Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru tular satu video seorang wanita menceritakan tentang perbuatan bekas suaminya, di mana bekas suaminya itu memaksanya bersama seorang madunya lagi untuk mandi bersama dengannya dengan alasan mereka satu keluarga (suami isteri). Soalan saya, adakah ia dibenarkan dan apakah pandangan Islam mengenai hal seperti ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menyatakan bahawa pada asalnya dibolehkan bagi seorang isteri untuk mandi bersama suaminya, bahkan turut dibolehkan untuk mereka saling melihat seluruh tubuh masing-masing, tidak kira ketika mandi bersama, ketika melakukan hubungan intim atau seumpamanya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya (5) kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ، مِنْ قَدَحٍ يُقَالُ لَهُ الفَرَقُ

Maksudnya: “Aku mandi bersama Nabi SAW dengan menggunakan air daripada bekas yang sama, iaitu satu bekas yang dipanggil al-Faraq (3 gantang air, bersamaan kira-kira 8 liter).”

Riwayat al-Bukhari (250)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Fath (1/364) menyatakan, al-Dawudi menjadikan hadith ini sebagai dalil bahawa dibolehkan bagi seorang lelaki untuk melihat aurat isterinya dan begitu juga sebaliknya. Ini ditegaskan oleh riwayat Ibn Hibban daripada jalur/jalan Sulaiman bin Musa bahawa dia pernah ditanya tentang lelaki melihat kemaluan isterinya, maka dia menjawab: “Aku bertanya kepada ‘Ata’, lalu dia menjawab: ‘Aku pernah bertanya mengenai perkara ini kepada Aisyah, kemudian beliau menyebutkan hadith ini dengan maknanya, dan ini adalah penjelasan nas dalam perkara/persoalan ini.

Begitu juga Ibn Hazm al-Andalusi turut menyatakan, halal bagi suami untuk melihat faraj isterinya dan hamba sahayanya yang dihalalkan untuknya bersetubuh dengan mereka. Demikian juga mereka berdua (isteri dan hamba sahaya) adalah halal untuk melihat kepada kemaluan suami dan tuannya. Tidak ada asal hukum makruh dalam perkara ini. Buktinya, hadith yang masyhur dari jalan Aisyah, Ummu Salamah dan Maimunah yang merupakan Ummul Mukminin, di mana mereka pernah mandi bersama Rasulullah SAW disebabkan janabah dari bekas yang sama. (Lihat al-Muhalla, 10/33).

Suami Mandi Bersama Dua Orang Isterinya Sekali

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, adapun berkenaan tindakan seorang suami untuk mandi bersama dengan dua orang isterinya secara serentak dalam bilik air atau tempat sama; dalam menentukan hukumnya hendaklah dilihat/diperincikan sebagaimana berikut:

Keadaan Pertama

Sekiranya mereka mandi bersama dalam keadaan mendedahkan aurat, atau berpakaian tetapi tidak menutup dengan sempurna seperti masih boleh dilihat apabila basah atau ketika terkena air, maka kami katakan bahawa tidak syak lagi ia adalah haram dan tidak dibolehkan.

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).

Benar, seorang suami boleh untuk melihat keseluruhan badan isterinya tanpa terkecuali, dan begitu juga seorang isteri boleh untuk melihat keseluruhan badan suaminya tanpa terkecuali sebagaimana yang kami sudah jelaskan di atas. Akan tetapi di antara dua orang isterinya itu, masih lagi terdapat batasan aurat antara mereka.

Secara asasnya, ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189).

Justeru, jika demikianlah keadaannya, maka haram bagi kedua-dua isterinya itu untuk mandi bersama, sekalipun suami mereka ada sekali. Ini adalah seperti mana hadith Abu Sa‘id al-Khudri:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan tidak boleh bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Begitu juga tidak boleh seorang lelaki berbaring dengan lelaki lain di dalam satu selimut yang sama, demikian juga tidak boleh seorang perempuan berbaring dengan perempuan lain di bawah satu selimut yang sama.”

Riwayat Muslim (338)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menunjukkan haram seorang lelaki untuk melihat aurat lelaki lain dan begitu juga haramnya seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Tidak ada perselisihan ulama mengenai hal ini. Demikianlah juga haram seorang lelaki untuk melihat aurat perempuan lain dan begitu juga haram seorang perempuan untuk melihat aurat lelaki lain secara ijma‘ ulama.

Nabi Muhammad SAW menegaskan melalui larangan lelaki melihat aurat lelaki lain bahawa larangan melihat aurat wanita lebih utama lagi (dari segi pengharamannya). Pengharaman ini berlaku terhadap selain pasangan suami isteri. Adapun bagi suami isteri, masing-masing dibolehkan melihat aurat pasangannya, kecuali pada bahagian faraj itu sendiri. Dalam hal ini, terdapat tiga pandangan dalam kalangan ashab kami, di mana pandangan yang paling sahih adalah bahawa ia makruh bagi masing-masing melihat faraj pasangannya tanpa keperluan, namun ia tidaklah haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/30).

Keadaan Kedua

Sekiranya mereka mandi bersama dalam keadaan masing-masing tidak mendedahkan aurat (antara wanita dengan wanita), dan pakaian itu juga sesuai untuk dibawa mandi, dalam erti kata tidak boleh dilihat sekalipun apabila basah atau ketika terkena air, maka kami katakan bahawa jika demikianlah keadaannya, maka ia adalah diharuskan dan tidaklah haram. Keadaanya sama seperti jika mereka bermandi manda di pantai atau sungai atau seumpamanya.

Sekalipun begitu, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya dielakkan dan tidak dilakukan. Ini kerana dibimbangi membawa kepada keretakkan hubungan antara mereka (madu) akibat perasaan cemburu dan sebagainya. Apatah lagi dikhuatiri hal itu juga akan membawa kepada perkara yang haram meskipun pada awalnya ia diharuskan seperti berlakunya muqaddimah jima‘ di hadapan isteri yang lain akibat timbulnya perasaan syahwat, nafsu dan seumpamanya, pendedahan aurat sesama mereka (madu) secara sengaja mahupun tidak sengaja, di samping normalisasi perkara-perkara yang dilarang, yang mana ia tidak dikenali pun dalam budaya masyarakat Islam kita. Tidaklah dibuka pintu yang membawa kepada perkara-perkara seperti ini melainkan dengan sebab filem-filem yang rendah nilai akhlaknya (seperti pornografi dan seumpamanya) yang dibawa masuk kepada kita oleh budaya globalisasi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply