Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah syarak melarang umatnya melakukan jual beli dalam masjid. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)
Urusan jual beli di dalam Islam melibatkan 3 rukun yang utama:
- Pihak yang melakukan akad, iaitu penjual dan pembeli.
- Barang yang diakadkan, iaitu barang jualan dan wang yang dijadikan tukaran.
- Lafaz akad, iaitu lafaz jual dan beli. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak tidak melarang seseorang untuk melakukan jual beli, namun hendaklah ia dilakukan pada tempat yang sesuai. Dengan itu, melakukan akad jual beli pada pada sesetengah tempat seperti di masjid hendaklah dielakkan kerana ia merupakan tempat untuk beribdat bukan untuk mengejar habuan dunia bahkan sebahagian fuqha’ al-Syafi‘i menghukumkannya sebagai haram. Yang demikian boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW berkata:
إِذَا رَأَيْتُمْ مَن يَبِيعُ أَوْ يُبْتَاعُ فيِ المَسَجِدِ فَقُولُوا لَا أًرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ
Maksudnya: “Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di dalam masjid, maka katakanlah, “Semoga Allah tidak memberi keuntungan kepada perniagaanmu”
Riwayat al-Tarmizi (1321)
Hadith ini menunjukkan bahawa Hadith ini menunjukkan kemuliaan masjid, dan bahawa ia bukanlah tempat untuk mencari keuntungan dunia, tetapi hanya untuk akhirat. (Lihat Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, hlm.136)
Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (9/228) bahawa: Sebagaimana yang dinaskan oleh Fuqaha al-Syafi‘i bahawa larangan jual beli dan seumpamanya adalah bagi mereka yang duduk untuk tujuan tersebut di luar masjid. Adapun jika seseorang mendengar azan lalu duduk di dalam masjid, atau di tempat yang dekat dengannya dan melakukan jual beli, maka ia tidak diharamkan. Namun, jual beli di dalam masjid adalah makruh. Ibnu Hajar dan yang lain menegaskan bahawa pendapat mereka lebih cenderung kepada pengharaman.
Justeru, sebagai Muslim, kita harus menjauhi daripada melakukan tindakan yang boleh mencemarkan martabat masjid dengan menjalankan transaksi jual beli. Ini kerana masjid adalah tempat suci untuk ibadah bagi umat Islam dan kita harus mematuhi semua etika ketika berada di dalamnya
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam