#6670:  Allah Bergembira Dengan Taubat Hamba-Nya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah sumber sahih yang menyatakan Allah SWT amar gembira pada hambanya yang bertaubat kepada-Nya  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Imam Ibn Kathir berkata: “Yakni, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225)

Taubat pada Perkara yang Melibatkan Hak Allah SWT

Ibn al-Qayyim menyebutkan 3 syarat utama yang perlu untuk bertaubat dan memohon keampunan pada perkara yang melibatkan hak Allah SWT:

  • Menjauhkan diri dari kesalahan atau maksiat yang dilakukan tersebut. Dalam erti kata lain, meninggalkan perbuatan tersebut.
  • Melahirkan rasa penyesalan atas kesilapan lama yang pernah dilakukan.
  • Menanamkan tekad dan keazaman dalam diri untuk tidak mengulang semula perbuatan tersebut selepas dia tahu akan kesilapan yang dilakukan. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/299)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Imam Ibn Kathir mengatakan, taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina. Oleh yang demikian, para ulama menyebut bahawa taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Dalam menjawa bagi persoalan di atas kami katakan bahawa, terdapat banyak ayat dalam al-Quran di mana Allah SWT memerintah dan menggalakkan hambanya untuk bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan bahkan Allah SWT amat gembira dengan hambanya yang selalu bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya. Yang demikian sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قالَ اللَّهُ عزَّ وجلَّ: أنا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بي، وأنا معهُ حَيْثُ يَذْكُرُنِي، واللَّهِ لَلَّهُ أفْرَحُ بتَوْبَةِ عَبْدِهِ مِن أحَدِكُمْ يَجِدُ ضالَّتَهُ بالفَلاةِ، ومَن تَقَرَّبَ إلَيَّ شِبْرًا، تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ ذِراعًا، ومَن تَقَرَّبَ إلَيَّ ذِراعًا، تَقَرَّبْتُ إلَيْهِ باعًا، وإذا أقْبَلَ إلَيَّ يَمْشِي، أقْبَلْتُ إلَيْهِ أُهَرْوِلُ.

Maksudnya: “Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Demi Allah, Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada salah seorang kamu yang menemukan barangnya yang hilang di padang pasir. Barang siapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Barang siapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku berjalan, Aku datang kepadanya berlari.”

Riwayat Muslim (2675)

Al-Maziri menyebutkan: Kegembiraan mempunyai beberapa makna, salah satunya adalah kebahagiaan. Namun, kebahagiaan disertai dengan keredhaan terhadap apa yang menggembirakan. Yang dimaksudkan di sini bahawa  Allah SWT sangat gembira dengan taubat hamba-Nya lebih daripada kegembiraan seseorang yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir. Maka, diungkapkan dengan kegembiraan untuk menegaskan makna keredhaan dalam diri pendengar dan begitu juga untuk memperkuat maknanya. (Lihat Ikmal al-Mua‘llim bi Fawaid Muslim, 8/240)

Begitu juga disebutkan dalam Syarh Riyadh al-Salihin (29/11) bahawa: Allah SWT bergembira dengan taubat hamba-Nya kepada-Nya. Para hamba adalah hamba-hamba Allah SWT, maka jika Dia berkehendak, Dia boleh membinasakan mereka tanpa berlaku zalim kepada mereka, dan jika Dia berkehendak, Dia boleh memberikan kepada mereka segala sesuatu yang mana tidak akan habis apa yang ada pada-Nya.

Di sini, lihatlah kepada hamba yang diciptakan oleh Allah. Sesungguhnya Allah sangat mengasihinya. Allah bergembira dengan taubatnya. Jika Allah bergembira dengan taubat hamba-Nya, adakah boleh dibayangkan bahawa Dia  bergembira dengan taubat hambanya itu dan  kemudian menyeksanya?

Justeru, berdasarkan hadith dan penerangan di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah amat gembira dengan taubat yang dilakukan oleh hamba-hambanya yang beriman. Ini menunjukkan betapa besar kasih sayang dan rahmat Allah terhadap hamba-Nya yang bertaubat. Selain itu juga, ia mendorong umat Islam untuk meningkatkan keyakinan kepada Allah, memperbanyakkan istighfar, bertaubat, dan berusaha mendekatkan diri kepada-Nya, dengan jaminan bahawa Allah akan menyambut setiap usaha tersebut dengan penuh kasih sayang dan rahmat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

 

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *