Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya wanita yang mengalami istihadah. Adakah saya perlu memperbaharui wuduk untuk setiap qadha’ solat wajib? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan takrif Istihadhah menurut syarak. Istihadhah adalah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai (العاذل) selepas tempoh sebanyak-banyak haid atau selepas tempoh sebanyak-banyak nifas atau darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami 1/126)

Wanita istihadhah dihukumkan seperti wanita suci. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa orang yang sedang istihadhah seperti orang yang suci (dari segi hukumnya) dalam melakukan solat, puasa, iktikaf, membaca al-Quran dan lain-lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Secara umumnya, oleh kerana wanita istihadhah kebiasaannya darah yang keluar daripada mereka berterusan atau kerap kali, maka wanita istihadhah sama hukumnya dengan mereka yang mengalami kencing tidak lawas (سَلِس الْبَوْل) di mana mereka tidak terhalang untuk melaksanakan solat dan puasa. Wanita istihadhah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan solat hanya pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat, menanti jemaah dan seumpamanya. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduknya (tidak batal). Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya keperluan, maka terbatal wuduk menurut pendapat yang sahih. Begitu juga wajib ke atas wanita istihadhah untuk mengambil wuduk setiap kali solat fardhu dan memperbaharui balutan (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih (al-asah) (Lihat Minhaj al-Talibin 1/19)

Jika wanita mengalami istihadhah dalam keadaan darah sentiasa keluar sehingga tiada masa yang cukup untuk bersuci dan bersolat tanpa hadas, maka dia dikira sebagai seorang yang mengalami situasi da’im al-hadath (دَائِمُ الْحَدَثِ). Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, kriteria salisul baul (kencing tidak lawas) yang diwajibkan untuk memakai cawat, memakai sumbatan yang menghalang dan muwalat serta lain-lain syarat ialah orang yang tiada masa yang cukup untuk bersuci dan menunaikan solat tanpa hadas (tanpa keluar darah, bagi istihadhah) sama ada hadasnya itu berlaku seperti itu juga pada waktu solat yang lain dan waktu solat yang seterusnya (yakni berterusan pada setiap waktu), atau hanya berlaku pada sebahagian waktu tertentu sahaja. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/80)

Perempuan yang mengalami istihadhah wajib mengambil wuduk setiap kali hendak solat. Bukan sahaja wajib berwuduk, mereka juga wajib: menghilangkan najis terlebih dahulu, beristinja’, menyumbat lubang faraj dengan kapas, memakai cawat/seluar dalam yang bersih, kemudian wajib berwuduk secara muwalat (berturut-turut) setiap kali sebelum melaksanakan setiap solat fardhu lima waktu. Imam Ibn al-Rif‘ah memfatwakan: “Orang yang mempunyai masalah sentiasa keluar sesuatu dari qubulnya seperti orang yang mengalami istihadhah (selalu keluar darah), dan selalu keluar angin; maka wajiblah ke atasnya untuk berwuduk setiap kali sebelum melaksanakan solat fardhu.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 2/228)

Perempuan yang mengalami istihadhah juga tidak boleh berniat mengangkat hadas dan bersuci daripada hadas. Sebaliknya dia hendaklah berniat “membolehkan dirinya melaksanakan solat fardhu” sahaja. Imam Ibn al-Naqib menyatakan:

“Maka hendaklah seseorang yang berwuduk meniatkan wuduknya itu untuk mengangkat hadas, atau bersuci untuk melaksanakan solat, atau perkara yang tidak boleh dilakukan kecuali dengan bersuci, seperti memegang mushaf (al-Quran) dan lain-lain perkara seumpamanya. Adapun bagi wanita yang mengalami istihadhah dan orang yang mempunyai masalah kencing tidak lawas, serta orang yang bertayammum, mereka hendaklah berniat untuk membolehkan diri mereka menunaikan solat fardhu sahaja. (Lihat  ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, hlm. 12).

Tuntasnya, kami simpulkan bahawa, wanita yang mengalami istihadhah wajib untuk mengambil wuduk setiap kali hendak melaksanakan solat fardhu begitu juga solat qadha’. Orang yang mengalami istihadhah dikira sebagai orang yang berstatus da’im al-hadath (دَائِمُ الْحَدَثِ). Mereka wajib mengambil wuduk dengan niat membolehkan/mengharuskan perlaksanaan solat fardhu sahaja; setiap kali hendak bersolat, dan setiap wuduk hanya sah untuk satu kali solat sahaja. Wajib untuk membersihkan bahagian faraj sebelum berwuduk, dan diwajibkan muwalat (berturut-turut) ketika berwuduk. Ini merupakan kewajiban khusus buat mereka yang diuji sedemikian rupa.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang pembersih, dan jadikan kami dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply