Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah keluarga Saidina Abu Bakr membawa keberkatan sehingga Allah berikan pelbagai rukhsah kepada umat Islam?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Menjawab persoalan saudara, keberkatan keluarga Abu Bakr R.A ini telah disebutkan dalam beberapa riwayat hadith, antaranya hadith menerusi jalur al-Qasim daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ، حَتَّى إِذَا كُنَّا بِالْبَيْدَاءِ أَوْ بِذَاتِ الجَيْشِ انْقَطَعَ عِقْدٌ لِي، فَأَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى التِمَاسِهِ وَأَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ، وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ، فَأَتَى النَّاسُ إِلَى أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ فَقَالُوا: أَلاَ تَرَى مَا صَنَعَتْ عَائِشَةُ؟ أَقَامَتْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِالنَّاسِ، وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ؟ فَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاضِعٌ رَأْسَهُ عَلَى فَخِذِي قَدْ نَامَ، فَقَالَ: حَبَسْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسَ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ. قَالَتْ عَائِشَةُ: فَعَاتَبَنِي أَبُو بَكْرٍ وَقَالَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَقُولَ، وَجَعَلَ يَطْعُنُنِي بِيَدِهِ فِي خَاصِرَتِي، وَلاَ يَمْنَعُنِي مِنَ التَّحَرُّكِ إِلَّا مَكَانُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى فَخِذِي. فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَصْبَحَ عَلَى غَيْرِ مَاءٍ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ: {فَتَيَمَّمُوا}. فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ: مَا هِيَ بِأَوَّلِ بَرَكَتِكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ. قَالَتْ: فَبَعَثْنَا البَعِيرَ الَّذِي كُنْتُ عَلَيْهِ فَإِذَا العِقْدُ تَحْتَهُ
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam satu perjalanan bersama Baginda sehingga kami berada di al-Baida’ atau di Zat al-Jaisy, lalu rantai milikku terputus. Maka Rasulullah SAW tinggal di situ untuk mencarinya dan sahabat-sahabat pun tinggal di situ juga bersama Baginda. Sementara itu, mereka berada di tempat yang tidak mempunyai air dan mereka tidak pula memiliki air. Maka datang orang-orang kepada Abu Bakr al-Siddiq dan mereka berkata: ‘Tidakkah kamu melihat apa yang dilakukan ‘Aisyah? Dia telah menyebabkan Rasulullah SAW dan orang-orang tinggal (mencari rantai), sementara mereka tidak berada di tempat yang mempunyai air dan mereka tidak pula memiliki air.’ Abu Bakr pun datang sementara Rasulullah SAW meletakkan kepalanya di atas pahaku dan Baginda sedang tidur. Dia (Abu Bakr) berkata: ‘Kamu menahan Rasulullah SAW dan orang-orang (daripada memasuki Madinah) sementara mereka tidak berada di tempat yang mempunyai air dan mereka tidak pula memiliki air.’ ‘Aisyah berkata: ‘Abu Bakr memarahiku dan dia menghamburkan pelbagai perkataan marah kepadaku serta dia menusukkan jarinyanya ke pinggangku, tidak ada yang menghalangku untuk bergerak melainkan kedudukan Rasulullah SAW di atas pahaku. Lalu Rasulullah SAW bangun apabila masuk waktu Subuh tanpa sebarang air. Maka Allah menurunkan ayat (berkenaan) tayammum:
فَتَيَمَّمُوا
(Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian)
Usaid bin Hudhair berkata: ‘Ia bukanlah keberkatan pertama kamu wahai keluarga Abu Bakr.’ ‘Aisyah berkata: ‘Kami pun membangunkan unta yang aku berada di atasnya dan ternyata kalung tersebut berada di bawahnya’.”
Riwayat al-Bukhari (4607) dan Muslim (367)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, ini bermakna sebelum ini ada lagi keberkatan lain pada Abu Bakr itu sendiri, keluarga serta para pengikutnya. Ini juga merupakan bukti kelebihan ‘Aisyah dan bapanya serta keberkatan yang sering berlaku disebabkan kedua mereka.
Beliau juga menyebutkan beberapa lafaz yang berbeza dalam riwayat lain, antaranya:
- Dalam riwayat ‘Amru bin al-Harith:
لَقَدْ بَارَكَ اللَّهُ لِلنَّاسِ فِيكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memberikan keberkatan kepada manusia kerana kamu.”
- Dalam tafsir Ishaq al-Busti menerusi jalur Ibn Abi Mulaikah, bahawa Rasulullah SAW berkata kepada ‘Aisyah R.Anha:
مَا كَانَ أَعْظَمَ بَرَكَةَ قِلَادَتِكِ
Maksudnya: “Betapa besarnya keberkatan rantai kamu itu.”
- Dalam riwayat Hisyam bin ‘Urwah:
فَوَاللَّهِ مَا نَزَلَ بِكِ مِنْ أَمْرٍ تَكْرَهِينَهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ لِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ خَيْرًا
Maksudnya: “Demi Allah, tidak ada satu peristiwa pun yang berlaku kerana kamu melainkan Allah akan menjadikan kebaikan padanya buat kaum muslimin.”
- Dalam riwayat lain pula disebutkan:
فَوَاللَّهِ مَا نَزَلَ بِكِ مِنْ أَمْرٍ تَكْرَهِينَهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ لَكِ مِنْهُ مَخْرَجًا، وَجَعَلَ لِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Demi Allah, tidak ada satu peristiwa pun yang berlaku kerana kamu melainkan Allah akan berikan jalan keluar buat kamu (dari peristiwa tersebut), dan Dia menjadikan padanya keberkatan buat kaum muslimin.”
Secara tidak langsung apabila diteliti riwayat-riwayat ini, kisah penurunan rukhsah bertayammum ini mungkin berlaku selepas peristiwa al-ifk atau fitnah terhadap Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha. Ini juga menjadi hujah kebenaran buat mereka yang berpendapat bahawa ‘Aisyah R.Anha pernah kehilangan rantainya beberapa kali, dan antara yang berpegang dengan pendapat ini adalah Muhammad bin Habib al-Ikhbari. (Lihat Fath al-Bari, 1/434)
Sekadar ini yang dapat kami kongsikan buat saudara berkenaan kisah keberkatan keluarga Saidina Abu Bakr R.A. Semoga ia memberikan kepada kita suatu pengajaran yang besar, iaitu tidak ada satu ujian yang Allah SWT timpakan kepada makhluk-Nya melainkan padanya pasti ada hikmah tertentu.
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”