#6822: Menukar Program kepada Program Keagamaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah status hukum menyambut tahun baharu masihi dengan menukarkan program yang melalaikan dengan perkara keagamaan seperti seruan azan, majlis ilmu dan sebagainya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.”

 (Surah al-Mujadalah: 11)

Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/299)

Selain itu, ilmu juga adalah jambatan untuk seseorang itu ke Syurga. Hal ini kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk memastikan seseorang itu beramal dengan benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Oleh yang demikian, terdapat satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.”

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan:  Allah akan meninggikan darjat para ulama kerana keunggulan ilmu dan amal mereka, di dunia mahupun di akhirat (Lihat al-Wajiz, hlm.546)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini, menukar program yang melalaikan kepada program keagamaan seperti majlis ilmu dan seumpamanya, hukumnya adalah harus bahkan kami berpendapat itulah yang sepatutnya. Ini kerana ia bukanlah mengubah kepada program-program yang ke arah maksiat.

Marilah kita mengisi dengan ketaatan kepada Allah, terutamanya majlis ilmu sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ، وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ، وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ. إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke Syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan diminta keampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air. Sungguh, keutamaan seorang alim dibanding seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama ke atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil sebahagian yang sangat besar.”

Riwayat Abu Daud (3641), al-Tirmizi (2682), Ibn Majah (223) dan Ahmad (21715)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *