Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang suri rumah yang menjaga anak kecil. Kadang-kadang semasa solat, saya terpaksa membiarkan anak itu untuk duduk bersendiri sambil saya mengerjakan solat. Semasa saya mengerjakan solat, anak saya tiba-tiba berjalan dan hampir jatuh tercedera. Adakah saya boleh meninggikan suara takbir bagi tujuan memberi amaran kepadanya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ، الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman, yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.”

Surah al-Mukminun: 1-2

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110).

Pertamanya, memberikan isyarat semasa sedang solat ini adalah dibenarkan sekiranya ada hajat keperluan. Berdasarkan nas hadith, lelaki boleh memberikan isyarat kepada orang lain dengan cara bertasbih, manakala wanita pula dituntut untuk menepuk tangan sahaja. Diriwayatkan dalam hadith Sahl bin Sa‘d al-Sa‘idi R.A, katanya:

التَّسْبِيحُ للرِّجَالِ، وَالتَّصْفِيحُ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ucapan tasbih bagi lelaki, manakala tepukan tangan bagi wanita.”

Riwayat al-Bukhari (1204) dan Muslim (421)

Di dalam riwayat yang lain daripada Sahl bin Sa‘d R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا لِي رَأَيْتُكُمْ أَكْثَرْتُمُ التَّصْفِيقَ، مَنْ نَابَهُ شَيْءٌ فِي صَلاَتِهِ، فَلْيُسَبِّحْ فَإِنَّهُ إِذَا سَبَّحَ التُفِتَ إِلَيْهِ، وَإِنَّمَا التَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Mengapa aku melihat kamu menepuk tangan ketika terjadi sesuatu dalam solat? Jika terjadi sesuatu dalam solat, hendaklah dia bertasbih (mengucapkan Subhanallah), kerana bacaan tasbih itu akan menarik perhatian imam. Perbuatan menepuk tangan (untuk menegur imam) itu hanya untuk wanita.”

Riwayat al-Bukhari (684) dan Muslim (421)

Imam al-Nawawi berkata, difahami dalam hadith ini bahawa sunnah hukumnya untuk memberi peringatan, seperti memberi isyarat kepada orang yang meminta izin, memperingatkan imam dan lain-lain, dengan cara menyebut subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ) bagi lelaki dan menepuk tangan bagi wanita. Dia hendaklah menepuk telapak tangan kanannya pada belakang tangan kiri. Tidak dibenarkan menepuk telapak tangan kanan dengan telapak tangan kiri yang menyerupai bermain-main atau hiburan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/145-146)

Pada satu-satu keadaan seperti yang saudari ajukan, mungkin memerlukan cara yang lebih menarik perhatian anak tersebut agar dia tidak tercedera, dan yang pastinya kita tidak boleh menuturkan larangan secara jelas menggunakan bahasa perbualan kerana ia akan mengubah sifat solat. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الصَّلَاةَ لَا يَصْلُحُ فِيهَا شَيْءٌ مِنْ كَلَامِ النَّاسِ، إِنَّمَا هُوَ التَّسْبِيحُ وَالتَّكْبِيرُ وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu tidak boleh ada padanya apa-apa pun dari percakapan manusia. Sesungguhnya solat itu adalah tasbih, takbir dan membaca al-Quran.”

Riwayat Muslim (537)

Oleh kerana takbir juga termasuk dalam salah satu sifat solat, maka fuqaha’ membincangkan hukum sama ada boleh untuk meninggikan suara semasa takbir dengan tujuan memberikan amaran atau peringatan. Al-Khatib al-Syirbini berkata, meninggikan ucapan takbir intiqal atau tasmi‘ (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ), sekiranya dia berniat zikir sahaja atau berniat zikir beserta memberi peringatan, maka solatnya tidak terbatal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/167)

Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah pernah diajukan soalan yang sama, lalu mereka menjawab: “Sekiranya orang yang bersembahyang itu memberi peringatan dengan meninggikan suara ketika takbir intiqal atau mengucapkan سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ, maka itu dibolehkan dan dia tidak berdosa. Namun, dia harus berniat dengan takbirnya untuk mengingati Allah semata-mata, atau berniat untuk berzikir sambil memberi isyarat kepada orang yang dimaksudkan dengan meninggikan suaranya, supaya solatnya terhindar daripada kata-kata manusia yang boleh membatalkan solat.”[1]

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan ringkas ini, perbuatan meninggikan suara semasa takbir adalah dibenarkan, dengan syarat perlu disertai niat untuk berzikir dan memberi amaran kepada anak tersebut. Perbuatan ini dibenarkan berdasarkan nas-nas hadith yang telah kami bawakan di atas.

Segala puji bagi Allah SWT yang telah meletakkan pelbagai ketetapan yang mampu untuk mempermudahkan setiap urusan seharian kita sehingga ke sekecil-kecil perkara seperti memberi amaran ini. Semoga kita dapat beramal dengannya, seterusnya dapat menyebarkan manfaat ini kepada masyarakat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/fatwa/1866/%d8%ad%d9%83%d9%85-%d8%b1%d9%81%d8%b9-%d8%a7%d9%84%d8%b5%d9%88%d8%aa-%d8%a8%d8%a7%d9%84%d8%aa%d9%83%d8%a8%d9%8a%d8%b1-%d8%a3%d9%88-%d8%a7%d9%84%d8%aa%d8%b3%d9%85%d9%8a%d8%b9-%d8%a8%d8%ba%d8%b1%d8%b6-%d8%a7%d9%84%d8%aa%d9%86%d8%a8%d9%8a%d9%87-%d8%a3%d8%ab%d9%86%d8%a7%d8%a1-%d8%a7%d9%84%d8%b5%d9%84%d8%a7%d8%a9. Diakses pada 26 Ogos 2024.

Leave a Reply