Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Suami isteri telah tidak bercakap dan tidak tidur sebilik bertahun tahun walaupun duduk serumah. Isteri masih memasak makanan kerana suami masih memberi duit bulanan walaupun tidak cukup. Setiap bulan isteri akan mengeluarkan duit sendiri untuk tambahan nafkah yang tidak cukup. Suami isteri tidak bertentang muka walaupun duduk serumah. Suami enggan ceraikan isteri kerana hendak duduk serumah dengan anak2. Anak2 telah lebih 18 tahun dan memilih duduk dengan ibu. Apakah isteri masih berdosa walaupun isteri telah meminta cerai tetapi suami enggan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Namun begitu, disebalik bahagia dan romantisnya dalam sebuah rumahtangga, sudah tentu terdapat juga pasang surutnya. Antara sebab konflik dalam rumahtangga adalah penglibatan orang ketiga, tidak menghargai pasangan, stress, isu kewangan, keganasan rumahtangga dan seumpamanya.

Oleh itu, sekiranya segala usaha telah dilakukan dalam mempertahankan institusi kekeluargaan, tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya. Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Keadaan yang dibenarkan syarak untuk meminta cerai

Antaranya:

Suami tidak menjalankan tanggungjawabnya seperti memberi nafkah yang wajib. (Lihat al-Mughni, 8/204).

Suami memukul/mencederakan tubuh badan isteri tanpa sebab yang sah. (Lihat Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, 2/345)

Suami di penjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. (Lihat Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 29/ 67)

Seksyen 52: Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

(1)  Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak; (Lihat Akta Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan meminta cerai dengan sebab yang dibenarkan syarak adalah dibenarkan dan tidak berdosa seperti tidak memberi nafkah zahir dan batin, mencederakan sehingga menyebabkan luka dan seumpamanya. Maka, dalam isu anda, sekiranya tidak dipenuhi nafkah yang sepatutnya diberikan (zahir dan batin), maka boleh untuk anda memohon penceraian dari pihak mahkamah.

Kami juga ingin menasihatkan sekiranya kedua-duanya masih lagi mempunyai rasa sayang dan ingin memperbaiki keadaan, maka cubalah bawa berbincang bersama. Sekiranya tidak dapat diselesaikan, boleh juga dengan cara membawa orang tengah dari ahli keluarga untuk menyelesaikan bersama. Salah satu alternatif lain juga, sebelum pendaftar membawa isu ini ke mahkamah, mereka juga akan lihat sama ada perkara ini boleh diselesaikan di luar mahkamah atau tidak. Sekiranya boleh, ia akan di bawa ke Majlis Sulh dan di situ mereka akan membantu anda untuk menyelesaikan perselisihan anda dan suami.

Akhir kalam, semoga Allah SWT mempermudahkan urusan keluarga anda dan diberi ketenangan dan keberkatan oleh Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply