Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah amaran yang terdapat dalam hadith tentang mereka yang berdusta untuk membuat orang ketawa? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ
Maksudnya: “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.”
(Surah al-Hajj:30)
Begitu juga Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa telah jelas nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia termasuk dalam perbuatan dosa yang buruk dan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma‘ akan pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar, hlm. 377)
Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadith mengingatkan supaya menjauhi amalan berdusta agar tidak tercatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
Riwayat al-Bukhari (6094)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami menyatakan bahawa berdusta adalah satu amalan yang sangat tercela dan diharamkan oleh syarak, walaupun dengan tujuan untuk membuat orang lain ketawa. Ini kerana Islam mengajarkan kita untuk menjaga lidah dan berkata benar dalam setiap keadaan. Hiburan dan gurauan dibenarkan, tetapi harus dilakukan dengan cara yang halal dan tidak melibatkan pembohongan.
Diriwayat daripada Mu‘awiyah bin Haidah al-Qusyairi bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ
Maksudnya: “Celakalah buat seseorang yang menceritakan sesuatu perkara lalu dia berdusta, dengan tujuan untuk membuatkan suatu kaum itu ketawa. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.”
Riwayat Abu Daud (4990), al-Tirmizi (2315), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (11126) dan Ahmad (20046)
Hadith ini memberi amaran tentang bahaya berdusta dan ancaman kebinasaan bagi mereka yang melakukan pembohongan untuk tujuan bersenda gurau dan membuat orang ketawa. Ini adalah akhlak yang buruk yang harus dijauhi oleh seorang mukmin, dan dia harus menjauhkan diri dari berdusta serta membersihkan lidahnya daripadanya dalam setiap keadaan, kecuali apa yang dibenarkan oleh syarak.
Orang yang terbiasa berdusta dan bergurau akan menjadikannya mudah diucapkan dan tidak mengendahkannya. Islam membenarkan penghiburan diri, tetapi dengan cara yang benar, kerana yang halal adalah lebih baik daripada yang haram, dan yang benar adalah lebih baik daripada yang palsu. Ada kalangan manusia yang tidak mempedulikan pembohongan dalam konteks bergurau dan hiburan, dan ini adalah kesilapan yang dilakukan seseorang sama ada kerana lemahnya iman atau kerana kejahilan terhadap akibat buruk pembohongan. Sesetengah orang melakukan ini dengan sengaja untuk mendapatkan perhatian dalam majlis, agar orang ramai tertarik dengan mereka, dan memandang tinggi kepada ucapan mereka. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/303)
Justeru, kejujuran adalah nilai penting dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam bersenda gurau, dan bahawa pembohongan, walaupun untuk tujuan hiburan, adalah perbuatan yang sangat tercela. Islam menyeru kepada perbuatan akhlak yang baik, khususnya dalam berinteraksi dengan orang lain. Ia mengajarkan kita untuk bersikap jujur dan tidak mengorbankan nilai-nilai moral demi hiburan semata-mata.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam