Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah terbaca satu penulisan yang menceritakan tentang satu potongan ayat al-Quran. Ayat itu tentang angin yang disifatkan sebagai tentera Allah SWT. Boleh ustaz berikan sedikit pencerahan berkenaan angin ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Angin merupakan satu istilah yang tidak asing lagi pada kita, bahkan hampir setiap hari kulit kita pasti akan disapa angin yang bertiupan. Perkataan angin di dalam bahasa Arab adalah al-rih (الرِّيحُ), dan ia disebutkan dalam beberapa tempat dengan konteks yang berbeza-beza di dalam al-Quran. Sebahagiannya disebutkan dengan maksud yang hakiki, dan sebahagiannya pula disebutkan secara majazi sahaja sebagai perumpamaan.

Antara ayat yang menceritakan berkenaan angin ini, sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT ketika ia diutuskan untuk membantu hamba-hamba Allah yang beriman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَآءَتْكُمْ جُنُودٌۭ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًۭا وَجُنُودًۭا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah semula nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya.”

(Surah al-Ahzab: 9)

Tentera al-Ahzab ini terdiri daripada Kafir Quraisy, Bani Ghatafan, Yahudi Bani Quraizah dan Bani Nadhir. Allah SWT menghantarkan angin yang bertiup amat kencang ke atas tentera al-Ahzab ini sehingga hilang semua khemah untuk mereka berteduh, tiada apa-apa; tiada api dinyalakan untuk mereka, dan mereka tidak tenang hingga mereka pergi dengan kecewa dan kerugian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/344; Ma‘alim al-Tanzil, 6/321)

Mujahid menafsirkan bahawa angin tersebut dikenali sebagai al-saba (الصَّبَا), iaitu angin yang datang dari arah Timur. Ini berdasarkan hadith Abdullah bin ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

نُصِرْتُ بِالصَّبَا، وَأُهْلِكَتْ عَادٌ بِالدَّبُورِ

Maksudnya: “Aku dibantu dengan (tiupan) angin dari Timur, dan kaum ‘Ad pula dihancurkan dengan (tiupan) angin dari Barat.”

Riwayat al-Bukhari (1035) dan Muslim (900)

Angin al-saba ini adalah angin Timur yang dingin, mencabut pasak dan tali khemah, dan menerbangkan debu ke mata mereka. Kuda-kuda mereka saling bertabrakan, dan banyak kuda, unta serta kambing mereka mati. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 21/279)

Tentera-tentera Allah SWT itu berada di langit dan bumi, dan mereka akan sentiasa taat menurut perintah-Nya. Disebutkan dalam al-Quran:

وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Maksudnya: “Allah memiliki tentera-tentera langit dan bumi. Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Fath: 7)

Allah SWT menolong hamba-hamba-Nya dan juga menyeksa orang-orang yang derhaka dengan tentera-tentera ini. Syeikh al-Sa‘di berkata, al-Quran telah berulang kali mengkhabarkan bahawa Allah SWT adalah pemilik langit dan bumi serta di sana terdapat bala tenteranya. Ia bertujuan untuk memaklumkan kepada para hamba-Nya bahawa Dia adalah yang Maha Membela dan Maha Menghinakan seseorang, dan Dia juga akan membantu para tentera-Nya. Allah SWT berupaya mengerah segala sesuatu dengan Keagungan dan Kekuatan-Nya kerana Dia yang Maha Bijaksana dalam mencipta dan mentadbir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 791)

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Leave a Reply