ وَالصِّبْيَانُ يَضِجُّونَ فَقُلْتُ لَهُمْ: تُرِيدُونَ أَنْ تُحَرِّزُوا أَنْفُسَكُمْ؟، قَالُوا: نَعَمْ، قُلْتُ: قُولُوا: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ فَقَالُوهَا فَجَاءَ أَصْحَابِي فَلَامُونِي، فَقَالُوا: أَشْرَفْنَا عَلَى الْغَنِيمَةِ فَمَنَعْتَنَا ثُمَّ انْصَرَفْنَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا تَدْرُونَ مَا صَنَعَ؟، لَقَدْ كَتَبَ اللهُ لَهُ مِنْ كُلِّ إِنْسَانٍ كَذَا وَكَذَا مِنَ الْأَجْرِ ، ثُمَّ أَدْنَانِي مِنْهُ

Maksudnya:Nabi SAW telah mengutus kami dalam suatu peperangan. Ketika kami menyerang musuh, aku dapat mendahului sahabat-sahabatku dengan cara menunggang kuda. Lalu kami menemui para wanita dan kanak-kanak yang berteriak ketakutan. Aku berkata kepada mereka: ‘Sukakah kamu menyelamatkan diri kamu?’ Mereka menjawab: ‘Ya.’ Aku berkata: ‘Ucapkanlah: Kami bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad, hamba dan Pesuruh-Nya.’ Maka mereka pun mengucap syahadah itu. Lalu sahabat-sahabatku mengatakan kepadaku: ‘Hampir sahaja kita beroleh harta rampasan perang, akan tetapi engkaulah yang menghalang kami.’ Kemudian kami berangkat menuju Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: ‘Tahukah kamu apa yang telah dibuat olehnya (Muslim al-Tamimi)? Sesungguhnya Allah telah menulis baginya setiap manusia begini, begitu (iaitu pahala tertentu bagi Muslim).’ Kemudian baginda mendekatiku.”

Riwayat Abu Daud (5050) dan Ibn Hibban (2022) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1052)

Imam al-Suyuti berdalilkan hadith di atas selepas menyatakan: “(Menerima pengislaman kanak-kanak) tidak menafikan hadith (hadith Ali di atas). Sesungguhnya hanya sahnya yang dinafikan ialah balasan azab jika suatu kemungkaran itu berlaku sewaktu umur kanak-kanak dan keislamannya seperti ibadat. Begitu juga sah puasa kanak-kanak, solat, haji dan lain-lain, maka sah jugalah Islamnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir,  hlm. 221)

Imam Ibn al-Qayyim juga mengujarkan bahawa: “Nabi SAW tidak sekali-kali pernah menolak keislaman seseorang yang masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak, yang dewasa, orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan. Nabi sendiri tidak pernah memerintahkan, begitu juga tidak pernah para khalifahnya dan sahabat-sahabat lain, supaya kanak-kanak yang masuk Islam sebelum baligh memperbaharui Islamnya. Perkara ini tidak pernah diketahui terjadi dalam sejarah Islam.” (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 2/906)

Hukum ini disokong oleh hadith yang diriwayatkan Anas bin Malik RA:

كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ada seorang kanak-kanak Yahudi yang bekerja dengan Nabi SAW kemudian kanak-kanak itu jatuh sakit. Nabi SAW datang menziarahinya, dan Baginda duduk di sisi kepalanya seraya bersabda kepadanya: ‘Peluklah agama Islam,’ lalu dia memandang ayahnya yang ada di sisinya. Ayahnya berkata kepadanya: ‘Taatilah Abu al-Qassim (gelaran Nabi SAW).’ Lalu dia pun masuk Islam dan Nabi SAW keluar seraya berkata: ‘Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anak itu daripada neraka.’”

Riwayat al-Bukhari (1356)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani apabila mensyarahkan hadith ini, beliau bersetuju dengan pendapat yang mengesahkan keislaman kanak-kanak dengan berkata bahawa hadith ini, antara lain, dalil keharusan mendakwahkan Islam kepada kanak-kanak. Beliau menyebutkan, jika keislaman itu tidak sah, apa faedah Nabi SAW mengajak kanak-kanak itu kepada Islam. Begitu juga apabila Baginda bersabda Allah telah menyelamatkannya daripada neraka, yang menjadi dalil bahawa sah keislaman kanak-kanak itu, seperti jika kanak-kanak itu membesar sebagai seorang kafir lalu mati, nescaya dia akan diazab. (Lihat Fath al-Bari, 3/221).

Kami mentarjihkan dalam isu ini pendapat majoriti ulama yang mengesahkan pengislaman kanak-kanak yang sempurna akal dan sudah mumayyiz kerana menjaga kepentingan awam iaitu maslahat agama dan diri kanak-kanak tersebut.

Adapun sekiranya kanak-kanak itu waras, berakal dan telah baligh walaupun belum mencapai usia 18 tahun, maka tiada sebarang khilaf tentang status sah keislamannya. Keislamannya sah dan diterima di sisi syarak.

Namun, terdapat juga pendapat mazhab Hanafi dan Maliki yang menyatakan umur baligh bagi lelaki adalah 18 tahun. Imam al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab Maliki; antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, begitu juga 19 tahun dan diriwayatkan oleh Imam Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma.

Manakala Imam Abu Hanifah pula menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

(Surah al-Isra’: 34)

Ibn ‘Abbas RAnhuma telah menyatakan, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 2/15-17).

Penetapan umur 18 tahun sebagai umur matang mempunyai dasarnya dalam kalangan mazhab fiqh Islam seperti yang telah kami nyatakan berikut.

Undang-Undang Malaysia: Agama Kanak-Kanak Bawah 18 Tahun

Di samping hukum-hakam yang termaktub di dalam kitab fiqh, kita juga terikat dengan undang-undang autoriti di negara kita. Selaku warganegara yang baik serta mematuhi arahan pemerintah, wajarlah kita mematuhi apa yang mereka gariskan dan yang telah mereka selaraskan demi kemaslahatan, terutamanya kebaikan masyarakat majmuk di Malaysia ini.

Berikut kami nyatakan beberapa peraturan yang ditetapkan berkenaan perkara ini:

  • Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 12 (4) menyatakan bahawa:

“[3] Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

[4] Bagi maksud Fasal (3), agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaga.

  • Seksyen 95 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan:

“Seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal, mencapai umur lapan belas tahun; atau jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

“Muzakarah bersetuju memutuskan supaya Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.”

Konklusi dan Cadangan

Berdasarkan keterangan di atas, dapat kami tegaskan pendirian kami bahawa:

  • Kanak-kanak yang belum baligh memeluk Islam dengan mengikut keislaman salah seorang daripada ibu bapanya; sama ada dia sudah mencapai umur mumayyiz atau belum, meski dia enggan.
  • Kanak-kanak yang sudah baligh dianggap sudah dewasa. Justeru, sekiranya dia memeluk Islam, sah syahadahnya, sekalipun ditentang oleh ibu bapanya. Namun, berdasarkan perundangan di Malaysia, kanak-kanak berkenaan belum boleh didaftarkan keislamannya. Begitu juga jika ibu bapanya masuk Islam, mereka tidak boleh memaksa anak tersebut memeluk Islam, tetapi berdasarkan perundangan Malaysia, kanak-kanak berkenaan boleh didaftarkan sebagai Islam kerana agama kanak-kanak berumur bawah 18 tahun ditentukan oleh ibu bapa atau penjaganya.
  • Kanak-kanak yang sudah mumayyiz tetapi belum baligh yang memeluk Islam tidak dianggap sah pengislamannya sekalipun jika ibu bapanya yang bukan Islam menghalang, mengikut pendapat yang asah di dalam mazhab al-Syafi‘i. Namun pendapat Jumhur mengesahkannya. Kami lebih cenderung kepada pendapat Jumhur kerana lebih baik untuk maslahat agama anak tersebut.
  • Apabila seorang kanak-kanak bukan Islam yang sempurna akal dan mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sahlah keislamannya.

Kesimpulannya, kita dibolehkan untuk mengajar dan mendakwahkan agama Islam kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun menurut undang-undang, kita tidak boleh mendaftarkan mereka sebagai penganut Islam. Mereka hanya boleh memilih agama secara bebas selepas berumur 18 tahun.

Sepanjang mereka berusia bawah 18 tahun, mereka tertakluk dengan ibu bapa mereka serta harus menuruti agama kedua ibu bapa mereka secara rasmi. Kita boleh menyelitkan ajaran dan panduan sebagai seorang Muslim, serta menanamkan kecintaannya terhadap agama Islam; dengan harapan dan doa supaya dia boleh membuat pilihan terbaik berkenaan agamanya apabila kanak-kanak itu bebas untuk memilihnya suatu hari nanti.

Tiada kesalahan untuk mengajaknya memeluk Islam. Jika kita mengajaknya memeluk Islam, maka kita wajib memelihara dan menjaganya sebaik mungkin daripada sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Penjagaan dan pembatasan ini adalah perlu sepertimana yang diwajibkan oleh Imam al-Subki dan al-Khatib al-Syirbini.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّت قَلْبي على دِينكَ

Maksudnya: “Wahai Allah! Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati (menguasainya), teguhkan hatiku di atas agama-Mu (Islam).”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply