#6835: Tidak Sempat Solat Jumaat Bersama Imam

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, soalan saya berkaitan dengan solat jumaat. Saya tidak dapat menunaikan solat jumaat kerana masjid sudah penuh dan saya terperangkap di atas tangga masjid. Setelah selesai semua orang solat, barulah saya boleh bergerak dan saya mengambil keputusan untuk solat zohor. Sah ke solat saya? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan mengambil keberkatan Kalam Suci menerusi firman Allah SWT di dalam Kitab-Nya yang suci:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا نُودِیَ لِلصَّلَوٰةِ مِن یَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡا۟ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلۡبَیۡعَۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat maka hendaklah kamu bergegas menuju untuk mengingati Allah dan tinggalkan segala jenis jual-beli. Demikian itu lebih baik buat kamu jika kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Menurut Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Si‘di: “Ayat ini mengajarkan kepada kita bahawa Allah SWT mengarahkan sekalian hamba-hamba-Nya (lelaki) yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk melaksanakan solat fardhu Jumaat sebaik sahaja azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama berbanding urusan yang lain.” (Lihat Taisir al-Karim al-Mannan, 1/863)

Bagi menjawab kemusykilan yang diutarakan, kami bawakan sebuah pedoman Sunnah menerusi hadith Abu Hurairah RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang sempat mendapat satu rakaat (iaitu sempat rukuk pada mana-mana rakaat bersama imam); maka dia telah dapat melaksanakan solat Jumaat.”

Riwayat al-Nasa’i (1425); al-Hakim (1077) dan dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam al-Tuhfah (1/528)

Maka berdasarkan mafhum hadith di atas, kami nyatakan bahawa seseorang tidak sempat untuk menuruti rukuk berserta tumakninah pada rakaat ke-2 bersama imam adalah dikehendaki untuk melaksanakan solat Zuhur sebanyak 4 rakaat kerana dikira tidak ada Jumaat ke atas dirinya (tidak perlu sembahyang Jumaat kerana terlepas waktunya).

Al-Khatib al-Syirbini selepas menukilkan hadith di atas ini berkata: “(Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya makmum hanya sempat ikut) iaitu imam (selepasnya) iaitu selepas daripada rukuk imam (maka terlepaslah dia) iaitu daripada Solat Jumaat berdasarkan mafhum hadith yang lepas (maka hendaklah dia menyempurnakan rakaat selepas salamnya) iaitu salam imam (dengan Solat Zuhur sebanyak 4 rakaat) tanpa perlu menambah sebarang niat lain, kerana dia telah terlepas waktu Solat Jumaat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/567)

Hal ini bertepatan dengan sabdaan Nabi SAW menerusi hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Baginda bersabda:

وَمَنْ فَاتَتْهُ الرَّكْعَتَانِ فَلْيُصَلِّ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak sempat mengikuti dua rakaat (Jumaat bersama imam) maka wajiblah dia melaksanakan solat empat rakaat (Zuhur).”

Riwayat Ibn Majah (1121); di dalamnya terdapat perawi lemah bernama Yasin bin Mu‘az, dikritik oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir (4/503); dinilai hasan oleh Imam al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/195)

Kesimpulannya, kembali kepada situasi penanya yang tidak sempat Solat Jumaat bersama imam kerana terhalang di tangga, kami katakan bahawa solat Zuhur tersebut adalah sah. Hal ini kerana, sesiapa yang tidak sempat solat Jumaat bersama imam, maka dia memang wajib melaksanakan solat Zuhur sebanyak empat rakaat lengkap berdasarkan dalil yang telah dibentangkan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan puja dan puji kepada-Nya:

سُبْحانَ ربِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ، وَسَلامٌ على المُرْسَلِينَ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanmu, Tuhan Yang Maha Mulia, daripada segala tuduhan keji yang mereka (kuffar) sifatkan berkenaan-Nya. Salam sejahtera ke atas para Rasul. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.”

Wallahu a‘lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *