Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah nafkah yang dipertanggungjawabkan kepada isteri untuk suaminya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Kebiasaannya, masyarakat sering mengetengahkan hak-hak isteri yang menjadi tanggungjawab suami. Alangkah baiknya jika kita mengangkat semula perbahasan berkenaan hak suami ini agar ia tidak tenggelam sehingga dilupakan oleh masyarakat. Tidaklah perkahwinan itu melainkan ia datang dengan tanggungjawab yang perlu digalas oleh kedua-dua suami dan juga isteri. Pengetahuan berkenaan ini amat penting bagi merawat kembali penyakit generasi muda kini yang melihat ikatan perkahwinan ini dari sudut kewangan serta kemampuan suami semata-mata tanpa menekankan aspek tanggungjawab isteri. Oleh yang demikian, kita lihat bagaimana syara‘ membezakan antara orang yang yang berilmu dan orang yang tidak ada ilmu tentang sesuatu, sebagaimana firman Allah SWT:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى ٱلَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

Maksudnya: “Katakanlah lagi (Wahai Muhammad): ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar: 9)

Atas dasar ini juga, Rasulullah SAW menggesa masyarakat Islam untuk menuntut ilmu, seperti yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu itu satu kefardhuan ke atas setiap Muslim.”

Riwayat Ibn Majah (224). Syeikh Fu’ad ‘Abd al-Baqi memberikan komentar bahawa sanad hadith ini dha‘if kerana Hafs bin Sulaiman. Al-Albani pula menghukumkannya sebagai sahih dengan lafaz ini sahaja. (Lihat Sunan Ibn Majah, 1/81)

Hak Suami ke Atas Isteri

Berbalik kepada isu pokok, suka untuk kami bawakan terlebih dahulu asbab mengapa pentingnya topik ini diangkat. Masyarakat Malaysia sering menekankan soal kewangan suami tanpa berusaha untuk mengembalikan hak yang sepatutnya kepada mereka setelah penat dibasahi keringat dan berhabisan harta demi keluarga tercinta. Renungilah firman Allah SWT yang mengangkat martabat suami atas usaha mereka ini:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Imam Ibn Kathir berkata di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (2/256), disebabkan mahar dan nafkah yang diwajibkan oleh Allah SWT ke atas suami seperti yang jelas dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya SAW, maka diri seorang lelaki itu dimuliakan kedudukannya ke atas wanita, dan lelaki memiliki kelebihan serta keutamaan ke atas wanita. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌۭ ۗ

Maksudnya: “Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”

(Surah al-Baqarah: 228)

Hak suami ke atas isterinya merupakan hak yang amat besar, bahkan haknya ke atas si isteri lebih besar dari hak isteri ke atasnya.

Al-Jassas menyebutkan di dalam tafsirnya, Allah SWT memberitahu bahawa setiap pasangan suami isteri mempunyai hak ke atas pasangannya, dan suami memiliki hak yang khusus ke atas isterinya yang tidak dimiliki oleh isteri ke atas suaminya. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/68)

Sebelum ini kami juga pernah menjelaskan hak-hak suami ini, tetapi ia tidak diperincikan dalam sebuah artikel yang khusus. Maka kami mengambil peluang ini untuk menggariskan hak-hak utama seorang suami yang sangat penting ke atas seseorang isteri, antaranya:

  • Ketaatan Kepada Suami

Hal ini jelas dalam ayat 34 dari Surah al-Nisa’ yang kami bawakan di atas:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Yakni, lelaki itu adalah pemimpin ke atas isteri-isterinya, iaitu dengan ditaati setiap perintahnya dalam perkara-perkara ketaatan (iaitu perkara-perkara yang bertepatan dengan syara‘). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/256)

Syeikh ‘Abd al-Wahhab Khallaf pula berkata, menerusi ayat inilah thabit hak ketaatan isteri-isteri kepada suami; kerana kepimpinan itu tidak akan berjaya direalisasikan kecuali apabila arahannya dilaksanakan dan ketaatan kepadanya diwajibkan. (Lihat Ahkam al-Ahwal al-Syakhsiyyah fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, hlm. 122)

  • Memberikan Hak Persetubuhan

Apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, dan ketika itu dia mampu untuk bersama, maka dia wajib menyerahkan dirinya kepada suami setelah termeterainya akad perkahwinan yang sah apabila diminta. Syara‘ tidak akan mengancam suatu perkara itu melainkan ia merupakan suatu hak yang wajib ditunaikan. Rasulullah SAW bersabda seperti dalam riwayat Abu Hurairah R.A:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ، فَبَاتَ غَضْبَانَ: لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur namun isterinya menolak, lalu dia bermalam dalam keadaan marah terhadap isterinya, nescaya para malaikat akan melaknatnya (isterinya) sehingga Subuh.”

Riwayat al-Bukhari (3237) dan Muslim (1436)

Suami pula sewajarnya memberikan tempoh yang sewajarnya kepada isteri untuk mempersiapkan dirinya jika diajak untuk bersama; kerana kebersediaan dan kebersihan diri itu adalah keperluan si isteri. Rasulullah SAW telah ajarkan kepada kita seperti dalam hadith Jabir bin Abdullah R.A:

إِذَا دَخَلْتَ لَيْلًا، فَلاَ تَدْخُلْ عَلَى أَهْلِكَ، حَتَّى تَسْتَحِدَّ المـُغِيبَةُ، وَتَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ

Maksudnya: “Apabila engkau tiba di rumah pada waktu malam (selepas bermusafir), janganlah engkau masuk ke rumah isteri engkau sehingga bulu yang ditinggal dapat dicukur dan rambut yang kusut dapat disikat.”

Riwayat al-Bukhari (5246) dan Muslim (4845)

Bertitik tolak dari kewajipan mentaati suami itu juga, perintah ketaatan itu sentiasa diikat dengan satu syarat iaitu perintah tersebut mestilah bukan pada perkara yang melanggar hukum Islam. Maka, sekiranya suami mengajak isterinya untuk bersama semasa dia sedang didatangi haid, tidak wajib ketika itu untuk menurut ajakan suami. Allah SWT telah sebutkan dengan jelas di dalam firman-Nya:

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًۭى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.”

(Surah al-Baqarah: 222)

  • Tidak Keluar dari Rumah Melainkan dengan Keizinan Suami

Isu ini terkadang dipandang remeh sahaja oleh sebahagian masyarakat kita, akan tetapi pada hakikatnya ia memberikan kesan yang besar pada sikap serta layanan seorang isteri terhadap ketua keluarga. Ironinya, apabila seorang isteri itu lebih khuatir jika tidak mendapat keizinan majikan untuk keluar dari pejabat berbanding tidak mendapat keizinan suaminya untuk keluar rumah. Walhal tanpa keizinan suaminya untuk dia keluar bekerja, maka tidak mungkin isteri tersebut berada pada posisi atau jawatan kerjanya. Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Berdasarkan ayat ini, fuqaha’ beristidlal bahawa isteri wajib mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu sebelum keluar dari rumah. Mereka yang keluar tanpa izin ini juga dihukum sebagai nusyuz. Imam al-Nawawi menyatakan, isteri keluar rumah tanpa izin suami dikira nusyuz. Imam Ibn Hajar al-Haitami pula di dalam syarah beliau mengatakan, setiap wanita layak mendapat nafkah kecuali wanita yang nusyuz, iaitu  wanita yang tidak mentaati suami seperti keluar rumah tanpa keizinan suami atau menghalang suami untuk bergurau senda atau sebagainya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/441)

  • Tidak Membenarkan Sesiapa Memasuki Rumah Melainkan dengan Izin Suami

Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (10/125), antara hak suami ke atas isterinya adalah dengan tidak membenarkan sesiapa untuk masuk ke dalam rumah selagi belum diizinkan oleh suaminya, berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَلاَ تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Dan tidak boleh baginya (isteri) mengizinkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suami.”

Riwayat al-Bukhari (5195) dan Muslim (1026)

  • Kebenaran Mendidik Isteri

Salah satu hak suami yang kian dilupakan oleh pasangan berkahwin adalah hak suami untuk mendidik isterinya agar tetap di atas landasan Islam yang sebenar. Mutakhir ini, seringkali kita melihat suasana yang kurang menyenangkan hati apabila wujud isteri-isteri meninggikan suara kepada suami dan sering memarahi mereka. Lebih menyedihkan lagi apabila perbuatan ini dilihat sebagai bahan jenaka, sedangkan syara‘ memerintahkan suami untuk memperbetulkan semula akhlak isteri yang bersikap kasar begini. Firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Imam al-Mawardi berkata, kaum lelaki itu adalah orang yang bertanggungjawab ke atas isteri mereka dalam mendidik, memegang tangan mereka dalam menjalankan kewajipan-kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT ke atas mereka. Kelebihan ini diberikan kerana lelaki dilebihkan dari sudut akal dan pandangan mereka, juga kerana nafkah dan segala kecukupan isteri yang diusahakannya. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/480)

Kesimpulan

Merenung semula perbincangan yang kami bawakan ini, kita dapati bahawa hak suami ke atas isterinya yang paling asas adalah ketaatan, dan daripada ketaatan tersebutlah terpecahnya cabang-cabang hak yang lain, seperti memberikan hak persetubuhan, mendapatkan keizinan sebelum keluar dari rumah dan sebagainya. Sungguh, ketaatan itu bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dipandang enteng. Seseorang itu memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi segala menguruskan emosinya serta emosi pasangannya agar rumah tangga kekal harmoni. Oleh yang demikian, ganjaran buat isteri yang taat ini juga cukup besar, sesuai dengan apa yang telah mereka usahakan selama mereka hidup sebagai pasangan suami isteri yang sah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا؛ دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Sekiranya seorang wanita itu menunaikan solat fardhu lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), memelihara kemaluannya, mentaati pasangannya, maka dia boleh memasuki Syurga melalui ana-mana pintu yang dikehendaki.”

Riwayat Ibn Hibban (4163), al-Tabarani (4715), dan Ahmad (1661) dari jalur ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf. Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih, manakala riwayat  ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf itu dinilai sebagaij hasan li ghairih oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut.

Kami juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada sekalian muslimin dan muslimat di Malaysia khususnya, bahawa setiap dari suami dan isteri itu telah diletakkan di atas bahu masing-masing tanggungjawab yang perlu dipenuhi selama bergelar pasangan yang sah. Begitu juga  setiap dari mereka mempunyai hak-hak yang wajib ke atas pasangan. Maka sesiapa sahaja yang dengan sengaja mewujudkan salah faham terhadap hak-hak ini, Allah SWT mengatakan bahawa mereka ini berada dalam kesesatan yang nyata. Firman-Nya:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍۢ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۭا مُّبِينًۭا

Maksudnya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

(Surah al-Ahzab: 36)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya, dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply