Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada makan di suatu gerai viral ketika melancong di luar negara. Namun, selepas habis makan, saya ternampak pekerja gerai tersebut ada berkongsi perkakas goreng dengan gerai sebelah yang menjual daging babi. Apa yang perlu saya lakukan, saya terus was-was dengan pinggan yang saya gunakan. Mohon penjelasan Dato. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini cukuplah bagi kita mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:
نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).
Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan diri sendiri. Maka, cukuplah kita yakin dan tidak was-was kerana sifat was-was ini amat bahaya disebabkan ia akan menyebabkan hidup dalam keadaan gusar, stress dan seumpamanya. Justeru, kami katakan tidak perlu untuk anda sertu apa-apa kerana mengambil hukum zahir, serta cukup menjadikannya sebagai langkah berhati-hati selepas ini apabila mengunjungi suatu gerai khususnya di negara yang minoriti Islam.
Bahkan, bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahu a‘lam.