Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Isteri saya tengah dalam pantang (sudah 20 hari) dan saya ajak isteri untuk bersama tanpa kemasukan ke dalam faraj disebabkan khuatir luka akan terbuka. Namun begitu telah tiga malam saya ajak isteri dan sy dapati mesti isteri semacam melengah lengahkan namun tidak menolak ajakan tersebut. contohnya saya telah menghasratkan niat dari pagi lagi. namun apabila malam isteri akan secara tiba-tiba ingat dia belum mandi lagi atau nak lipat kain. pandangan sy seolah mengelak. apakah terdapat hukum sekiranya isteri benar-benar mengelak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

Maksudnya: “Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami membawakan terlebih dahulu hadith Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا بَاتَتِ الْمَرْأَةُ مُهَاجِرَةً فِرَاشَ زَوْجِهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تَرْجِعَ

Maksudnya: “Apabila seorang wanita bermalam dengan meninggalkan tempat tidur suaminya, maka para malaikat melaknatnya hingga dia kembali ke tempat tidur suaminya.”

Riwayat al-Bukhari (5194) dan Muslim (1436)

Berdasarkan hadith ini, laknat yang disebutkan itu kerana perbuatan wanita meninggalkan tempat tidur suami itu merujuk kepada wanita yang menolak untuk bersama dalam keadaan dia mampu. Perbuatan ini merupakan salah satu perkara yang boleh menjatuhkan wanita ke dalam kancah nusyuz, dan isteri yang nusyuz itulah yang dilaknat oleh malaikat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, hlm. 90-92)

Seorang suami boleh mendidik isterinya dengan cara yang syari’e seperti menasihati, memulaukan di tempat tidur, serta pukulan yang tidak melibatkan tindakan fizikal yang menyakiti. Dalam Islam, didikan ini boleh dilakukan sekiranya terdapat tanda-tanda nusyuz atau derhaka dari pihak isteri terhadap suami. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ فَإِنۡ أَطَعۡنَكُمۡ فَلَا تَبۡغُواْ عَلَيۡهِنَّ سَبِيلًاۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيّٗا كَبِيرٗا (٣٤ ) وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا (٣٥ )

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa’: 34-35)

Imam Ibn Kathir menyatakan, nusyuz (النُّشُوزُ) itu bererti meninggi diri, dan wanita yang nusyuz itu adalah yang meninggi diri terhadap suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhi dan membencinya.

Jika tanda-tanda nusyuz ini muncul, maka nasihatilah si isteri dan takutkanlah dia dengan hukuman Allah SWT atas kemaksiatannya. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan hak-hak suami ke atas isteri, serta ketaatan kepadanya, dan Allah SWT mengharamkan berbuat derhaka kepada suami kerana apa yang Allah SWT telah anugerahkan kepadanya berupa keutamaan dan kemuliaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/257)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya suami meminta untuk bersama, namun isteri menolak dalam keadaan dia mampu dan tiada halangan yang memudarat seperti penyakit. Perbuatan ini merupakan salah satu perkara yang boleh menjatuhkan wanita ke dalam kancah nusyuz, dan isteri yang nusyuz itulah yang dilaknat oleh malaikat.

Namun, dalam situasi anda, untuk bersama semula dengan isteri selepas isteri melahirkan anak, terdapat dua perkara yang perlu kita cakna terlebih dahulu:

  1. Bersih daripada darah Nifas.

Hukum haid sama dengan hukum nifas dari segi larangan beberapa ibadat seperti solat, berada dalam masjid, membaca al-Quran, bersetubuh, dan lain-lain lagi kecuali perbezaan haid dan nifas dari sudut panjang dan lama masa darahnya.

Tempoh nifas itu terbahagi kepada tiga:

Tempoh Minimum: Sedetik

Tempoh Kebiasaan: 40 hari

Tempoh Maksimum: 60 hari (Lihat Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj, 1/413).

 

  1. Luka bersalin itu sudah benar-benar sembuh.

Oleh itu, sekiranya isteri anda telah bersih dari nifas dan telah mandi wajib, maka dibolehkan untuk bersama. Kedua, anda perlu pastikan terlebih dahulu luka tersebut telah pulih atau tidak bagi tidak menyakiti si isteri.

Justeru, melihat kepada persoalan yang diajukan, kami katakan perkara ini sebaiknya dibawa berbincang bersama supaya masing-masing faham dan redha akan situasi masing-masing. Boleh jadi tempoh 20 hari pantang itu menyebabkan isteri anda belum bersedia untuk bersama dan mahu mengambil masa untuk pastikan luka yang dialami pulih sepenuhnya. Di samping, tidak mahu menyakiti hati anda untuk bersama. Oleh itu, perkara ini sebaiknya dibincang berdua dan hormat keputusan masing-masing.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply