#7013: Mengambil Elaun Menjadi Imam Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang itu mengambil upah elaun kerana menjadi imam solat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Imam solat ini merupakan suatu khidmat yang mulia, keutamaannya sangat besar kerana imam bertanggungjawab menjamin kesempurnaan solat makmum, dan ini adalah tugas untuk memimpin ke arah kebaikan dan amal soleh. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma:

ثَلَاثَةٌ عَلَى كُثْبَانِ الْمِسْكِ أُرَاهُ قَالَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: عَبْدٌ أَدَّى حَقَّ اللَّهِ وَحَقَّ مَوَالِيهِ، وَرَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ بِهِ رَاضُونَ، وَرَجُلٌ يُنَادِي بِالصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ

Maksudnya: “Aku diperlihatkan dengan tiga orang yang berada di atas sebuah bukit yang terbuat dari kasturi pada hari Kiamat; seorang hamba yang menunaikan hak Allah dan hak tuannya, seorang lelaki yang mengimamkan suatu kaum sementara mereka suka dengannya, dan seorang lelaki yang melaungkan azan salat lima waktu setiap hari.”

Riwayat al-Tirmizi (1986) dan Ahmad (4799)

Berbalik kepada persoalan saudara, fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum mengambil upah menjadi imam solat. Ada dikalangan mereka yang mengharamkannya secara mutlak, dan ada pula yang memperincikan masalah ini.

  • Haram Mengambil Bayaran Secara Mutlak

Ini merupakan pandangan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, al-Hanafiyyah dan al-Hanabilah. Imam al-Nawawi menyebutkan secara jelas, bayaran upah untuk mengimamkan solat fardhu adalah tidak sah, begitu juga untuk solat tarawih dan solat sunat lain menurut pandangan yang paling sahih; kerana imam itu bersembahyang untuk dirinya sendiri. Apabila dia solat, sesiapa sahaja boleh mengikutinya meskipun dia tidak berniat menjadi imam. Begini jugalah yang dijelaskan oleh Imam al-Juwaini. (Lihat Raudhah al-Talibin, 5/188; Nihayah al-Matlab, 13/14)

Abu al-Naja al-Hijawi al-Maqdisi al-Hanbali mengatakan, haram dan tidak sah bayaran upah atas suatu amalan yang dikhususkan ke atas si pelakunya agar dia termasuk dalam orang yang mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai seorang Muslim. Apa yang dimaksudkan dalam konteks kalam ini adalah, tidak halal bayaran upah atas suatu amal ibadah yang pada asalnya memang diwajibkan ke atas seorang Muslim itu. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/12)

Syeikh al-Mulla ‘Ali al-Qari berkata, bayaran upah tidak sah dalam bab ibadah, seperti upah azan, upah imam dan upah mengajarkan al-Quran. (Lihat Fath Bab al-‘Inayah, 2/434)

Mereka mengqiyaskan masalah ini dengan larangan mengambil bayaran upah bagi muazzin. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Uthman bin Abi al-‘As al-Thaqafi, katanya:

كَانَ آخِرُ مَا عَهِدَ إِلَىَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لاَ أَتَّخِذَ مُؤَذِّنًا يَأْخُذُ عَلَى الأَذَانِ أَجْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara terakhir yang Nabi SAW amanahkan kepadaku supaya aku tidak melantik seorang muazzin yang mengambil upah atas azan tersebut.”

Riwayat Abu Daud (531), al-Nasa’ie (672), Ahmad (16270) dan Ibn Majah (714)

  • Haram Mengambil Bayaran Melainkan Ketika Berhajat

Ini merupakan pandangan fuqaha’ al-Hanafiyyah yang terkemudian, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi. Beliau berkata: “Adapun yang difatwakan oleh mazhab mereka yang terkemudian (dari kalangan al-Hanafiyyah), keharusan bayaran upah untuk mengajarkan al-Quran, menjadi imam dan mengumandangkan azan kerana keperluan. Berbeza dengan bayaran upah untuk memperdengarkan bacaan al-Quran semata-mata dan ibadat lain yang tidak ada keperluan mendesak, maka perkara itu tidak dibolehkan sama sekali.” Imam Zainuddin Ibn Nujaim al-Hanafi juga berkata: “Menurut pandangan yang dipilih untuk fatwa pada zaman kami, dibolehkan mengambil upah untuk imam, muazin, guru, dan mufti.” (Lihat Radd al-Muhtar, 1/563; al-Bahr al-Ra’iq, 1/268)

Ini juga salah satu pandangan Imam Ahmad yang turut dipersetujui oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Imam Abu al-Hasan al-Mardawi menjelaskan di dalam kitabnya al-Insaf (6/46), telah disebutkan oleh Imam Ahmad bahawa sah hukumnya mengambil bayaran upah atas amalan ibadah, seperti menjadi imam, kerana ia umpama mengambil upah tanpa mensyaratkan bayaran. Dikatakan juga, boleh untuk mengambil bayaran tersebut apabila terdapat hajat keperluan seperti yang disebutkan dan dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah.

Ibn Taimiyyah menjelaskan hal ini, katanya: “Orang susah yang memerlukan, apabila dia menjadi imam, dia boleh berniat melakukan pekerjaan itu kerana Allah dan mendapatkan bayaran upah agar ia dapat membantunya dalam ibadah. Hal yang demikian kerana mencari nafkah untuk keluarga juga adalah wajib, maka dia melaksanakan kewajipan tersebut dengan cara ini. Berbeza situasinya dengan orang kaya; kerana dia tidak memerlukan pekerjaan ini, maka tiada keperluan yang mendesaknya supaya bekerja untuk selain Allah (seperti bekerja untuk mencari nafkah). Bahkan, jika Allah telah memberinya kekayaan, manakala tugas menjadi imam ini pula hukumnya fardhu kifayah, maka dia juga dituntut melakukannya. Sekiranya kewajipan itu tidak dapat ditunaikan melainkan oleh orang kaya ini, maka ketika itu wajib ke atasnya secara fardhu ‘ain.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 30/207)

  • Harus Mengambil Bayaran

Sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah pula berpandangan bahawa harus hukumnya mengambil bayaran apabila ditugaskan untuk menjadi imam solat.

Imam Syamsuddin al-Ramli al-Syafi‘i sendiri membawakan satu pandangan, katanya, apa yang biasa dilakukan menurut adat setempat dengan memberikan jamikiyyah[1] atas tugasan menjadi imam, ia tidaklah termasuk dalam akad al-Ijarah (الإِجَارَةُ),[2] sebaliknya ia termasuk dalam bab memberikan rezeki, berbuat ihsan da toleransi. Adapun al-Ijarah ini, ia termasuk dalam bab al-Mu‘awadhah (المُعَاوَضَةُ) atau imbal balas. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 5/291)

Menurut Imam al-Ramli ini, beliau seakan mengeluarkan isu memberi bayaran upah kepada imam ini dari bab al-Ijarah, sebaliknya menjadikannya di dalam bab al-Ju‘alah (الجُعَالَةُ).[3]

Imam Ahmad al-Barlisi ‘Umairah pula menukilkan kalam Imam al-Ghazali yang mengharuskan akad al-Ijarah ini, katanya: “Dibenarkan untuk mengambil upah atas tugasan sebagai imam, dan dia berhak menerima bayaran sebagai imbal balas keletihan dirinya dengan hadir ke tempat yang ditetapkan serta melaksanakan tugas tersebut pada waktu yang telah ditentukan.” (Lihat Hasyiata al-Qalyubi wa ‘Umairah, 3/77)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perincian di atas, kami lebih cenderung memilih pandangan yang mengharuskannya kerana ia lebih seiring dengan situasi semasa, yang mana seseorang imam itu diberikan amanah untuk menumpukan komitmen sepenuh masa pada aktiviti-aktiviti masjid, termasuklah mengimamkan solat lima waktu. Maka sekiranya imam tidak berhak untuk menerima sebarang upah, sama ada dengan akad al-Ijarah atau akad al-Ju‘alah, maka ketika itu dia tidak akan dapat melunaskan tanggungjawabnya selaku ketua keluarga yang perlu memberi nafkah dan tanggungjawabnya selaku imam kepada masyarakat setempat.

Dengan melihat kepada ekonomi semasa yang tidak kunjung stabil, maka elaun yang ditetapkan buat para imam ini secara tidak langsung merupakan suatu inisiatif yang meraikan maslahah masyarakat Islam. Ini juga bersesuaian dengan pandangan sebahagian fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, ulama terkemudian dari kalangan al-Hanafiyyah dan juga sebahagian al-Hanabilah.

Meskipun begitu, kami juga menyarankan agar mereka yang bertugas sebagai imam ini agar sentiasa berusaha untuk memperbetulkan niat kerana Allah SWT. Jauhilah meminta-minta atau menetapkan satu jumlah yang tinggi sebagai imbal balas tugasan imam tersebut.

Semoga kita dapat beramal dengan penuh keikhlasan dalam setiap urusan kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Jamikiyyah: Ia adalah gaji yang diterima oleh pekerja. (Lihat Mu‘jam Taimur al-Kabir, 3/47)

[2] Al-Ijarah (الإِجَارَةُ) adalah akad untuk mendapatkan manfaat kepenggunaan yang diingini dan diketahui bentuk manfaat itu, yang mampu diusahakan dan diharuskan penggunaan, dengan pulangan yang dimaklumkan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)

[3] Al-Ju‘alah (الجُعَالَةُ) adalah komitmen untuk memberi pulangan yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/617)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *