Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami tafsir ayat 80 daripada Surah al-Nisa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًۭا 

Maksudnya: “Sesiapa yang mentaati Rasulullah maka dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) untuk menjaga mereka.” 

(Surah al-Nisa’: 80)

Al-Tabari berkata: Ayat ini menjelaskan tentang kemaafan yang diberikan Allah kepada makhluk-Nya, kepada Nabi-Nya, Muhammad SAW. (Lihat Jami’ al-Bayan, 7/351)

Al-Baghawi berkata: ‘مَّن يُطِعِ ٱلرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ ٱللَّهَ’ (“Barangsiapa yang mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah,”) iaitu dengan maksud sesiapa yang mentaati Rasul dalam segala perintahnya, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 2/253)

Ibn al-Jauzi berkata: “Menurut Mujahid, maksud kata-kata ini ialah sesiapa yang menerima apa yang dibawa oleh Rasul, maka sesungguhnya dia telah menerima apa yang diperintahkan oleh Allah. (Lihat Zad al-Masir, 1/437)

Ibn Kathir berkata: AIlah mengkhabarkan bahawa orang yang taat kepada hamba dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad, bererti dia taat kepada Allah. Yang bersikap sebaliknya bererti telah derhaka kepada Allah. Hal tersebut disebabkan Nabi mengucapkan sesuatu bukan berasal daripada hawa nafsu, tetapi semata-mata dari wahyu. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 2/341)

Al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran (5/288) berkata: Allah memberitahu bahawa mentaati Rasul-Nya SAW adalah mentaati-Nya. Dalam Sahih Muslim, daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ يَعْصِنِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعِ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي

Maksudnya: “Sesiapa yang mentaatiku maka dia mentaati Allah dan siapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya dia menderhakai Allah dan sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia mentaatiku dan siapa yang menderhakai pemerintah maka dia menderhakaiku.” 

Riwayat al-Bukhari (2957) dan Muslim (1835)

Ibn Juzai menjelaskan tafsiran ayat ini, beliau menyatakan: Ayat ini menjelaskan kelebihan Rasulullah SAW, dan sesungguhnya ketaatannya seperti ketaatan kepada Allah kerana dia memerintah dan melarang dengan perintah Allah. (وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًۭا ) iaitu Sesiapa yang memalingkan diri dari ketaatanmu, maka engkau tidak bertanggungjawab ke atasnya untuk menjaga perbuatan-perbuatannya; sebaliknya, hisab (perhitungan) dan ganjaran baginya adalah atas Allah. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil oleh Ibn Juzai, 1/200 )

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentaati Rasul yang membawa kepada kita kebaikan di dunia dan akhirat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply