Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, ِbenarkah dalam Syurga terdapat pasar sebagaimana di dunia? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى مَقَامٍ أَمِينٍۢ ٥١ فِى جَنَّـٰتٍۢ وَعُيُونٍۢ ٥٢ يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍۢ وَإِسْتَبْرَقٍۢ مُّتَقَـٰبِلِينَ ٥٣ كَذَٰلِكَ وَزَوَّجْنَـٰهُم بِحُورٍ عِينٍۢ ٥٤ يَدْعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَـٰكِهَةٍ ءَامِنِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. – Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya, Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.”
(Surah al-Dukhan : 51-55)
Perbincangan nikmat syurga telah dimuatkan dalam al-Quran dari segenap segi. Antaranya ialah gambaran latar tempat di dalam syurga, pakaian ahli syurga, pasangan ahli syurga, serta makanan dan minuman ahli syurga. Bagi gambaran latar tempat di dalam syurga, Allah SWT menyatakan bahawa penghuni syurga berada dalam lingkungan yang sangat aman lagi mendamaikan. Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan bahawa terdapat dua syarat asasi dalam menjamin sesuatu tempat itu menjadi baik, iaitu tempat tersebut baik dari segi keselamatan dan keamanan, dan tempat tersebut baik dari segi tarikan untuk melawat. Kedua-dua syarat ini sememangnya berasaskan kepada tempat ahli syurga yang digambarkan sebagai selamat, dan adanya kebun-kebun serta mata-mata air sebagai tarikan untuk melawat. (Lihat Tafsir al-Razi, 27/665.)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, manusia tidak mengetahui perkara-perkara ghaib seperti kehidupan di alam akhirat melainkan apa yang dikhabarkan oleh al-Quran dan al-Hadith. Dalam isu ini dikisahkan bahawa di dalam syurga itu terdapat pasar di mana penghuninya mendatanginya setiap hari Jumaat.
Hal ini sebagaimana yang dikisahkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ في الجَنَّةِ لَسُوقًا، يَأْتُونَها كُلَّ جُمُعَةٍ، فَتَهُبُّ رِيحُ الشَّمالِ فَتَحْثُو في وُجُوهِهِمْ وثِيابِهِمْ، فَيَزْدادُونَ حُسْنًا وجَمالًا، فَيَرْجِعُونَ إلى أهْلِيهِمْ وقَدِ ازْدادُوا حُسْنًا وجَمالًا، فيَقولُ لهمْ أهْلُوهُمْ: واللَّهِ لَقَدِ ازْدَدْتُمْ بَعْدَنا حُسْنًا وجَمالًا، فيَقولونَ: وأَنْتُمْ، واللَّهِ لَقَدِ ازْدَدْتُمْ بَعْدَنا حُسْنًا وجَمالًا
Maksudnya: “Sesungguhnya di surga ada pasar, mereka mendatanginya setiap hari Jumat, angin dari utara berembus lalu menerpa wajah-wajah mereka dan pakaian-pakaian mereka hingga mereka semakin indah dan menawan. Mereka kembali ke keluarga mereka dengan penampilan yang lebih indah dan menawan, keluarga-keluarga mereka berkata pada mereka: ‘Demi Allah, kau semakin indah dan menawan setelah kami. mereka berkata, ‘Kalian juga, demi Allah, lebih indah dan menawan setelah kami.”
Riwayat Muslim (2833)
‘Pasar Syurga‘ ini merujuk kepada tempat perhimpunan penghuni syurga dan tempat mereka saling menziarahi. Ini disokong oleh fakta bahawa penghuni syurga tidak akan kehilangan apa-apa sehingga memerlukan mereka membelinya di pasar. Ada juga kemungkinan bahawa ia adalah pasar yang dipenuhi dengan keindahan, keinginan, dan kelazatan yang disusun dengan baik, seperti mana ia dikumpulkan di pasar di dunia. Apabila penghuni syurga datang dan melihatnya, dan sesiapa yang menginginkan sesuatu, ia akan diberikan kepadanya tanpa sebarang halangan atau penentangan. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ‘ala al-Targib wa al-Tarhib, 15/102)
Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan: Yang dimaksudkan dengan ‘pasar ‘ ialah tempat perhimpunan bagi mereka, di mana mereka berkumpul seperti mana orang berkumpul di pasar di dunia. Maksud ‘mereka datang setiap Jumaat ‘ ialah pada kadar setiap minggu, walaupun pada hakikatnya tiada tidak ada minggu yang sebenar kerana ketiadaan matahari, malam, dan siang. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘Ala Muslim, 17/170)
Di dalam Syarh al-Masabih oleh Ibn Malik menyebutkan (6/98): Yang dimaksudkan di sini ialah tempat perhimpunan di mana penghuni syurga berkumpul, dikelilingi oleh malaikat dengan perkara yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Mereka mengambil apa yang mereka inginkan tanpa perlu membeli, dan ini adalah sejenis kenikmatan.
Justeru, menurut zahir hadith dan pandangan para ulama jelaslah kepada kita bahawa di Syurga itu terdapat pasar yang dipenuhi segala nikmat. Ia menunjukkan bahawa penghuni syurga akan hidup dalam suasana penuh kenikmatan tanpa sebarang kekurangan. Mereka akan memperoleh segala yang mereka inginkan tanpa perlu bersusah payah, membeli, atau berusaha seperti di dunia. Ini menggambarkan betapa sempurnanya kehidupan di syurga.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Wallahu a‘lam