Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum mencukur janggut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Memelihara janggut adalah salah satu amalan sunnah yang digalakkan. ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ؛ وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu menyalahi dengan orang-orang musyrikin. Biarkanlah janggut tumbuh dan pendekkanlah misai-misai kamu.”

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas: “Makna وَفِّرُوا di dalam hadith di atas adalah tinggalkanlah ia sepertimana adanya, jangan diubahsuai atau ditukar keadaannya dengan memotong atau mencukurnya. al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan makruh mencukur janggut, atau memendekkannya. Namun, sebenarnya memendekkan janggut dengan kadar segenggam adalah amalan yang baik dan pernah dilakukan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma. Sebahagian salaf juga tidak menyukai janggut dibiarkan terlampau panjang.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/151)

Berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i berkenaan hukum mencukur janggut. Khilaf tersebut adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani seperti berikut:

    1. Haram, ini merupakan fatwa Imam Ibn al-Rif‘ah berdasarkan salah satu nas Imam al-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm, fatwa Imam al-Zarkasyi, Imam al-Halimi di dalam kitab Syu‘ab al-Iman, Imam al-Qaffal al-Syasyi di dalam kitab Mahasin al-Syari‘ah, Imam al-Azra‘i.
  • Makruh, ini merupakan fatwa Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i, Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam al-Ramli al-Kabir dan jumhur ulama mazhab al-Syafi‘i. Ini merupakan pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i.

Sebelum pernyataan Imam al-Syarwani di atas, Ibn Hajar al-Haitami ada mengatakan: “Adapun mencukur janggut maka hukumnya adalah makruh, begitu juga hukumnya dengan jambang di kedua-dua belah pipi (الْحَاجِبَانِ). Begitu juga, keumuman fatwa-fatwa para Imam (mazhab al-Syafi‘i) adalah memakruhkan memotong apa-apa bahagian daripada janggut secara mutlak.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/376)

Imam al-Ramli al-Kabir berkata: “Pendapat al-Halimi yang mengharamkan cukur janggut adalah dha‘if (di sisi pandangan mazhab al-Syafi‘i).” (Lihat Hasyiah al-Ramli al-Kabir ‘ala Syarh al-Raudh, 1/551).

Dalam masa yang sama, janggut yang terlalu panjang dan tidak kemas boleh merosakkan penampilan seseorang, dan ia sewajarnya dielakkan. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan, kepanjangan janggut yang melampau boleh merosakkan penampilan seseorang. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 1/551).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan hal ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama. Namun, kami berpendapat bahawa mencukur janggut secara keseluruhan adalah makruh. Makruh ini bersifat makruh tanzih iaitu semata-mata bersifat larangan agar tidak melakukan perkara yang menjatuhkan maruah. Dalam masa yang sama, kita dituntut untuk merapikan janggut dengan kemas dan bersih. Demikian itu termasuk sunnah Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي

Maksudnya: “Ya Allah, sepertimana Engkau telah memperelokkan kejadianku, maka indahkanlah juga akhlak budi pekertiku.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply